Mereka jarang dapat berkumpul dalam satu masa. Dalam sebulan, mungkin hanya beberapa kali saja dapat mata bertentang kerana selebihnya dihabiskan dengan membelah langit yang terbentang!
Kerjaya juruterbang merupakan antara salah satu pekerjaan paling terhormat dan dikagumi ramai orang. Jika ada seorang anak yang bergelar pilot, tentulah dia menjadi kebanggaan ibu bapanya tapi bayangkan jika satu keluarga ini bekerja sebagai pilot... bukankah itu luar biasa?
Keluarga yang digelar The Bhasins dari Delhi, India ini semuanya bekerja sebagai juruterbang. Bukan juruterbang biasa, tapi di antara yang terhandal kerana setiap daripada mereka mempunyai rekod jam penerbangan yang sangat banyak.
Pelopor keluarga juruterbang ini adalah datuk mereka iaitu Kapten Jai Dev Bhasin yang merupakan antara tujuh juruterbang pertama India pada tahun 1954. Apabila menantunya iaitu Nivedita Jain menyertai syarikat Indian Airlines pada tahun 1984, wanita hebat itu baru berusia 20 tahun.
Kini Kapten Nivedita, 54, dan suami, Kapten Rohit Bhasin adalah ibu bapa kepada dua juruterbang muda iaitu Rohan dan Niharika Bhasin. Kapten Nivedita pernah mencatat rekod sebagai komandan penerbangan wanita termuda yang menerbangkan pesawat Boeing 737 dan tujuh tahun kemudian, pesawat Airbus 300.
“Waktu kecil dulu, saya selalu kagum melihat ibu bersiap dalam uniform juruterbangnya ke tempat kerja. Saya betul-betul mahu berpakaian seperti itu, satu hari nanti,” kata Niharika, 26, tentang cara halus ibu bapanya menanam minat mereka terhadap bidang penerbangan. Kapten Niharika kini menerbangkan pesawat Airbus A320.
“Saya mula faham betapa susahnya untuk mengemudikan penerbangan sambil membesarkan dua orang anak. Walaupun sepanjang masa membesar jarang dapat bersama mereka, tapi ibu bapa kami sangat mengambil berat dan bijak mengatur masa apabila mereka bercuti. Nampak senang, tapi sejujurnya tidak,” kata Niharika.
Kapten Nivadita merupakan juruterbang pertama di syarikat Indian Airlines yang menjadi ibu. Beliau mengakui bahawa ada ketikanya beliau pernah terfikir mahu berhenti demi anak-anak, tapi beliau enggan berputus asa mengejar cita-cita selama ini.
Antara pengalaman berharga yang diturunkan kepada anak-anak adalah bagaimana menjadi juruterbang yang baik. Antara ilmu berharga yang diturunkan adalah memilih tidak mendarat ketika cuaca buruk, sentiasa membawa bahan bakar tambahan dan jangan terbang terburu-buru demi keselamatan penumpang. Norzalina Mohd Alias
Sumber: India Times
This website uses cookies.