Mengaji Bersama Rakyat, Raja Permaisuri Agong Berangkat Ke World #QuranHour 2022

Seraut wajah lembut dan penuh sifat keibuan, senantiasa membayangi kecantikan Raja Permaisuri Agong ke-16 kesayangan rakyat Malaysia ini. Lebih menginspirasikan, baginda turut mencemar duli berangkat ke program World #QuranHour 2022 demi mengaji bersama-sama rakyat jelata.

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj tiba di perkarangan bangunan TV Alhijrah pada pukul 11.30 pagi.

Baginda turut meluangkan masa mendengar bacaan surah Al-Sajdah yang dipilih sebagai surah utama dalam program yang memasuki tahun ketujuh tersebut.

 

TV AlHijrah

 

TV AlHijrah

 

World #QuranHour tahun ini mengangkat tema ‘Dunia Bersujud’ sebagai usaha memperkukuhkan gelombang gerakan ‘Baca, Faham dan Amal Al-Quran’ dalam kalangan masyarakat.

Selepas dua tahun dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), World #QuranHour kali ini dianjurkan bersama penonton.

Program tersebut dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 

 

 

Ia turut mendapat kerjasama Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Karangkraf Medicare Sdn Bhd, Rumah Ngaji, Sahabat Al-Quran, badan kerajaan dan bukan kerajaan dalam dan luar negara.

World #QuranHour dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 7 yang dibimbing oleh Mohamad Husaini Mahmur.

Sesi bacaan 30 ayat surah Al-Sajdah secara bergilir oleh Dr Anuar Hasin, Abdul Khair Jalil, Ahmad Tarmizi Ali, Amirahman Abas dan Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.

Sesi tadabbur disampaikan Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata, program World #QuranHour mampu menaikkan imej Islam, sekali gus memupuk pembudayaan al-Quran dalam kehidupan sama ada dari segi pembacaan, penghayatan dan amalan.

 

Share
Published by
Norzalina