“Semoga Allah SWT mengurniakannya syurga tertinggi” Itu antara cebisan kata-kata menyentuh hati daripada figura terkenal, Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin. Di sebalik kelembutannya tersirat satu perasaan sukar diungkap. Ustazah Fatimah Syarha merupakan isteri kepada Dr Farhan Hadi yang kini berjuang sebagai frontliner memerangi wabak COVID-19.
Selayaknya Ustazah Fatimah Syarha digelar isteri solehah yang sentiasa berdiri teguh di belakang suaminya. Bersama anak-anak, beliau yang kini berusia 36 tahun terus cekal mengharungi ujian ini bersama suami yang dikasihi.
Dr Farhan Hadi bertugas di bahagian kecemasan Hospital Pakar al Islam, Kampung Bharu Kuala Lumpur. Tugasnya, melakukan saringan pesakit-pesakit yang disyaki. Sekiranya didapati positif, Dr Farhan akan menghantarnya ke hospital kerajaan.
“Sebagai isteri seorang doktor, banyak perkara menyentuh hati saya. Sehari sebelum perintah PKP diumumkan, suami membuat perbincangan sama ada mahu menghantar saya dan anak-anak di kampung atau sebaliknya.
Sebagai frontliner suami mahu keluarga terselamat daripada risiko di mana seorang doktor mungkin membawa balik kuman dan virus setelah bertugas. Pada masa sama, suami juga mempertimbangkan saranan agama. Akhirnya, kami memutuskan untuk mengikut petunjuk agama agar tidak lari dari kawasan wabak.
Kami teguh di belakang perjuangan Abi (panggilan kepada suami) dan yang seangkatan dengan Abi! Saya lihat semangat suami untuk berbakti bukan hanya di hospital bahkan di rumah. Anak-anak juga faham erti kesabaran, menahan rindu terhadap Abi mereka.
Pernah menitis air mata saya melihat suami pulang lewat malam dalam keadaan menahan lapar. Katanya, sempat menjamah sedikit sahaja makanan hari itu. Sebelumnya, suami oncall semalaman, pulang sekejap waktu pagi dan tengahari masuk kerja lagi sampai tengah malam. Saya tak dapat bayangkan betapa penatnya dia. Di rumah, suami tak banyak berehat. Kerja bertali arus. MasyaAllah.
Ads
Sekarang ini suami bertolak ke hospital lebih awal daripada biasa dengan menaiki motorsikal bagi elak kesesakan jalan raya. Katanya, dia perlu menyiapkan diri dengan pakaian khas dan sentiasa dalam keadaan hygine. Kadang berhujan, kadang berpanas suami rempuhi jua. Katanya, “Abi perlu selamatkan nyawa“.
Apabila berinteraksi dengan ramai pesakit, suami perlu melalui proses saringan di hospital. Sebelum keputusan saringan keluar, suami banyak memencilkan diri di ruang pejabatnya di rumah kerana mahu elak risiko terhadap kami. Anak-anak sering bertanya, “Kenapa Abi tak macam dulu?” Saya jelaskan kepada mereka sambil ajak berdoa dan solat hajat bersama.
Suami berpesan kepada saya, “Kita perlu bersedia jika Abang kena kuarantin” Saya terus merasakan hakikat hidup ini sebentar cuma. Sekejap atau lama, cepat atau lambat, semua orang pasti akan diuji perpisahan. Hanya syurga tempat abadi yang tiada lagi kematian dan perpisahan.
Saya tak dapat bayangkan kerinduan anak-anak terutama yang berusia 6 dan 4 tahun andai ‘kuarantin’ itu benar-benar terjadi. Setiap malam mereka akan tercari-cari Abi. Mereka mahu tidur sambil dipeluk Abi. Kadang kala mereka menangis kerana ketiadaan Abi.
