Pada saat seluruh rakyat Malaysia masih lagi meratapi tragedi menyayat hati di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, ingatan masih lagi tersisa terhadap kes kematian tragis pegawai kadet laut Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) iaitu arwah Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Kedua-dua kes ini jelas menunjukkan tahap keruntuhan moral di kalangan remaja hari ini semakin parah sehinggakan perbuatan yang dilakukan tak tercapai dek akal.
Salah siapa? Yang bersalah tetap bersalah dan pasti akan menerima hukuman yang setimpal. Namun, bagaimana pula dengan perasaan dan emosi keluarga si mangsa yang pastinya terlalu sedih akan kehilangan insan tersayang.
Kesannya ibarat luka yang meninggalkan parut kekal. Sekelip mata insan yang disayangi pergi buat selama-lamanya meninggalkan kenangan-kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.
Mengungkapkan maaf mungkin mudah, namun jauh di lubuk hati untuk melupakannya ternyata sukar.
Insan paling terkesan saat kehilangan seorang anak semestinya ibu. Ya, ibu yang mengandungkan selama sembilan kemudian membesarkan anak itu dengan penuh kasih sayang. Namun akhirnya nyawa anak itu ‘diragut’ dengan mudahnya oleh manusia yang tidak berperikemanusiaan!
Inilah yang dirasai oleh ibu arwah Zulfarhan, Hawa Osman masih lagi tidak dapat menerima kenyataan ini sepenuhnya selagi kebenaran masih belum terjawab. Hawa hadir ke Karangkraf ditemani oleh suami, Zulkarnain Idrus serta tiga anak mereka.
Hari ini genap sudah pemergian arwah Zulfarhan yang ke-111. Kesempatan bertemu dengan wanita berusia 54 tahun ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyelami isi hatinya setelah tiga bulan arwah Zulfarhan pergi menghadap Ilahi. Setenang mana pun tetap terusik jua kolam hati seorang ibu sehingga menitiskan air mata.
“Sejujurnya perasaan sedih ini masih belum pulih sepenuhnya. Setiap kali terkenangkan arwah, mudah saja air mata mengalir. Setiap kali selepas solat saya pasti terkenangkan arwah. Saya juga pernah mimpikan arwah Zulfarhan yang tersenyum tenang.
Tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah benar-benar memberi kesan mendalam terhadap saya sebagai ibu yang juga kehilangan anak. Saya sangat terkesan dengan tragedi ini dan faham perasaan ibu-ibu mangsa. Tragedi ini telah ditakdirkan dan semestinya emosi ibu bapa anak-anak tahfiz itu lebih hebat dan tragis.
Ramai juga yang bertanya dari mana saya dapat kekuatan, mampu naik turun Mahkamah dan sebagainya. Ada juga yang berminat untuk mengikuti kisah arwah. Suami, anak-anak dan rakyat Malaysia kekuatan saya.
Sebagai ibu, saya nak tengok sendiri perjalanan perbicaraan di Mahkamah. Saya tidak akan putus asa kerana nak tengok sendiri wajah-wajah suspek. Niat saya ingin membersihkan nama arwah atas tuduhan mencuri itu.
Saya nak tahu apa motif sebenar mereka buat begitu kepada arwah. Baik suspek mahupun ibu bapa mereka, tiada seorang pun yang datang berjumpa untuk minta maaf dengan kami,” luah Hawa dalam nada perlahan.
Sebagai tanda sokongan untuk memperjuangkan keadilan dan memberi kesedaran kepada masyarakat, maka terhasilnya t-shirt yang tertera perkataan #justice4farhan #sayNOtoBULLY dan #humanity.
Idea ini datangnya daripada ibu saudara arwah yang mendapat persetujuan daripada Hawa sendiri.
“Yang buat ni pun di kalangan ahli keluarga kami juga. Anak saudara pula uruskan hal percetakan. Jual pun di kalangan ahli keluarga, saudara mara dan rakan-rakan terdekat saja. Kami tidak komersialkan.
Niat kami positif sebagai tanda sokongan dan memberi kesedaran. Dan setiap kali ke Mahkamah kami akan pakai,” jelas Hawa.
“Setakat ini pihak UPNM masih berhubung dengan kami. Mereka turut menyerahkan sijil-sijil penglibatan arwah dalam aktiviti sukan. Mereka juga kehilangan seorang pelajar yang cemerlang dalam akademik dan sukan.
Salah seorang profesor di bahagian Hal Ehwal Pelajar pernah datang ke rumah untuk memberi motivasi kepada anak saya yang bakal menduduki PT3.
Kami sekeluarga reda dan menerima ketentuan Ilahi. Hidup mesti diteruskan. Namun kami juga berharap supaya masyarakat jangan selindung kes buli. Jika ia berlaku, dedahkan dan segera ambil tindakan.
Begitu juga dengan pihak kementerian agar sentiasa peka dengan isu ini. Saya melihat kebanyakan ibu bapa hari ini terlalu manjakan anak-anak. Nasihat saya, didiklah anak-anak dengan cara yang betul bersama iringan doa agar mereka menjadi insan berguna di dunia dan akhirat,” akhiri Hawa. Amy Mohd