Muat naik dan muat turun. Strim video dalam talian. Bekerja dan belajar dari rumah. Bersosial melalui Facebook, Twitter dan Instagram. Mungkin juga, TikTok. Pernahkah anda bayangkan kehidupan kita berubah total pada tahun 2020 ini?
Hari ini tirai suram 2020 bakal diturunkan. Mengimbau perasaan yang sama setahun yang lepas, 31 Disember 2019, kita semua menjangkakan tahun 2020 bakal bersinar terang, cahayanya bergemerlapan bak kejora di awan, dengan sejuta janji dan harapan.
Tapi sayangnya itu tidak kesampaian.
Di sebalik musibah pandemik COVID-19 yang menimpa seluruh dunia, tahun 2020 juga menyaksikan transformasi digital terbesar dalam sejarah. Itu yang berlaku sekarang apabila hampir majoriti infrastruktur kewangan, operasi dan perniagaan kita berteraskan teknologi di hujung jari.
Ini termasuklah Majalah Nona sendiri. Daripada penerbitan majalah ke digital sepenuhnya, ayuh ikuti imbasan dan rangkuman 2020 dalam kenangan kami, moga tiap satunya menjadi iktibar dan pengajaran berguna menjelang tahun 2021 akan datang.
JANUARI 2020
Membuka tirai 2020, Nona sebagai media aspirasi wanita telah menghimpunkan 16 kisah inspirasi Nona Top Beauty Entrepreneur.
Dalam sebuah majlis hi-tea yang berlangsung di Glam Hall Damansara, semua pengusaha kosmetik yang diraikan hadir bagi menunjukkan sokongan. Antara yang diraikan adalah YM Tunku Dato’ Indera Kaiyisah & Natasha Ozeir (PrettySuci), Dato’ Seri Aliff Syukri & Datin Seri Nur Shahida (D’Herbs), Datin Noor Kartini & Noor Neelofa (Young & Glow Cosmetics), The Melvins, Ili Zawani & Amin Fauzi (FCC Malaysia), Asyalliee (Loveliee), Eriyca Baiduri (Noir Health & Beauty), Wan Nur Syuhada (Sobella Cosmetics), Iqbar Hakim (D’Nars Skincare), Nuex Rosli (NR Cosmetics), Ayu & Iskandar (Skindara Global), Nabella Anuar (Kayman Beauty), Liyana Natasha (Chienta Skincare) dan Nurul Shuhada Sarbene & Dr Aizul Hafizi Ismail (SIS Aesthetic).
FEBRUARI 2020
Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 dan dilantik sebagai Perdana Menteri Interim. Kemudian diikuti pembentukan kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Februari 2020.
MAC 2020
Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh Malaysia (PKP 1: 18 – 31 Mac 2020).
Ramai pereka fesyen tempatan bersatu hati menyiapkan PPE berbanding koleksi baju raya bagi membantu menambah bekalan PPE yang tidak mencukupi di kalangan petugas kesihatan.
APRIL 2020
Impak ekonomi mula terasa apabila banyak perniagaan terjejas ekoran PKP yang dikuatkuasakan. Ada yang mula mengurangkan tenaga kerja, memotong gaji atau menutup bisnes sama sekali.
Sambutan Ramadan pertama tanpa solat terawih di masjid dan bazar.
MEI 2020
Kadar pengangguran di Malaysia meningkat 5.3%, dengan catatan 826,100 orang kehilangan pekerjaan pada bulan ini (Sumber: Jabatan Perangkaan)
Sambutan Hari Raya pertama tanpa solat sunat Aidilfitri, sekatan pulang ke kampung dan segala tradisi raya akibat pelaksanaan PKP.
Kematian George Floyd di Amerika Syarikat membangkitkan sentimen Black Lives Matter di seluruh dunia.
JUN 2020
Norma kehidupan baru diperkenalkan. Antaranya pemakaian pelitup muka, kerap menggunakan cecair hand sanitizer, mengimbas kod QR MySejahtera, interaksi pembelajaran dan mesyuarat secara maya melalui Skype, Zoom dan sebagainya. Pembayaran secara elektronik, transaksi bebas tunai, e-wallet dan pembelian online juga mula diaplikasi secara meluas.
JULAI 2020
Ibadah haji di Mekah dihadkan kepada 10,000 jemaah sahaja.
Pelaksanaan PKP dilonggarkan dan beberapa sektor dibenarkan beroperasi dengan SOP ketat.
OGOS 2020
Insiden letupan dahsyat di Beirut.
Peningkatan semula kes COVID-19 dengan Amerika Syarikat merekodkan kes paling tinggi, diikuti India dan Brazil.
Kumpulan K-Pop terkemuka BTS melancarkan single baru berjudul Dynamite yang mencatatkan sejarah baru apabila mendapat tontonan 100 juta kali dalam masa 24 jam di YouTube.
SEPTEMBER 2020
Pilihan Raya Negeri Sabah berlangsung selepas berlakunya kemelut politik dan pembubaran Dewan Undangan pada bulan Julai.
OKTOBER 2020
Peningkatan kes COVID-19 di Malaysia memaksa Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) dilaksanakan bagi membendung penularan jangkitan virus.
NOVEMBER 2020
Belanjawan 2021 dibentangkan oleh Menteri Kewangan di Parlimen dengan beberapa insentif diumumkan bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan.
DISEMBER 2020
Tirai Majalah Nona berlabuh secara rasminya dengan penerbitan edisi khas Nona Superwoman Award 2020. Sebanyak 47 anugerah disampaikan kepada para penerima yang layak dan diiktiraf menerusi pencapaian cemerlang mereka dalam bidang masing-masing.
Sebuah majlis pengiktirafan turut diadakan di Shah Alam Convention Centre dengan pematuhan SOP dan had tetamu yang kecil beberapa minggu lepas. Baca kupasan majlis bertemakan ‘New Normal Glam’ tersebut di sini.
This website uses cookies.