Ads
Syukur, keputusan saringan mengesahkan suami negatif COVID-19. Suami pernah memeriksa pesakit positif COVID-19 sehingga pihak hospital mempertimbangkan beliau untuk dikuarantin. Mujurlah saat itu suami lengkap berbaju khas. Risiko tetap ada namun boleh dikurangkan.
Bila saya mendengar rakan sejawatannya, seorang doktor wanita disahkan positif COVID-19 saya amat bersimpati namun pada masa sama menambah debaran saya setiap hari. Mujur ada Allah SWT tempat memohon perlindungan.
Anak-anak memang rapat dengan suami. Setiap kali dengar ekzos motor dengan pantas mereka akan berlari ke pintu dan menyangka itu Abi. Ketika pulang kerja, suami terpaksa menyorok mengikut laluan khas kerana bimbang diterkam anak-anak. Suami bimbang menularkan kuman kepada mereka. Selepas mandi sebersih-bersihnya dan menyiapkan diri, barulah suami akan luangkan masa bersama kami.
Saya kini dalam fasa akhir PhD, mengejar due date. Memandangkan tiada pembantu rumah, semua urusan rumahtangga kami buat bersama. Anak-anak yang besar (11 dan 9 tahun) tugasnya memajukan diri dan mendidik adik-adik. Tugas saya selain menyiapkan tesis PhD, perlu mengemas, menyapu dan memasak. Suami pula rajin uruskan kain baju walaupun sibuk di hospital. Bila memasak, suami selalu mahu turut serta memberikan sinergi. Ia menyebabkan saya sebak sendiri. Semoga Allah SWT memberinya syurga tertinggi.
PESANAN
Ads
Buat mereka yang pasangannya doktor seperti saya, ingatlah Allah Maha Pelindung, Maha Penjaga, Maha Pemelihara. Jaga zikir-zikir terpilih dalam al-Quran dan al-Sunnah seperti dalam al-Ma’thurat, Manzil atau Hisnul Muslim sebagai doa perlindungan pagi dan petang. Pujuk hati dengan keindahan maksudnya. Jadikan musibah ini asbab kita makin dekat dengan Allah SWT.
Saat Rasulullah SAW dipulau di perbukitan selama 3 tahun dalam keadaan lapar dan serba kekurangan isteri baginda, Khadijah menemani perjuangan dengan rela dan cinta. Kita cuma perlu berada di rumah, sabar sepanjang ketiadaan pasangan yang berjuang di barisan hadapan. Walaupun terpaksa menempuh kesukaran menguruskan anak-anak sendirian, insyaAllah inilah peluang kita meraih pahala syahid meskipun tidak mati, sebagai mana dikhabarkan dalam riwayat yang sahih.
Cipta bahagia di rumah bersama keluarga tersayang dan nikmati detik bersama. Rasai semua musibah ini, ada rahmat indah dari Ilahi. Biar pasangan pulang dalam keadaan bahagia dan terubat melihat anak-anak menerima jagaan dan pendidikan sebaiknya. InsyaAllah, kita juga sedang berjuang di medan kita.
Saya mohon dan merayu, patuhilah arahan PKP. Kasihani diri kita, insan yang kita sayangi dan insan lain yang mungkin terjejas. InsyaAllah, pelangi akan segera tiba andai kita sabar dan patuh dengan arahan ini.”
Ibu kepada 5 orang anak ini juga merupakan Jawatankuasa Majlis Perundingan Wanita, MAWAR YADIM. Ustazah Fatimah Syarha dan suami turut menguruskan syarikat penerbitan buku milik mereka iaitu Sebarkan Bahagia.
Kredit Foto: Instagram Ustazah Fatimah Syarha
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kalau sebut saja nama selebriti chef yang terkenal di seluruh dunia ini pasti terbayangkan seorang wanita cantik sedang memasak dengan cara memasaknya yang mudah dan senang dipraktikkan. Trade mark Nigella Lawson selepas masak adalah akan makan sendiri masakannya dengan penuh gaya.
