Makanan berasaskan makanan laut sememangnya sering menjadi pilihan untuk dinikmati bersama seisi keluarga. Malah ada yang menjadikan menu berasaskan makanan laut sebagai pilihan utama untuk majlis keraian keluarga. Ditambah pula dengan kegilaan masyarakat kini dengan fenomena makan ala shell out yang berkonsepkan menikmati hidangan makanan laut yang diletakkan di tengah-tengah sehelai kertas yang boleh dikongsi beramai-ramai.
Kini penggemar hidangan berasaskan makanan laut boleh melepaskan keinginan menikmati hidangan makanan laut yang segar di Just Seafood yang terletak di Sunway Giza, Kota Damansara. Menurut pemilik Just Seafood,Terence Ham, restoran yang dibuka sejak penghujung tahun 2014 ini menyajikan hidangan makanan laut yang segar dan berbeza jika dibandingkan dengan beberapa restoran yang mempunyai konsep yang sama.
“Just Seafood mempunyai motto dan memegang pada prinsip menghidangkan hidangan makanan laut yang segar dan berkualiti untuk para pelanggan. Jadi, kami sentiasa memastikan makanan laut yang disajikan adalah dari kualiti terbaik bagi mengekalkan rasa segar dan keenakannya apabila dimasak bersama sos istimewa kami,” ujar Terrence sambil menghidangkan pelbagai makanan laut yang dimasak menggunakan tiga jenis sos istimewanya iaitu Louisiana Cajun, Butter Milk dan Creamy Peanut.
TIGA SOS ISTMEWA
Tambah Terrence lagi, Just Seafood mengetengahkan tiga jenis sos istimewa yang mana setiap sos pastinya menepati citarasa masyarakat Malaysia yang semakin bijak memilih hidangan yang enak dan berkualiti untuk dinikmati.
“Kami menggunakan tiga jenis sos istimewa iaitu Lousiana Cajun, Butter Milk dan Creamy Peanut untuk dimasak bersama hidangan makanan laut yang terdiri daripada aneka kerang-kerangan, ketam dan udang. Di samping itu, hidangan tersebut turut disertakan dengan aneka sayur-sayuran yang bersesuaian antaranya termasuklah lobak merah, jagung dan ubi kentang. Pelanggan boleh menikmati hidangan ini sama ada memesan nasi atau roti bawang putih,” ujar Terrence yang sememangnya menjalankan penyelidikan yang berterusan untuk memastikan kualiti sos yang dihasilkan menepati citarasa pelanggan.
Menyentuh mengenai penyelidikan dan pembangunan sebelum sos tersebut diperkenalkan kepada para pelanggan, menurut Terrence lagi dia dan rakan kongsi mengambil masa selama beberapa bulan untuk mencuba sos seperti Lousiana Cajun bagi mendapatkan konsistensi yang sama di samping menepati citarasa masyarakat Malaysia. Sos yang dihasilkan mendapat inspirasi dari pelbagai citarasa antaranya termasuklah Amerika Syarikat, Vietnam dan citarasa tempatan. Sos Lousiana Cajun popular di kalangan masyarakat Vietnam di Lousiana, Amerika Syarikat.
“Saya dan rakan kongsi mengambil masa kira-kira dua bulan untuk makan hidangan yang sama setiap hari untuk memastikan rasa yang sama untuk sos tersebut. Kami mahukan yang terbaik untuk para pelanggan. Jadi, kami sanggup melakukan beberapa perubahan untuk mendapatkan rasa yang terbaik untuk para pelanggan. Malah sos Creamy Peanut diinspirasikan dari kuah sate yang sememangnya popular di kalangan masyarakat Malaysia,” ujar Terrence yang amat mementingkan kualiti terhadap setiap hidangan yang disediakan di Just Seafood.
PILIHAN SET HIDANGAN
Jika anda datang menikmati makanan laut di sini, anda boleh memilih set makanan laut untuk satu hingga dua orang, tiga atau empat orang dan lima hingga tujuh orang. Setiap set mengandungi makanan laut seperti ketam bersaiz besar, udang, udang bersaiz besar, aneka kerang-kerangan, sotong, ubi kentang, lobak merah dan jagung yang dimakan bersama pilihan nasi atau roti bawang putih.
Tambah Terrence lagi, dia mendapat inspirasi membuka restoran ini selepas ingin beralih angin dari pekerjaannya yang terdahulu yang mengusahakan perniagaan berasaskan pinggan mangkuk Chinaware. Ingin lari dari kebiasaan dan formal menikmati hidangan menggunakan kutleri dan peralatan kaca dan pinggan mangkuk, dia tertarik untuk cuba menikmati hidangan dengan cara yang berbeza. Dengan cara itu, ia dapat merubah persepsi menikmati makanan dengan lebih fokus terhadap makanan dan menikmati hidangan dalam suasana santai dan lebih kasual.
Konsep dapur terbuka di Just Seafood juga merupakan antara tarikan yang mendapat pujian di kalangan pelanggan setianya. Mana tidaknya, sambil menunggu hidangan disajikan di meja, pelanggan dapat melihat sendiri proses memasak hidangan tersebut. Konsep dapur terbuka ini amat baik bagi memastikan pihak penyedia makanan menjaga tahap kebersihan dan memastikan hidangan yang dihasilkan memenuhi standard piawaian hidangan. Selain itu, konsep restoran yang terbuka juga amat menarik untuk menikmati hidangan makanan laut secara berkeluarga dan berkumpulan. Anda boleh memilih untuk menikmati hidangan di tingkat bawah dan tin gkat atas yang boleh memuatkan sehingga 200 pelanggan pada satu masa.
Jadi, jika anda penggemar hidangan makanan laut, jangan lupa mencuba hidangan yang disajikan di Just Seafood. Selain hidangan yang segar, kualiti hidangan yang tiada kompromi menjadikan ianya salah sebuah restoran yang sesuai untuk dikunjungi seisi keluarga!