Pertemuan dengan Datin Umi Kalsom Abdol Latif sekitar awal Mac tahun lalu sememangnya sukar dilupakan. Beliau merupakan seorang wanita yang cukup menyenangkan kerana sangat mesra, penyayang, berjiwa besar dan cantik dalam kelas tersendiri. Meskipun baru pertama kali bersua namun sepanjang berada bersama ibu Dato’ Fazley Yaakob ini bermacam-macam petua dan pengalaman hidup dikongsikan Datin Umi kepada penulis. Yang pasti, beliau tidak lokek berkongsi rahsia!
Melihat susuk tubuh dan raut wajah Datin Umi pasti ramai yang tidak menyangka ibu empat anak ini sebenarnya bakal meniti usia 68 tahun pada 13 April depan. Bersandarkan
rupa paras cantik dan pesona anggun yang dimiliki, Datin Umi kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenar. Apatah lagi beliau masih kekal cergas dan bijak bergaya. Sambil mengaku gemar berfesyen tetapi masih berpegang kepada penampilan sopan seorang muslimah, Datin Umi terbuka berkongsi rutin harian.
Saat ditanya petua cantik yang diamalkan hingga mampu kelihatan menarik pada usia lewat 60an, ini jawapan jujur beliau. “Mungkin sebab jiwa saya tak suka simpan apa-apa. Maksudnya, ada orang kalau ada sesuatu yang tidak kena… mereka suka simpan dan pendam tapi saya tak. Saya orangnya cukup terbuka tidak kira sama ada dengan arwah suami ke, anak-anak mahupun kawan-kawan. Kalau saya ada rasa kurang senang dengan sesuatu perkara, saya akan cakap dan tak simpan.
Dari situ, tiada lagi perasaan curiga dan mungkin salah satunya juga… saya tak kata yang saya alim tapi saya amal baca Al-Quran hari-hari. Tambahan lagi bila arwah suami dan emak dah tak ada. Bayangkan, lepas satu bulan suami meninggal dunia selang dua minggu kemudian emak pula pergi menghadap ilahi.
Kalau saya pergi luar negara pun, saya ada apps yang membolehkan saya sentiasa mengaji. Sejak arwah tak ada, saya mula catit berapa banyak kali saya dah khatam selama empat tahun ini. Dalam sehari saya akan peruntukan sekurang-kurangnya sejam untuk baca Al-Quran dan target berapa lama saya boleh habis baca satu Al-Quran.
Selain mengamalkan rutin itu sebenarnya tak ada pun petua lain sebab saya tak makan jamu. Saya ingat lagi arwah suami pernah pesan dulu. Katanya, “Ibu, biar ibu setua tu. Jangan ‘cucuk-cucuk’, bapak tak bagi. Kalau ibu buat facial, itu tak apa.”
Ujar Datin Umi lagi, “Masa muda-muda saya rajin juga buat jus. Paling saya suka ialah jus tomato dan carrot tapi saya minum berselang-selang. Tapi selepas arwah meninggal, saya kena asid refluks sebab trauma, murung dan depress kerana terkejut dengan pemergian suami. Saya tak boleh tengok makanan dan masuk dapur selama setahun. Padahal saya suka masak dan selalu masakkan untuk keluarga dan anak-anak. Saya tak boleh buat semua tu sebab teringat arwah sampaikan tak lalu makan dan masuk hospital.
Pada mulanya doktor ingat saya gastrik tapi lepas buat prosedur, asid refluks rupanya. Alhamdulillah, dah berkurang 10 peratus cuma saya tak boleh minum jus seperti tomato dan nanas macam dulu. Ikutkan masa muda, semua jus saya buat sendiri termasuk pucuk pegaga tapi sekarang kena kawal.
Memang saya teliti dan jaga pemakanan, tak ambil makanan manis, minuman kafein dan susu. Hanya jus tertentu je boleh dan banyak minum air kosong. Nasi pun makan sedikit. Apa-apa pun saya bersyukur sebab mewarisi gen cantik daripada arwah mak. Arwah dulu walaupun dah 82 tahun tapi kulit dia cantik.”
Bercerita mengenai rutin harian pula, Datin Umi menjelaskan beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pegawai kerajaan. Namun terpaksa berhenti kerja kerana mahu memenuhi permintaan anak sulungnya, Dato’ Fazley Yaakob.
“Saya pernah berkhidmat dengan kerajaan selama 30 tahun tapi berhenti kerja bila anak saya, Fazley balik dari belajar luar negara. Dia anak pertama saya dan waktu tu saya baru 40an. Fazley kata dia jemu tengok saya bekerja dan berkorban untuk anak-anak jadi dia mahu saya berehat.
Bila dah berhenti, saya isi masa dengan aktiviti yang saya suka seperti masuk kelas memasak, belajar mengait, buat flower arrangement
dan decoration. Sekarang, hobi saya ialah tanam bunga orkid. Awal dulu memang saya tak pandai tanam tapi lepas beli buku dan belajar alhamdulillah pokok orkid saya kalau berbunga boleh bertahan sampai 3 hingga 4 bulan.Bila anak-anak dah besar, saya sibukkan diri dengan benda yang saya minat macam mengait, menyulam dan tanam pokok. Waktu bekerja dulu, balik je rumah saya akan buat makanan seperti piza, kek, roti dan masak semuanya sendiri. Jarang beli di luar.”
Mengakui budaya wanita hari ini yang lebih berdikari dan memiliki kerjaya sendiri, Datin Umi bagaimana pun menitipkan pesan berikut kepada seluruh wanita demi mengimbangi
kehidupan berkeluarga. “Ibu saya ajar, macam mana tinggi pangkat kita sebagai seorang wanita tapi bila kita dah berkahwin dan ada di rumah… kita adalah isteri dan ibu.
Sebagai seorang wanita, macam mana sibuk kerjaya sekalipun menjaga suami dan anak-anak juga adalah tanggungjawab. Paling penting, pastikan anak-anak dapat didikan agama,” akhirinya.
Kredit foto: Instagram Datin Umi Kalsom
This website uses cookies.