Pelakon kecil molek Noorkhiriah Ahmad Shapie bukan asing kepada peminat drama dan filem tempatan. Namun, namanya kembali mekar setelah membawa watak sebagai Aishah dalam drama rantaian, Nur dan Nur 2.
Tidak seperti wataknya dalam drama, Noorkhiriah bahagia bersama suaminya, Azfaizul Ahtan dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Hudhaifah dan Muhammad Yusoff. Pada tahun lalu, Noorkhiriah telah mengambil seorang bayi perempuan sebagai anak angkatnya.
Namun, apa yang mencuri perhatian apabila Noorkhiriah telah bermurah hati untuk menukar kereta mewahnya, MPV Hyundai Grand Starex menjadi van jenazah seperti yang telah dikongsinya di laman media sosial.
“Alhamdulilah lepaskan kerana Allah. Saya sayang, maka saya jadikan kereta ini sebagai van jenazah,” coret Noorkhiriah di laman Instagramnya.
Menurut Noorkhiriah perkhidmatan van jenazah itu akan diberi secara percuma kepada yang memerlukan. “Bagi yang memerlukan dialu-alukan. InshaAllah dah siap sepenuhnya nanti saya akan beritahu. Terima kasih juga pada yang menyumbang,” kata Noorkhiriah tentang niat murninya itu.
Noorkhiriah mengharapkan orang ramai mendoakan agar dirinya terus istiqamah dalam melakukan perkara baik. “Saya tak kaya tapi sebelum meninggal dunia saya nak tinggalkan sesuatu buat semua. Semoga kita istiqomah dalam perjuangan diri sendiri, amin,” coretnya lagi.
Mulia sungguh hati Noorkhiriah sanggup memberi apa yang dia sayang untuk kegunaan perkara yang baik. Semoga lebih ramai lagi insan berhati mulia seperti Noorkhiriah ini.
This website uses cookies.