Erra Fazira, nama yang tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air. Mula menceburi bidang seni sekitar awal tahun 1990an, bakat lakonan Erra mula menyinar ketika membintangi drama Sembilu di samping pelakon handalan, Dato’ Awie dan Ziana Zain. Meskipun namanya masih segar di kalangan peminat seni negara namun kelibat primadona filem Melayu ini agak jarang kelihatan di kebanyakan majlis-majlis anugerah. Mungkinkah Erra cuba lari dari soalan panas wartawan tentang kisah cintanya?
Berpeluang bertentang mata dengan bekas Ratu Cantik Malaysia ini ketika sesi photo shoot koleksi beg tangan mewah Aigner Love, Erra yang menyambut ulang tahun kelahirannya pada 9 Februari lalu dengan nada tenang menjawab persoalan tersebut.
“Saya rasa karakter nak melarikan dari soalan itu semua old school
. Kita kena berani berhadapan. Saya tak ada sebab nak lari dari reporter. Tidak dinafikan kalau ada urusan, misalnya saya kena sampaikan hadiah untuk sesebuah acara, saya akan pergi. Tapi kalau sekadar pergi just untuk memeriahkan, saya rasa saya lebih suka jadi ibu sepenuh masa (di rumah) kepada Aleesya. Kita beri generasi lain pula untuk meriahkan majlis. Saya suka pergi jika bersebab.”Kembali aktif berlakon menerusi drama Gerak Khas dan melakonkan aksi lasak dalam Polis Evo 2, ‘buah tangan’ terbaru Erra tahun 2018 ini pastinya menjadi pengubat kerinduan para peminat yang menanti-nantikan mutu lakonan hebat daripada pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia tersebut. Pun begitu, jelas Erra tumpuan utamanya tahun ini lebih menjurus ke arah perniagaan Rara by Erra Fazira.
“2018, saya merancang untuk melebarkan perniagaan. Sekarang zaman kegawatan so kita kena cari jalan dan fikirkan macam mana untuk jana income lebih dan lebih lagi. Nak berkembang dengan lebih pesat lagi. Dalam bidang kerjaya sebagai artis, saya rasa apa yang saya ada sekarang ini saya mahu kekalkan. Apa yang ada dah cukup. Bukan masanya saya nak terlalu rancak (berlakon).
Sebenarnya dari kecil lagi saya minat dunia perniagaan. Walaupun ia bukan skop yang besar tapi saya selesa dengan keadaan ini. Saya akan teruskan minat terhadap tudung dan shawl. Sekarang ni dah ada Rara Cookies, Rara Lens dan kami juga ada produk-produk yang akan menyusul. Saya akan kibarkan sayap dalam bidang perniagaan untuk tahun 2018.”
Ditanya perancangan masa depan Erra tentang perkahwinan, “Itu bukan kehendak saya, itu kehendak Allah. Kalau ada laluan untuk saya, maka adalah jodoh saya sampai,” jawab aktres berusia 44 tahun ini ringkas.
Bercerita tentang permata hati tersayang, Engku Aleesya yang kini berusia 8 tahun, Erra tanpa berselindung meluahkan rasa syukur kerana anak kecilnya itu mampu menerima baik kehadiran Laudya Cynthia Bella sejak selebriti popular Indonesia tersebut mendirikan rumah tangga bersama Engku Emran September tahun lepas.
“Alhamdulillah anak saya, Aleesya sangat senang dan sangat sayang dengan Bella. Dia ada keserasian dan Bella juga dapat menerima Aleesya seadanya. Saya sangat bersyukur dengan situasi itu. Tak adalah orang kata bila mak tiri tu kita ditakutkan dengan perkara-perkara negatif. Semua itu tak berlaku. Saya sendiri pun senang dengan perwatakan Bella, seorang yang mudah didekati, boleh berbincang dan matlamat dia adalah untuk membesarkan Aleesya dengan sebaiknya. Jadi dia mempunyai matlamat yang sama dengan saya, jadi tak ada masalah.”
Mengulas sama ada Erra mahu bergiat aktif di negara seberang jika diberi tawaran, wanita berjiwa lasak ini menyerahkan perkara tersebut kepada takdir. “Semua ni rezeki. Sebenarnya saya pernah melibatkan diri dalam industri di sana dan pernah berduet dengan Rio Fabian serta berlakon dengan aktor-aktor Indonesia. Benda ni semua tertakluk kepada rezeki. Kalau ada rezeki, tawaran yang sesuai, dan tak bercanggah dengan jadual dan tanggungjawab saya untuk Aleesya, not a problem.”
This website uses cookies.