Mengantuk? Tengok-Tengokkan Pemandu Di Sebelah, Berhenti Segera Sebelum Microsleep!

Kemalangan yang menimpa pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad yang dipercayai terlelap sebelum kenderaan yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas berhampiran Plaza Tol Jawi mengejutkan ramai pihak.

Dalam kes yang meng0rbankan tiga penumpang terdiri bayi lelaki, ibu mentua dan pembantu rumah warga Indonesia itu, Syafiq dipercayai tertidur dan menyebabkan kenderaan yang dipandunya hilang kawalan.

Akibat tertidur atau dalam istilah perubatannya ‘Microsleep’, membuatkan Syafiq gagal mengawal kenderaan yang dipandu lalu menyebabkan kenderaan terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelah kanan, sebelum terbalik dan terseret, berdasarkan kesan calar di atas jalan.

Dalam kejadian tersebut, Syafiq yang memandu MPV Toyota Vellfire dari Johor Bahru dalam perjalanan membawa isterinya, Nur Amalina Norain sedang berpantang ke kampung mentuanya di Pendang, Kedah.

Turut berada dalam kenderaan terbabit ialah ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, dua anak pemain bola sepak itu, iaitu Muhammad Aisy Saqeef berusia 22 hari dan Aaira Nur Saffiyya, 2 serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 42.

Takziah buat Syafiq sekeluarga dan Al-Fatihah buat ahli keluarganya yang dijemput Ilahi. Semoga peristiwa ini menjadi pengajaran berguna buat kita semua.

MICROSLEEP

Benar ajal maut itu di tangan Tuhan. Namun sebagai manusia, menjadi tugas kita melindungi orang tersayang dan salah satu cara terbaik adalah dengan memandu tanpa rasa mengantuk.

Khusus untuk anda yang merancang untuk pulang ke kampung atau bercuti beberapa hari ini, mohon pastikan keadaan suami atau pemandu dalam keadaan memuaskan sebelum memulakan perjalanan.

Cuba perhatikan tanda-tanda seperti pemandu kurang tidur, terlalu penat, jadual tidurnya tidak menentu atau pun badannya sedang cuba melawan rasa mengantuk sebelum memandu. Ini penting demi keselamatan bersama.

Microsleep adalah keadaan di mana kita akan tertidur atau terlelap kurang satu saat hingga 30 saat tanpa kita sedari. Keadaan ini sangat membahayakan nyawa diri sendiri dan penumpang yang dibawa.

Simptom-simptom:

  • Tersengguk-sengguk.
  • Kelopak mata semakin tertutup atau kuyu.
  • Mata terkebil-kebil.
  • Tatapan kosong.
  • Lupa kejadian di waktu-waktu terakhir sebelum kemalangan.

Cara-cara pencegahan:

  • Jangan memandu jika mengantuk.
  • Tukar pemandu lain jika boleh.
  • Dengar muzik atau radio.
  • Dapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan.
  • Berhenti seketika untuk tidur di kawasan yang selamat.
  • Berbual-bual dengan teman seperjalanan,
  • Gerak-gerakkan tubuh badan.
  • Ambil vitamin atau kafein supaya hilang rasa mengantuk.

Semoga dengan keprihatinan penumpang khasnya golongan wanita seperti kita dapat menyelamatkan keluarga. Biar lambat asalkan selamat!

Share
Published by
Norzalina