Bentuk tubuh Nigella Lawson juga menjadi buah mulut kerana ramai yang mencemburui tubuhnya yang seksi dan berbentuk ‘hour glass’. Kini tubuh Nigella Lawson yang menjadi bualan itu sudah tidak kelihatan lagi apabila selebriti chef cantik ini mengamalkan gaya hidup sihat dan berjaya menurunkan berat badannya. Lihat saja perubahan ketara bentuk tubuh Nigella dahulu dan sekarang.
Nigella Lawson yang dulu Foto: Instagram @foodinbooks
Nigella Lawson yang telah menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-60 pada 6 Januari lalu nyata telah memberi inspirasi kepada semua wanita bahawa usia bukan segala-galanya. “Penuaan selalu diadaptasikan sebagai penutup peluang kepada wanita.
Namun sepanjang perjalanan kehidupan ini saya melihat sebuah kehidupan penuh misteri. Biasanya saya tak suka menyambut ulang tahun kelahiran tapi tahun ini begitu sukar untuk menangkisnya,” kata Nigella Lawson kepada The Weekend Australian Magazine sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-60.
Siapa kata wanita berusia tak boleh aktif di media sosial? Nigella Lawson membuktikan usia tidak menghalang untuk aktif di media sosial. Nigella Lawson mempunyai 1.9 juta pengikut di laman Instagram dan mendapat pengesahan ‘blue tick’. Nigella Lawson juga masih menjadi buruan media untuk menjadikannya sebagai penghias kulit depan majalah terkenal dunia.
Mari kita tengok gaya hidup sihat yang diamalkan Nigella Lawson untuk mendapatkan bentuk tubuh idaman.
Yoga – Nigella Lawson memilih yoga sebagai senaman hariannya. “Saya melakukan yoga tiga kali seminggu. Saya suka bersenam dengan cara yang memudahkan kalau tidak saya tidak akan melakukannya. Semakin berusia saya dapat rasakan saya perlu lebih banyak buat stretching. Kalau saya tak dapat membuat yoga saya akan akan stretching saja,” kata Nigella Lawson kepada majalah Good Housekeeping.
Sayuran hijau – Nigella beruntung kerana bijak mengadun makanan sehingga sayuran hijau menjadi sedap. Menurut Nigella Lawson walaupun dia masih suka makan makanan manis tetapi melebihkan sayuran hijau. “Saya suka makan superfoods seperti kale dan avokado,” kata Nigella Lawson yang banyak berkongsi resepi di laman web miliknya.
Treat yourself– Nigella Lawson memang terkenal dengan suka makan tetapi menurut wanita ini tidak salah menikmati hidangan enak asalkan tahu mengimbangkannya.
Foto: Facebook & Instagram Nigella Lawson
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah cinta Al Ghazali dan Alyssa Daguise sememangnya menarik perhatian ramai. Dari pertemuan pertama sehinggalah akhirnya mereka memutuskan untuk berkahwin, ramai yang ingin tahu kisah cinta pasangan muda ini.
Kredit Foto: Instagram @alyssadaguise
Kisah cinta mereka bagaikan roller coaster, penuh dengan kejutan dan liku yang sebenarnya mengeratkan lagi hubungan mereka.
Pertemuan Pertama Di Sekolah Antarabangsa
Pertemuan pertama Al Ghazali dan Alyssa berlaku sekitar 2014 dalam sebuah majlis di sekolah antarabangsa. Ketika itu, Al Ghazali hanya menemani rakan namun pandangannya tiba-tiba terarah kepada Alyssa buat pertama kalinya.
Selepas dua tahun berkawan, hubunan mereka mula serius pada 2016.
Menariknya, Al Ghazali memilih tarikh perkahwinan yang sama dengan tarikh hari lahir ibunya, Maia Estianty sebagai simbol kasih sayang kepada dua wanita terpenting dalam hidupnya.
Sudah pasti ibunya merasa sangat terharu dan gembira.
