Banyaknya kerja rumah. Mencuci kain, menjemur, mengangkat kain jemuran dan melipat. Esok pula nak kerja, banyak baju perlu digosok. Ramai wanita baik suri rumah atau berkerjaya, cuba mengelak dari menggosok pakaian. Tapi ada tips yang boleh anda praktikkan!
Gunakan meja menggosok sepenuhnya
Ketika menggosok seluar, letakkan sebelah bahagian seluar di atas meja gosok. Untuk mengemaskan bahagian tepi seluar, guna cara lipatan yang betul dan gosok keseluruh di atas meja gosok. Sisi meja gosok pula boleh digunakan untuk menggosok bahagian lengan. Masukkan saja lubang lengan pada hujung meja.
Hilangkan tanda besi dengan cuka
Jangan stres jika terdapat tanda besi pada pakaian akibat kesalahan anda menggosok pakaian. Hanya celupkan kain bersih ke dalam cuka dan sapukan pada tanda kotoran. Pastikan anda menggunakan kain bersih setiap kali menyapu cuka agar kotoran tidak menjadi lebih teruk. Akhir sekali, lap dengan air sejuk.
Gunakan Teknik menggosok
Menggosok secara memanjang dan lurus. Elakkan gosok secara circular kerana boleh menyebabkan fabrik meregang atau stretch. Ia juga boleh menimbulkan tanda besi seterika pada pakaian.
Didih air semburan
Biasanya anda akan menggunakan semburan air untuk melancarkan ‘proses’ menggosok. Apa kata didihkan dahulu air semburan sebelum digunakan. Jika anda menggunakan seterika elektrik, tunggu sehingga airnya mendidih sebelum digunakan.
Gosok sekitar perhiasan
Biasanya kita akan mengelak bahagian zip dan butang ketika menggosok. Begitu juga terhadap sekuin, glitter dan renda kerana akan meninggalkan kesan pada perhiasan busana. Kalau masih perlu, terbalikkan baju dan gosok pada bahagian dalamnya.
Ikut turutan
Ada sesetengah pakaian mudah digosok tanpa perlukan langkah demi langkah. Tetapi jika menggosok kemeja, mulakan dari bahagian kolar, lengan depan dan belakang, bahagian belakang baju dan akhir sekali bahagian depan. Cepat dan mudah!
Gunakan bobby pin
Bila menggosok skirt pleated, gunakan bobby pin pada lipatan. Ia memudahkan anda untuk menggosok dengan lancar tanpa perlu menyusun satu per satu.
Posisi meja gosok perlu sesuai!
Ubah ketinggian meja gosok mengikut ketinggian dan kesesuaian anda sebelum mula menggosok. Jangan sampai anda terlalu membongkok atau terlalu jauh dari kedudukan menggosok. Takut nanti anda mula sakit pinggang.
Gosok satu sisi
Ini adalah teknik bijak. Sekiranya anda sudah menggosok satu bahagian, sebagai contoh bahagian belakang, mungkin anda tidak perlu lagi menggosok bahagian depan dan sebaliknya. Ikut pemerhatian mata anda agar dapat memudahkan proses menggosok dan menjimatkan masa.
Elak gosok baju kotor
Sebelum memasukkan baju ke dalam mesin basuh, pastikan kekotoran pada baju dibersihkan terlebih dahulu. Mula menggosok, pastikan pakaian anda bersih. Jika kehangatan seterika terkena pada bahagian yang kotor, ia akan meninggalkan kesan dan sukar ditanggalkan.