Kita semakin bimbang dengan keadaan mereka yang berada di barisan hadapan tumbang yang akan menyebabkan keadaan bertambah buruk. Kita berharap sangat rakyat negara ini tidak jadi seperti negara yang parah dengan jumlah peningkatan tinggi dan kritikal. Kita semua tidak mahu mengikut jejak langkah tersebut.
Nona sempat menghubungi Dato’ Ziela Jalil tentang perkara ini, “Sepanjang berada di rumah, saya nasihatkan anak-anak kalau nak keluar pastikan sorang dan terus beli barang dan kembali, patuhilah apa yang diperintahkan oleh Kerajaan.
Kita tidak mahu menyusahkan orang lain, virus ini jika kita lihat jangkitan itu sangat cepat. Kalau keluar kita tak tahu siapa yang kita jumpa dan tahap kesihatannya. Kita tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan ini.
Kalau saya mendengar, membaca dan mengikuti perkongsian kakitangan KKM di hospital, menitik air mata saya. Keadaan mereka makan tak sempat, tidur tak cukup, pakaian yang dikenakan pun susah untuk bergerak, mereka meninggalkan keluarga untuk berkhidmat dan pengorbanan mereka itu sangat tinggi.
Jadi kita ini, perlu bertimbang rasa jangan menambahkan lagi beban tugas mereka yang sedia ada. Bagi saya, insyaAllah ia mudah kalau kita ikut peraturan stay at home supaya dapat matikan kuman agar tidak membiak lagi.
Kita yang berada di rumah, berkongsilah sesuatu yang positif secara online dan jangan pula menyebarkan berita-berita yang tidak sahih. Kita juga boleh mengaji Al-Quran dan berzikir kerana kita harus ingat, walau apa pun usaha kita segala yang berlaku ini adalah daripada Allah dan kepada Allah jugalah akan dikembalikan.
Kita buatlah sesuatu yang Allah senang dan sayangkan kepada kita semua. Semoga Allah memusnahkan virus dan kita dapat melaksanakan kehidupan kita seperti biasa semula.
Selain itu, kesempatan berada di rumah kita boleh buat aktiviti deko umah, kemas baju dan sebagainya yang saya rasakan kerja rumah pun tidak pernah habis-habis rasanya. Cubalah isi kebosanan di rumah dengan pelbagai aktiviti,” pesan Dato’ Ziela.
Pesanan buat semua wanita, “Jangan terlalu panik dengan keadaan yang berlaku sekarang, cubalah untuk bertenang. Doa banyak-banyak, ikut arahan Kerajaan. Jaga kesihatan diri kita sebaik mungkin, sering basuh tangan.
Saya doakan kita semua berada di bawah pemeliharaan Allah, insyaAllah. Kepada semua tidaklah perlu membeli stok makanan macam untuk tiga bulan. Kita belilah berpada-pada, simpan yang cukup untuk seisi keluarga kita. Jangan pentingkan diri dan bertimbang rasa dengan orang lain yang turut memerlukan,” ujar Dato’ Ziela mengakhiri bicara. Kiffy Razak
This website uses cookies.