Tersergam megah di laluan Ocean Drive, Miami, sebuah rumah agam putih menggamit perhatian. The Villa Casa Casuarina, barangkali tidak ramai yang menyedari di situlah kediaman mendiang pereka fesyen Gianni Versace atau lebih dikenali, Versace Mansion.
Laksana mahligai kayangan, Versace Mansion menghamparkan sentuhan signature – Medusa, sosok dewi Greek Athens. Tak hairanlah mengapa ramai selebriti Hollywood seperti Kim Kardashian juga nak menetap di sini!
Bayangkan suasana kediaman glamor itu menjadi hotel penginapan anda buat beberapa hari. Mewah dan elegan, setiap sudut digarap indah dengan identiti Versace. Nilai hartanah ini juga dikatakan mencecah harga $41.5 juta ketika dijual.
DEKORASI
Menawarkan 10 suite hotel dan kamar mandi, Versace Mansion turut dilengkapi restoran, lounge untuk mesyuarat serta rooftop bercirikan Taman Mozek Mediterranean dengan jubin memaparkan kepala Medusa, iaitu logo ikonik Versace.
Paling menakjubkan, logo Medusa terbesar boleh ditemui di dasar kolam villa seluas 54 kaki, berinspirasikan koleksi ‘Marine Vanuras’ Versace. Ia dikatakan diperbuat daripada lebih sejuta jubin mozek emas 24 karat.
Mozek Medusa ini telah dihasilkan di kampung halaman Versace iaitu Reggio Calabria, Itali sebelum dipindahkan ke Miami.
Dengan nilai $1,000 untuk semalam, penghuni Versace Mansion dapat menikmati suasana villa berkonsepkan Baroque dan tempahan makan malam di Gianni’s, sebuah ruang yang dulunya pernah menjadi dapur peribadi Versace.
Salah satu kamar termahal adalah The Villa Suite yang menempatkan pelbagai koleksi peribadi Versace. Selain itu, kamar The Mosaic Suite pernah didiami oleh Madonna dan menawarkan pemandangan kolam renang yang eksklusif.
Pengunjung juga boleh beristirahat di Moroccan Lounge, ruang yang pernah menjadi gimnasium serta dilengkapi bilik stim ‘hamam’ Turki untuk lapan orang.
BERSEJARAH
Versace Mansion bukan sahaja merakam sejarah kematian pereka fesyen Gianni Versace, malah pernah menjadi hotel penginapan Madonna sekitar tahun 90-an.
Sejak kematian beliau pada tahun 1997, hartanah ini mula menarik perhatian pengunjung dan beberapa kali bertukar pengurusan.
Sebuah siri televisyen iaitu ‘The Assassination of Gianni Versace: American Crime Story’ juga pernah difilemkan di rumah agam ini pada tahun 2018.
Selepas dua dekad, kini ia dimiliki oleh Jordache Enterprises dengan masih mengekalkan identiti pereka ikonik tersebut pada setiap elemen hotel.
Berinspirasikan seni bina Alcazar De Colon di Santo Domingo, Dominican Republic, rumah agam ini pada asalnya dibina oleh Alden Freeman pada tahun 1930.
Pewaris harta keluarga berusia 27 tahun itu menginap di suite tingkat atas, sementara bilik-bilik lain dihuni oleh rakan-rakan atau para penyewa.
Selepas meninggal dunia pada tahun 1937, rumah ini dijual dan dijadikan sebuah kompleks apartment.
Seperti kebanyakan bangunan terkemuka lain, Versace Mansion juga menyimpan misterinya. Dikatakan terdapat banyak pintu dan laluan rahsia menembusi ruang-ruang tertentu.