PERAMPAS suami orang, perampas kebahagiaan orang serta pengamal ilmu hitam, itulah antara gelaran yang diterima oleh Misha (bukan nama sebenar). Sejak mengahwini suaminya kira-kira 20 tahun lalu pelbagai tekanan yang terpaksa diterimanya.
Namun Misha terus bersabar. Matlamatnya hanya satu, ingin menjadi isteri dan ibu yang baik. Tidak ada langsung perasaan ingin merampas suami orang atau merampas kebahagiaan orang. Dan perkataan ilmu hitam tidak pernah ada dalam kamus hidupnya.
“Saya tidak pernah kesal dengan apa yang berlaku, tetapi yang amat saya kesalkan ialah sikap suami saya. Dia suka ambil mudah, berdiam diri dan tidak pernah berusaha untuk menyelesaikannya,” demikian pengakuan wanita jelita dan ibu kepada tiga orang anak kepada penulis.
SAYA mula mengenali Adli (bukan nama sebenar) ketika bertugas di sebuah agensi pelancongan. Saya memang mempunyai ramai kawan lelaki dan tidak pernah meletakkan Adli sebagai seorang teman istimewa. Cuma dalam soal jodoh, saya berpegang pada prinsip, akan menerima sesiapa sahaja yang ikhlas melamar saya sebagai isteri. Ditakdirkan Allah, Adli yang melamar saya.
Usia saya ketika itu baru 21 tahun dan Adli pula 45 tahun. Walau pun tahu dia telah beristeri dan mempunyai anak, tetapi saya tidak tahu mengapa begitu mudah menerimanya. Mungkin kerana usia yang masih terlalu muda, saya tidak terfikir langsung tentang masalah berpoligami yang bakal dihadapi.
Sejak bernikah, Adli banyak menghabiskan masa bersama saya. Beberapa kali ayah mengingatkan saya tentang keadilan dalam berpoligami. Namun apabila saya membangkitkan perkara itu, Adli kata dia tahu apa yang dia buat dan dia tahu tanggungjawabnya.
Namun satu sikapnya yang menakjubkan, sejak kami mula berkenalan hinggalah kami menjadi suami isteri dan sepanjang hidup bersama, dia tidak pernah bercerita tentang isteri pertamanya. Sebagai seorang wanita, rasa ingin tahu tu, tetap ada. Terutama tentang penerimaannya terhadap saya serta tentang ketidakadilan suami kami.
Hubungan saya dengan keluarga Adli memang rapat .Daripada merekalah saya mendengar cerita ada masalah antara Adli dengan isterinya. Masalah itu telah wujud sejak mula mereka berkahwin dan menjadi semakin serius beberapa tahun sebelum kami bernikah. Dan khabar yang lebih dahsyat yang saya dengar, tiada lagi perhubungan suami isteri antara mereka selepas kelahiran anak bongsu mereka (yang kini telah berusia 15 tahun).
Demi maruah, darjat dan status, walau apa pun terjadi mereka tidak akan bercerai. Kerana bercerai bererti kegagalan. Untuk itu, mereka terus berlakon di hadapan masyarakat bahawa mereka adalah pasangan bahagia.
Bahkan anak-anak juga tidak tahu yang kedua ibu bapa mereka mempunyai masalah. Yang mereka tahu, keduanya merupakan pasangan yang ‘ideal’ dan hidup mereka penuh dengan kasih sayang. Tetapi masalah mula timbul apabila ayah mereka mulai kerap tidak pulang ke rumah.
Dan akhirnya mereka mendapat tahu, ayah mereka telah berkahwin lain.
Ramai yang menuduh saya mengahwini Adli kerana pangkat dan harta. Sesungguhnya tuduhan itu tidak berasas sama sekali. Kerana keluarga saya juga bukannya orang susah. Tambahan pula saya seorang yang berjaya dalam kerjaya.
Tapi saya sedar, inilah risikonya apabila mengahwini suami orang. Sejujur atau sebaik mana pun, ia tidak dipandang orang.
Itulah realiti kehidupan kami. Kerana itu pada awal perkahwinan, saya menolak apabila suami ingin membelikan banglo, kereta dan pakaian mewah. Bagi saya, saya senang dengan apa yang ada dan seronok menjalani kehidupan yang biasa.
Tapi Adli yang tidak betah dengan cara hidup saya. Dia tidak senang apabila saya mengajaknya makan di gerai tepi jalan. Dan sesuatu yang tidak mungkin saya lupa ialah apabila suatu hari di waktu kecemasan dia enggan menaiki kereta saya kerana kereta murah. Malah dia sanggup menaiki teksi.