Hubungan Al Ghazali dan Alyssa tidak selalunya lancar. Mereka pernah berpisah dan kembali bersama beberapa kali. Tempoh perpisahan paling lama ialah pada 2022.
Walaupun ketika itu mereka telah menjalani kehidupan sendiri dan tidak berhubung namun takdir mempertemukan mereka kembali pada 2023.
Alyssa sendiri mengakui, dia tertanya-tanya kenapa Al Ghazali sering datang kembali ke dalam hidupnya walaupun mereka berusaha untuk memutuskan hubungan. Mungkin inilah yang dinamakan cinta sejati.
Kisah putus cinta dan kembali bersatu ini adalah bukti cinta mereka diuji oleh masa serta jarak.
Lamaran Romantik & Dream Wedding
Keseriusan hubungan mereka semakin terserlah apabila Al Ghazali melamar Alyssa di Tasik Como, Itali pada Julai 2024. Detik romantik itu menjadi lembaran baru dalam hubungan mereka.
Akhirnya mereka sah bergelar suami isteri pada 16 Jun 2025 di The St. Regis, Jakarta Selatan. Majlis diadakan secara tertutup hanya dihadiri keluarga, saudara terdekat dan beberapa rakan terpilih.
Upacara akad nikah dilakukan mengikut adat Sunda dan diwalikan oleh adik lelaki Alyssa.
Al Ghazali memberikan mas kahwin berupa 16.6 gram logam berharga dan 2025 Euro, jumlah yang mewakili tarikh perkahwinan mereka (16/6/2025).
Pasangan ini kelihatan menyerlah dalam busana tradisional yang elegan dan moden.
Kehadiran ibu bapa Al Ghazali iaitu Ahmad Dhani dan Maia Estianty menambahkan lagi emosi serta kegembiraan. Ramai selebriti turut hadir dan mengucapkan tahniah.
Mereka mendoakan agar kebahagiaan Al Ghazali dan Alyssa berpanjangan dan menjadi inspirasi kepada pasangan-pasangan muda di luar sana.
Kisah cinta mereka yang penuh dengan perjuangan dan kebahagiaan boleh menjadi contoh agar sentiasa menyayangi dan menyokong antara satu sama lain.
Selamat menempuh hidup baharu, Al Ghazali dan Alyssa Daguise. Semoga kekal selamanya.
Sumber: www.fimela.com
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Rezeki Rohana Ibrahim.. dikurniakan anak seperti Shiha Zikir yang tidak pernah putus memberi kebahagiaan kepadanya. Walau bergelar selebriti, anak bongsu daripada tiga beradik itu sedikit pun tidak berasa malu membawa Rohana menghadiri setiap show yang diterima. Paling menyentuh hati, Shiha sanggup berbelanja besar semata-mata mahu memberi keselesaan kepada ratu hatinya itu. Alahai, sejuk perut ibu mengandung!
Ditemui ketika menemani Shiha untuk program The Stage Media Hiburan, ibu berusia 60 tahun ini meluahkan rasa syukur kerana punya anak yang cukup prihatin. Mengakui tidak pernah memaksa Shiha untuk membawanya ke mana saja, Rohana yang merupakan ibu kepada tiga orang anak menjelaskan semua itu adalah kerelaan hati Shiha sendiri yang mahu sentiasa melihat dan berada di sisi ibunya setiap masa. Tanpa berselindung, dia membuka bicara.
“Bukanlah kata nak puji anak sendiri tapi iyalah mana-mana ibu pun akan rasa bertuah kalau ada anak macam dia sebab Shiha ni apa-apa yang dia buat mesti dia pentingkan kita (ibu) dulu. Misalnya kalau ada show yang kata tak boleh bawa mak, memang dia tolak walaupun bayarannya tinggi. Itu yang saya perasan tentang Shiha.. dia ada prinsip dia sendiri. Aunty pernahlah juga datang ke satu show ni. Bila dah sampai, mereka tak bagi masuk.. katanya orang pakai tudung tak boleh masuk dan macam-macamlah aunty pernah kena.”
