Nikmat tidur berbaring tak pernah wujud baginya. Sepanjang menderita kanser hidung, Adda terpaksa tidur duduk dengan tangannya di lutut sebagai ‘bantal’ melabuhkan kepala.
Aduhai, itu belum lagi kisah menelan berpuluh-puluh biji ubat tahan sakit, sampai dia dan pil-pil ini langsung tak boleh dipisahkan! Begitulah beratnya dugaan yang dialami Adda sendiri.
Pengalaman menghidap kanser hidung tahap 4 banyak mengajar erti tawakal buat wanita bernama Nor Suhadah Ibrahim, 27, dari Semabok, Melaka ini.
Mesra disapa Adda, dia terpanggil untuk berkongsi pengalaman menghidap kanser hidung dengan pembaca Nona sebagai iktibar buat golongan yang senasib dengannya.
Ikuti kisah Adda…
====================================
“Saya detect kanser hidung selepas selesai berpantang anak kedua pada tahun 2015. Masa tu tiba-tiba darah keluar daripada hidung sebelah kanan dan tumbuh benjolan seperti guli di leher saya.
Makin lame makin membesar hinggakan bengkak seluruh muka sebelah kanan saya. Telinga kanan juga selalu bunyi berdetup dan saya sukar mendengar.
Susulan itu saya pergi ke Poliklinik Peringgit di Melaka dan doktor rujuk kes saya ke Hospital Melaka untuk berjumpa pakar ENT & ONCOLOGY.
Di sana biopsi hidung saya diambil. Kira-kira dua minggu kemudian, keputusan pun keluar. Dengan perasaan berdebar, saya dengar doktor beritahu tentang penyakit kanser hidung yang sudah memasuki stage 2.
Lidah ini kelu bila doktor beritahu hanya kemoterapi dan radioterapi saja rawatannya. Dengan nada gugup, saya kata anak saya baru 3 bulan dan dia pun masih menyusu badan. Saya terpaksa tolak buat rawatan.
Selepas dengar kata-kata saya, doktor bagi sehelai kertas untuk saya tandatangan. Katanya surat ini mesti saya sign sebab saya tolak rawatan. Katanya lagi, “Saya pasti dalam masa setahun kamu pasti akan datang semula cari saya.”
Saya cuma diam. Walau pedih tapi saya terima dan reda dengan kata-kata doktor itu. Hati saya kata, tak apalah, saya cuba berubat cara kampung. Dalam hati pelik juga kenapa saya boleh terkena penyakit ini sebab dalam keluarga tak pernah ada sejarah kanser.
Orang kata minum jus durian belanda, minum teh daun rerama, minum jus bigroot, makan suplemen macam aprikot, nenas muda, keladi tikus dan selain tu ikhtiar juga jumpa sensei, minum air akar kayu dan cuba rawatan syifa. Semua ini saya buat. Apa yang orang kata baik, saya akan cuba dengan sokongan suami, keluarga dan keluarga mentua.
Tapi sayang seribu kali sayang. Sudah beratus-ratus duit habis tapi keadaan saya masih tidak mengizinkan. Sakit saya makin bertambah. Allahuakbar sakit yang teramatlah sakit! Hinggakan mata kanan saya dah mula nampak double vision.
Masa ni saya tak boleh tidur berbaring langsung. Saya cuma dapat tidur duduk dengan tangan di lutut untuk meletakkan kepala. Dalam sebulan, hampir 80 biji ubat tahan sakit saya telan. Ubat-ubat ini saya beli di Farmasi Limbongan.
Kerana tak sanggup menahan kesakitan, bulan Mac 2016 saya ke hospital semula berjumpa doktor yang sama. Doktor hanya tersenyum, mungkin beliau ingat kata-kata yang diluahkan saya sebelum ini.
Selepas tu sy menjalani CT scan. Keputusan CT scan saya kurang bagus sebab sel kanser dah merebak ke stage 4. Tahap akhir. Kanser dah sampai ke saraf mata.
Sy terus di admit dan ikut prosedur hospital. First time buat kemoterapi pada 21 Jun 2016 iaitu 3 cycle berselang hari sehingga 30 botol. 26 Oktober 2016, akhirnya saya selesai habiskan rawatan kemoterapi yang ke 3 cycle. Lepas tu saya buat radioterapi bulan Disember 2016 di Hospital Pantai sebanyak 35 kali (7 kali kemoterapi).
Rawatan selesai pada 26 Januari 2017 dan selama menghabiskan rawatan, saya tak boleh makan, tak boleh minum, tak boleh bercakap dan tak boleh berjalan hanya guna kerusi roda.
Ya Allah! Aku bermohon padamu hilangkanlah kesakitan dan sembuhkanlah penyakitku ini, Ya Allah. Sesungguhnya aku reda setiap ujian yang kau beri, amin.
Selepas mengamalkan gaya hidup sihat, berdisiplin dengan ubat-ubatan dan mengambil suplemen, alhamdulillah bulan Mei lalu saya dah boleh berjalan, makan, minum dan bercakap semula. Hanya saraf mata kanan saya saja yang tak dapat diselamatkan disebabkan kelewatan membuat radioterapi. Saya buta selamanya.
Pakar-pakar ENT & ONCOLOGY juga terkejut dengan perubahan diri saya yang kembali pulih seperti sediakala. Semasa doktor buat endoskopi, hidung nampak clear tanpa sel kanser.
Apa yang paling penting, semangat mesti kuat. Saya pegang kata-kata doktor, iaitu ‘10% saja kami dapat bantu dan 90% lagi adalah dari diri dan semangat kamu sendiri.’
Walaupun mata kanan saya buta tapi saya tetap bersyukur sebab mata kiri saya masih boleh digunakan. Dengan sebelah mata inilah saya jaga makan minum suami, Md. Azmi Md. Derus dan anak-anak saya, Muhammad Airel Md. Azmi dan Dhia Zara Md. Azmi.
Sekarang saya cari rezeki dengan menjual Aiskrim MELAKA MALAYSIA. Dengan hasil duit inilah saya beli ubat-ubatan. Selain itu saya juga ada mendapat bantuan daripada Datuk Yusof Soros sebanyak RM 5,000 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka setiap bulan iaitu RM 230. Alhamdulillah syukur.
Untuk pesakit kanser lain seperti saya, tolonglah jangan sesekali menolak rawatan hospital. Insyaallah dengan izin Allah, kalau semangat kuat, kita akan pulih seperti sediakala.
====================================
Dengan izin-Nya, kini Adda kembali sembuh dan nampak lebih bertenaga berbanding dulu. Sama-samalah kita doakan agar semangat wanita ini akan terus kuat serta sentiasa diberi kesihatan yang baik. Norzalina Mohd Alias