Dia menjalani kehidupan yang mewah dan terlalu kebaratan. Tetapi saya lebih gemar cara hidup sederhana dan berlandaskan Islam. Terus terang saya katakan, tiga tahun selepas berkahwin, akhirnya saya melihat dia menunaikan solat. Bukan hendak bangga diri, tetapi sedikit sebanyak saya tetap berbangga kerana telah berjaya mengubah cara hidupnya dan kembali ke pangkal jalan.
Sebenarnya banyak pengalaman yang kurang enak yang terpaksa saya lalui sejak menjadi isteri kedua. Antaranya, saya tidak boleh mengikutnya ke majlis-majlis rasmi atau tampil di khalayak ramai bersamanya. Sehingga pernah di satu ketika, kami menerima undangan secara berasingan untuk satu majlis yang sama. Dia sebagai tetamu VIP sementara saya sebagai tetamu biasa. Walau dari rumah yang sama, tetapi kami pergi secara berasingan. Dia kemudian pergi mengambil isteri tuanya. Dan di sana, kami berlagak seperti orang yang pernah kenal.
Untuk membeli belah juga, kami tidak pernah keluar bersama. paling-paling tidak, dia akan menghantar ke mana saya hendak pergi dan kemudian akan mengambil setelah selesai. Bukan tidak ada perasaan sedih, tetapi semuanya saya pendamkan. Saya faham keadaan suami dan tidak mahu menimbulkan banyak tekanan kepadanya.
11 tahun selepas berkahwin, madu saya meninggal dunia akibat penyakit tiroid. Pada hari kematiannya, Adli berada di rumah saya. Seperti biasa, apabila berada di rumah saya, dia akan mematikan talian telefon. Berita kematian itu diterima daripada keluarganya setelah anak-anak gagal menghubunginya. Tetapi peliknya, dia tidak memberikan apa-apa reaksi. Hanya setelah saya pujuk, barulah dia bergerak. Saya dengar, dia sampai di rumah sana ketika jenazah telah dikapankan.
Peristiwa itu semakin memarakkan lagi kemarahan anak-anak tiri dan keluarga sebelah arwah isterinya. Pelbagai tuduhan, cemuhan dan cacian yang dilemparkan.
Saya dituduh pisau cukur dan mengamalkan ilmu hitam untuk menundukkan suami. Kononnya sejak mengahwini saya, suami terus lupa pada tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak.
Kehidupan saya kini seperti berada di atas bara api. Saya perlu berhati-hati walau di mana berada. Ke mana sahaja, saya mesti pergi bersama Adli. Jika tidak, ada saja gangguan. Bahkan nombor telefon rumah dan telefon bimbit terpaksa berapa kali ditukar. Pergi dan balik sekolah anak-anak, terpaksa Adli yang menguruskan.
Pelbagai ugutan yang saya terima yang membuatkan saya terpaksa membuat laporan polis. Tetapi Adli menarik balik segala laporan itu dengan alasan ini masalah keluarga dan tidak mahu diperbesar-besarkan.
Saya betul-betul kecewa dengan sikap Adli. Sejak mula berkahwin, pelbagai masalah timbul. Semuanya berpunca daripada perkahwinan ini. Selama itu, hanya saya yang berusaha untuk mengatasinya, sedangkan dia lebih suka mendiamkan diri. Mungkin perkara itu tidak menimpa ke atas dirinya kerana itu dia enggan bertindak.
Satu lagi perkara yang membuatkan saya sedikit terasa hati ialah sikap berahsia Adli. Dia tidak bercerita apa-apa pun yang berkaitan dengan rumah sana apabila bersama saya. Saya tidak bermaksud untuk ‘busy body’. Tetapi sebagai isteri kedua saya patut tahu terutama perkara yang berkaitan dengan sakit pening. Apa lagi, Adli banyak menghabiskan masa bersama saya.
Sekurang-kurangnya jika madu atau anak-anak tiri sakit, saya boleh mengingatkan dia agar pulang menjenguk. Anak-anak tiri kahwin pun saya hanya tahu melalui majalah. Dan yang paling saya kesalkan, saya tidak pernah tahu yang madu saya mengidap sebarang penyakit.
Saya tidak bermaksud untuk menghasut dia agar menyebelahi saya. Kerana saya sedar, saya berkahwin dengan suami orang. Saya telah melukakan hati orang. Dan atas kesedaran itu, saya tidak pernah menuntut berlebih-lebihan darinya dan sentiasa mengingatkan dia akan tanggungjawab dan mendesak agar dia berlaku adil.
Bukan saya hendak tunjuk baik untuk ‘cover’ balik yang saya telah merampas suami orang. Tetapi sikap Adli yang berahsia itu yang menimbulkan masalah. Sehingga kini anak-anak tiri dan keluarga sebelah isterinya terus memusuhi saya. Dan desas-desus yang saya dengar, mereka akan kacau dan buat saya merana seperti arwah isterinya.
This website uses cookies.