Masih ingat lagi kisah seorang bayi kacukan Malaysia-Rusia, Dhuhaa Sophea Stumbrys yang tular sekitar dua tahun sebagai bayi tercantik dunia. Begitu pantas masa berlalu kini Sophea sudah pun berusia dua tahun dan bergelar kakak.
Adiknya, Amiraa Al Imaan Stumbrys dilahirkan pada Februari 2019 di Karolinska Universitetssjukhuset Huddinge, Stockholm Sweden. Sophea dan Amiraa merupakan anak kepada pasangan bahagia, Siti Safuraa Hamzah dan Asadullah Stumbrys.
Lumrah apabila sering menjadi perhatian di laman sosial, rupa paras Sophea dan Amiraa mula menjadi perbandingan.
“Bagi saya itu pandangan masing-masing, terpulanglah. Saya dan suami tak pernah ambil kisah pun sampai jadi stres. Sophea dan Amiraa anugerah terindah dari Allah SWT dan terbaik di mata kami.
Didikan diberikan sepenuhnya buat mereka. Untuk Sophea kami ada mohon sekolah yang melebihkan aktiviti luar dan more to nature. Pada masa sama, kami terapkan ilmu agama di rumah biar seimbang dunia akhirat memandangkan kami menetap di negara yang majoritinya bukan Muslim.
Saya menjadikan ibu bapa sebagai inspirasi yang berjaya mendidik kami seramai 9 beradik. Setiap kepayahan dilalui bersama. Mereka mengutamakan tanggungjawab dan nilai kekeluargaan agar kami tak berpecah belah. Mereka juga mendidik kami saling menghormati dan tak mudah lupa diri. InshaAllah saya juga impikan perkara sama terhadap anak-anak.”
KONGSI PENGALAMAN BERPANTANG ANAK KEDUA
“Saya melahirkan Amiraa awal seminggu dari due date. Sakit contraction pun tak lama tanpa bantuan pain killer. Proses melahirkannya juga mudah dan tiada sebarang koyakan, alhamdulillah.
Namun pengalaman berpantang anak kedua ini agak mencabar kerana pada mulanya sukar mencari siapa yang dapat menjaga saya di rumah. Ibu bapa saya dah tiada, adik beradik pula ada hal masing-masing yang tak dapat dielakkan. Suami juga bekerja dan terlalu sibuk. Jadi suami tanya ada lagi tak sesiapa yang boleh datang untuk jaga saya. Tiba-tiba saya teringat kepada Kak Dini yang saya dah anggap seperti kakak kandung.
Dulu kami pernah berbual dan dia kata nak datang lawat saya di Sweden sambil berseloroh kalau saya beranak lagi dia nak datang. Bila teringat terus saya hubungi Kak Dini dan tak sangka dia setuju. Tanpa berlengah saya terus booked tiket untuknya.”
Bagi Dini pula pengalaman menjaga Safuraa ketika berpantang anak kedua di Stockholm, Sweden adalah pertama kali dalam hidupnya lebih-lebih lagi di negara asing yang berbeza dari segi cuaca. Niatnya cuma untuk memudahkan urusan Safuraa. Bagi Dini bila kita mudahkan urusan orang lain, Allah SWT akan mudahkan urusan kita.
Ini komen Dini:
“Saya dan Safuraa dah lama kenal. Safuraa sebagai bekas model Muslimah dan saya pula sebagai jurumekap. Boleh dikatakan kami sering bekerjasama. Dari situlah kami menjadi akrab dan saya anggap Safuraa seperti adik sendiri.
Sepanjang menjaganya saya gabungkan cara berpantang tradisional-moden seperti dari segi urutan, menu berpantang dan pemakaian bengkung readymade. Bahan-bahan untuk menu berpantang saya dah bawa siap-siap dari Malaysia seperti ulam, rempah, jamu, halia, serai, daun kari, kunyit hidup, cekur dan mandian herba.
Antara menu berpantang yang saya sediakan ialah daging bakar, ayam bakar, ikan bakar, sambal bilis sangan dan bejah (menu berpantang Jawa). Semuanya dimakan bersama ulam.
Nasihat saya jaga makan sepanjang tempoh berpantang, tak lama pun… 44 hari saja. Badan nak pakai lama. Paling penting ketika berpantang ialah dua minggu pertama elak makanan pedas, belacan dan air bergas. Walau dah habis pantang jangan tinggalkan jamu, mandi herba dan ambil makanan seimbang. Banyakkan minum air suam lebih-lebih lagi bagi yang menyusukan bayi.”
Kredit Foto: Instagram ctsafuraa & Dinie Awalluddin