Mendengar pengakuan ibunda tersayang, Shiha yang duduk di samping ibunya terus mencelah. “Bila jadi situasi macam tu, kita mula fikir sesuatu dan rasa tak best. Sampai pertengahan show tu baru saya sedar ia bukan persembahan dinner ‘biasa-biasa’ sebaliknya ada acara yang bertentangan dengan agama kita. Tanpa fikir panjang, saya terus panggil kawan saya yang juga penyanyi datang gantikan persembahan dan terus tinggalkan show. Memang saya kena ugut masa keluar dewan tapi kalau nampak botol arak depan mata, saya akan stop.”
Meskipun nama Shiha Zikir tidak begitu popular dalam industri muzik tanah air namun ia bukan halangan bagi penyanyi berbakat besar ini. Katanya, bukan populariti yang menjadi ukuran sebaliknya penglibatan Shiha dalam arena muzik adalah kerana minat.
“Dengan Shiha ni kita tak boleh merungut apa. Kalau cakap sedikit je ‘Eh, cantiklah barang ni’.. esok mesti dapat. Pemberian paling bernilai yang Shiha hadiahkan ialah kereta Vellfire. Tak minta pun sebab dah ada kereta tapi dia takut aunty tak selesa bila selalu ikut dia jalan jauh. Bab hadiah hari jadi, tiap-tiap tahun mesti dia bagi barang kemas,” jelas ibu Shiha yang menggemari barangan kemas.
Tambahnya lagi, “Dia anak yang sangat bertanggungjawab. Tak boleh dengar kita susah. Kalau kita termenung, dia akan cepat-cepat tanya ada Shiha buat salah ke. Kalau ada mak beritahulah jangan simpan-simpan. Sampai macam tu sekali dia takut buat kita terluka. Sejujurnya, Shiha ni akan yang paling senang nak besarkan. Bahkan masa dia kecil lagi dia dah jadi anak yang baik. Ingat lagi masa bersalin dulu, ibu-ibu yang bersalin sama hari macam aunty tak boleh tidur sebab anak mereka menangis tapi Shiha tak.
Nurse pun jadi pelik suruh aunty tengokkan dia sebab lena tidur. Masa Shiha baru berusia 15 hari, dia pernah hanyut atas tilam di rumah sebab hujan tak henti-henti. Bila terjaga, tengok-tengok dia dah dekat pintu. Rumah banjir dan nasib waktu tu malam dan pintu rumah tutup. Waktu dia baru berjalan umur setahun setengah, dia pernah lemas dalam baldi di bilik air sampai muka jadi biru. Sebab kejadian tu.. sampai sekarang dia takut air. Dari dia kecil, arwah bapa dia yang perasan bakat menyanyi Shiha tapi tak kesampaian tengok anak dia berjaya seperti hari ini.”
Mula menyanyi seawal tahun 2010, Shiha nyata bersyukur dengan limpahan rezeki yang diterimanya walaupun sedar tidak mencapai puncak populariti seperti artis popular lain. Pun begitu, dia selesa dengan kejayaan yang diraih sekarang. “Saya sedar populariti tu perlu tapi tak terdesak sampai hendak create story kontroversi untuk popular. Alhamdulillah, rezeki saya cukup mungkin sebab saya jaga mak dari dulu lagi sejak arwah bapa meninggal tahun 2008. Orang fikir dia ni tak popular sangat tapi rezeki saya cukup. Tiap minggu ada saja jemputan persembahan dinner dan rezeki cukup untuk menyara ibu, bayar duit kereta, rumah dan sebagainya.”
Nona percaya rezeki yang diterima Shiha berkat doa dan keikhlasannya membahagiakan hati insan bergelar ibu. Moga kasih sayang Shiha menjadi inspirasi kepada semua wanita agar terus menghargai jasa ibu yang melahirkan kita ke dunia.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.