Tulusnya kasih sayang Najwa Latif terhadap ibunda tersayang, Zarina Saamah ketika menikmati percutian di Venice, Italy baru-baru ini. Biarpun tanpa mengungkapkan sebarang kata.. namun riak muka Najwa yang dilihat mengesat air mata turut mengusik jiwa ramai. Sampaikan ada yang menangis gembira saat menonton aksi dua beranak ini.
Memperlahankan perjalanan seni sejak melanjutkan pengajian di UNITAR, Najwa yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua, TESL sebenarnya seorang anak yang sangat penyayang. Mana tidaknya, walau baru berusia 23 tahun tapi Najwa sanggup mengeluarkan belanja yang besar semata-mata ingin menunaikan impian ibu tersayang. Alahai, sejuk perut ibu mengandung.
Kongsinya, “Beberapa tahun lepas (3-5), mama pernah cakap dia teringin nak pergi Venice dan naik gondola lepas tu nyanyi. If you want to know, personally, I don’t have any life plans now. I just follow the flow (walaupun banyak mengeluh) tapi saya sentiasa cuba untuk menikmati setiap momen yang ada.
Pun begitu, saya ada dua matlamat dalam hidup. Salah satunya ialah membawa mama ke Venice dan tengok dia nyanyi atas gondola. Yang satu lagi kita cerita bila dah unlock okay? Cuma bila kita sedar yang ibu bapa kita mula meningkat usia kan.. luangkan seberapa banyak masa yang ada dengan diorang, walaupun kalau cuma mampu dekat rumah atau video call.”
Beruntung Puan Zarina mempunyai anak yang kenang jasa. Sanggup mengenepikan impian sendiri kerana mahu menggembirakan hati ratu hatinya terlebih dahulu. Kalau ada rezeki lebih, apa salahnya. Bak kata pepatah, ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.’
“Kalau mampu lakukan lebih lagi, lakukanlah untuk mereka. Sebab mereka berhak dapat lebih daripada anak-anak dan di sebalik semua itu pastinya terselit restu yang akan membuatkan perjalanan hidup kita lebih mudah terutamanya ketika melalui detik-detik sukar, yang anda sendiri tidak mampu menanganinya.
Bagi saya, alhamdulillah, saya sangat bersyukur dapat menunaikan impian bawa mama ke Venice dan tengok dia nyanyi atas gondola pada tahun 2018. Yeayy, ” terangnya lagi.
Difahamkan, Najwa memang sangat menjaga perasaan ibunya. Sebelum ini, dia juga reda melupakan hasrat untuk menyambung pengajian ke luar negara dan memilih belajar di universiti tempatan kerana enggan berjauhan dengan insan kesayangannya itu.
Tahniah Najwa sebab sentiasa meletakkan ibu anda di tempat yang paling tinggi. Moga rezeki kian melimpah ruah dan tindakan murni anda menjadi sumber inspirasi kepada wanita lain agar terus menyayangi kedua-dua ibu bapa. Gembirakanlah hati mereka selagi masih bernyawa.
Kredit: Instagram Najwa Latif
This website uses cookies.