Semalam, 31 Ogos 2022, genaplah 25 tahun pemergian Puteri Diana yang meninggal dunia secara tragis akibat kemalangan di terowong Place De l’Alma di tengah-tengah kota Paris, Perancis. Dikhabarkan kemalangan berlaku apabila pemandu Diana, Henri Paul hilang kawalan kereta yang dipandu dan melanggar tiang di tengah-tengah terowong. Walaupun terdapat pelbagai konspirasi yang berkait rapat dengan kecelakaan itu, termasuklah Puteri Diana dibunuh serta dikejar paparazi, semuanya masih belum terjawab sehingga kini.
Diana meninggal dunia selepas dikejarkan ke hospital. Pasangannya, Dodi al-Fayed, dan pemandu Mercedes-Benz W140 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Kisah Puteri Diana, walaupun penuh kontroversi, namun kematiannya telah membawa banyak perubahan kepada keluarga diraja Britain.
Dari seorang guru tadika yang pemalu, Diana berubah menjadi seorang personaliti, sosialit dan selebriti glamor yang menyantuni pesakit AIDS serta berkempen menghapuskan penggunaan periuk api. Namun malangnya hidup Diana berakhir pada usia Diana yang sangat muda, pada usia 36 tahun.
Bekas isteri Putera Charles tersebut memang dikenali sebagai seorang puteri yang sangat komited pada aktiviti sosial, malah turut dikagumi dengan sikap kasih-sayang seorang ibu yang ditonjolkan untuk kedua-dua putera kesayangannya, William dan Henry.
Namun persoalannya, apa sebenarnya yang terjadi antara Diana dan Charles? Dan apakah agaknya masalah atau isu yang terjadi dalam rumah tangga mereka berdua? Yang pasti, selepas Harry dilahirkan, kehidupan Diana jauh sekali dari kebahagiaan dan harmoni.
Apatah lagi Charles dikatakan melakukan hubungan sulit dengan Camilla Parker Bowles pada tahun 1986 dan skandal itu menjadi topik hangat di seluruh dunia. Hubungan tanpa restu itu turut menyebabkan kebencian dan amarah bukan sahaja dari rakyat England tetapi seluruh pelusuk dunia. Yang pasti Camilla adalah orang ketiga dalam kehidupan Diana dan Charles.
Pemergian Puteri Diana bukan saja meninggalkan impak pada kerabat diraja United Kingdom tetapi turut meninggalkan kesan mendalam terhadap kesihtan mental Putera Harry. Pada usia 20 tahun Harry perlu mendapatkan kaunseling bgi menangani gangguan mentalnya.
Diana Spencer, seorang gadis lurus dan naik yang di’naik taraf’ kerana berkahwin dengan seorang putera raja, nyata meninggalkan pengaruh besar dalam dunia politik dan fesyen. Semoga legasi puteri kesayangan dunia ini terus hidup. Rest in Peace Diana!