Meneroka alam perkhidmatan pergigian, bukan suatu yang asing dalam masyarakat malah kini telah diangkat sebagai pusat yang wajib dikunjungi oleh setiap orang. “Memang benar dahulu ramai yang takut untuk berjumpa dengan doktor gigi. Klinik pergigian hanya akan dikunjungi jika mempunyai masalah sakit gigi atau mahu mencabut gigi sahaja. Walaupun sudah banyak kempen kesedaran tentang kepentingan menjaga gigi dijalankan tetapi masih banyak lagi yang belum tercapai lebih-lebih lagi untuk kanak-kanak.
Sebagai Consultant in Paediatric Dentistry pengkhususan saya lebih kepada merawat masalah pergigian kanak-kanak. Lingkungan umur yang di bawah kepakaran ini adalah dari lahir ke 18 tahun. Kesedaran ibu bapa terhadap kesihatan anak-anak mereka masih berada di tahap rendah dan terbukti apabila ramai kanak-kanak yang mempunyai gigi rosak sejak kecil lagi.
Mengapa kanak-kanak takut untuk berjumpa dengan doktor gigi? Jawapannya adalah sikap ibu bapa itu sendiri. Kebanyakan pesakit kanak-kanak ini bila kita tengok rekod lawatan, perasaan takut untuk berjumpa dengan doktor gigi adalah kerana ibu bapa membawa anak mereka berjumpa doktor setelah gigi benar-benar sakit atau perlu mencabut gigi. Pengalaman pertama berjumpa doktor gigi sebegini akan membuat pesakit takut dan fobia.
Jadi, saya tukar pendekatan dengan menawan hati pesakit kanak-kanak terlebih dahulu dengan mempelawa lawatan di klinik, berjumpa dengan doktor pada hari pertama mereka berkunjung ke klinik. Kemudian, saya akan meningkatkan keyakinan kanak-kanak dengan menunjukkan apa yang perlu dilakukan terhadap giginya agar tidak terus rosak dan membantu mereka mendapat kehidupan yang lebih berkualiti. Jadi mereka tidak akan berasa takut dan faham bahawa doktor gigi hanya mahu membantu.
Di klinik saya sendiri hiasan dalaman telah direka untuk mesra dengan kanak-kanak. Daripada penataan warna yang ceria dan hiasan termasuk dental chair berbentuk dinosaur agar lebih dekat dengan hati kanak-kanak. Bila mereka datang ke klinik ia umpama berada dalam taman permainan kanak-kanak. Jadi kalau bukan kecemasan saya akan elak mencabut gigi pada pertemuan pertama pesakit kanak-kanak ini.
Saya akan bina keyakinan mereka terlebih dahulu terhadap doktor gigi, membuat rancangan rawatan menyeluruh, berbincang dengan ibu bapa tentang rawatan dan melakukan introductory session bersama kanak-kanak tersebut (Tell-show-do). Jika perlu mungkin saya akan melakukan rawatan yang mudah dahulu. Rawatan seterusnya akan dilakukan pada temu janji akan datang. Saya juga akan beri ganjaran kepada kanak-kanak selepas membuat rawatan,” tutur Dr Nazatul dengan penuh semangat.
Obsesi Dr Nazatul Sabariah Ahmad terhadap bidang pergigian memuncak apabila sedang merencana sesuatu yang lebih bermakna buat dirinya. “Dalam tempoh lima tahun akan datang saya menyasarkan untuk membuka pusat rawatan pergigian khas untuk kanak-kanak berkeperluan khas seperti autisme, celebral palsy dan lain-lain. Sebagai seorang doktor gigi saya tidak pernah menilai kanak-kanak sebegini dan akan melakukan rawatan seperti kanak-kanak normal yang lain. Cuma ramai ibu bapa kanak-kanak ini kurang percaya dengan kebolehan doktor pakar,” bicara Dr Nazatul.
This website uses cookies.