“Menitis Air Mata Saya Melihat Suami Pulang Dalam Keadaan Menahan Lapar” USTAZAH FATIMAH SYARHA

Semoga Allah SWT mengurniakannya syurga tertinggi” Itu antara cebisan kata-kata menyentuh hati daripada figura terkenal, Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin. Di sebalik kelembutannya tersirat satu perasaan sukar diungkap. Ustazah Fatimah Syarha merupakan isteri kepada Dr Farhan Hadi yang kini berjuang sebagai frontliner memerangi wabak COVID-19.

Selayaknya Ustazah Fatimah Syarha digelar isteri solehah yang sentiasa berdiri teguh di belakang suaminya. Bersama anak-anak, beliau yang kini berusia 36 tahun terus cekal mengharungi ujian ini bersama suami yang dikasihi.

Dr Farhan Hadi bertugas di bahagian kecemasan Hospital Pakar al Islam, Kampung Bharu Kuala Lumpur. Tugasnya, melakukan saringan pesakit-pesakit yang disyaki. Sekiranya didapati positif, Dr Farhan akan menghantarnya ke hospital kerajaan.

“Sebagai isteri seorang doktor, banyak perkara menyentuh hati saya. Sehari sebelum perintah PKP diumumkan, suami membuat perbincangan sama ada mahu menghantar saya dan anak-anak di kampung atau sebaliknya.

Sebagai frontliner suami mahu keluarga terselamat daripada risiko di mana seorang doktor mungkin membawa balik kuman dan virus setelah bertugas. Pada masa sama, suami juga mempertimbangkan saranan agama. Akhirnya, kami memutuskan untuk mengikut petunjuk agama agar tidak lari dari kawasan wabak.

Kami teguh di belakang perjuangan Abi (panggilan kepada suami) dan yang seangkatan dengan Abi! Saya lihat semangat suami untuk berbakti bukan hanya di hospital bahkan di rumah. Anak-anak juga faham erti kesabaran, menahan rindu terhadap Abi mereka.

Pernah menitis air mata saya melihat suami pulang lewat malam dalam keadaan menahan lapar. Katanya, sempat menjamah sedikit sahaja makanan hari itu. Sebelumnya, suami oncall semalaman, pulang sekejap waktu pagi dan tengahari masuk kerja lagi sampai tengah malam. Saya tak dapat bayangkan betapa penatnya dia. Di rumah, suami tak banyak berehat. Kerja bertali arus. MasyaAllah.

Sekarang ini suami bertolak ke hospital lebih awal daripada biasa dengan menaiki motorsikal bagi elak kesesakan jalan raya. Katanya, dia perlu menyiapkan diri dengan pakaian khas dan sentiasa dalam keadaan hygine. Kadang berhujan, kadang berpanas suami rempuhi jua. Katanya, “Abi perlu selamatkan nyawa“.

Apabila berinteraksi dengan ramai pesakit, suami perlu melalui proses saringan di hospital. Sebelum keputusan saringan keluar, suami banyak memencilkan diri di ruang pejabatnya di rumah kerana mahu elak risiko terhadap kami. Anak-anak sering bertanya, “Kenapa Abi tak macam dulu?” Saya jelaskan kepada mereka sambil ajak berdoa dan solat hajat bersama.

Suami berpesan kepada saya, “Kita perlu bersedia jika Abang kena kuarantin” Saya terus merasakan hakikat hidup ini sebentar cuma. Sekejap atau lama, cepat atau lambat, semua orang pasti akan diuji perpisahan. Hanya syurga tempat abadi yang tiada lagi kematian dan perpisahan.

Saya tak dapat bayangkan kerinduan anak-anak terutama yang berusia 6 dan 4 tahun andai ‘kuarantin’ itu benar-benar terjadi. Setiap malam mereka akan tercari-cari Abi. Mereka mahu tidur sambil dipeluk Abi. Kadang kala mereka menangis kerana ketiadaan Abi.

Syukur, keputusan saringan mengesahkan suami negatif COVID-19. Suami pernah memeriksa pesakit positif COVID-19 sehingga pihak hospital mempertimbangkan beliau untuk dikuarantin. Mujurlah saat itu suami lengkap berbaju khas. Risiko tetap ada namun boleh dikurangkan.

Bila saya mendengar rakan sejawatannya, seorang doktor wanita disahkan positif COVID-19 saya amat bersimpati namun pada masa sama menambah debaran saya setiap hari. Mujur ada Allah SWT tempat memohon perlindungan.

Anak-anak memang rapat dengan suami. Setiap kali dengar ekzos motor dengan pantas mereka akan berlari ke pintu dan menyangka itu Abi. Ketika pulang kerja, suami terpaksa menyorok mengikut laluan khas kerana bimbang diterkam anak-anak. Suami bimbang menularkan kuman kepada mereka. Selepas mandi sebersih-bersihnya dan menyiapkan diri, barulah suami akan luangkan masa bersama kami.

Saya kini dalam fasa akhir PhD, mengejar due date. Memandangkan tiada pembantu rumah, semua urusan rumahtangga kami buat bersama. Anak-anak yang besar (11 dan 9 tahun) tugasnya memajukan diri dan mendidik adik-adik. Tugas saya selain menyiapkan tesis PhD, perlu mengemas, menyapu dan memasak. Suami pula rajin uruskan kain baju walaupun sibuk di hospital. Bila memasak, suami selalu mahu turut serta memberikan sinergi. Ia menyebabkan saya sebak sendiri. Semoga Allah SWT memberinya syurga tertinggi.

PESANAN

Buat mereka yang pasangannya doktor seperti saya, ingatlah Allah Maha Pelindung, Maha Penjaga, Maha Pemelihara. Jaga zikir-zikir terpilih dalam al-Quran dan al-Sunnah seperti dalam al-Ma’thurat, Manzil atau Hisnul Muslim sebagai doa perlindungan pagi dan petang. Pujuk hati dengan keindahan maksudnya. Jadikan musibah ini asbab kita makin dekat dengan Allah SWT.

Saat Rasulullah SAW dipulau di perbukitan selama 3 tahun dalam keadaan lapar dan serba kekurangan isteri baginda, Khadijah menemani perjuangan dengan rela dan cinta. Kita cuma perlu berada di rumah, sabar sepanjang ketiadaan pasangan yang berjuang di barisan hadapan. Walaupun terpaksa menempuh kesukaran menguruskan anak-anak sendirian, insyaAllah inilah peluang kita meraih pahala syahid meskipun tidak mati, sebagai mana dikhabarkan dalam riwayat yang sahih.

Cipta bahagia di rumah bersama keluarga tersayang dan nikmati detik bersama. Rasai semua musibah ini, ada rahmat indah dari Ilahi. Biar pasangan pulang dalam keadaan bahagia dan terubat melihat anak-anak menerima jagaan dan pendidikan sebaiknya. InsyaAllah, kita juga sedang berjuang di medan kita.

Saya mohon dan merayu, patuhilah arahan PKP. Kasihani diri kita, insan yang kita sayangi dan insan lain yang mungkin terjejas. InsyaAllah, pelangi akan segera tiba andai kita sabar dan patuh dengan arahan ini.”

Ibu kepada 5 orang anak ini juga merupakan Jawatankuasa Majlis Perundingan Wanita, MAWAR YADIM. Ustazah Fatimah Syarha dan suami turut menguruskan syarikat penerbitan buku milik mereka iaitu Sebarkan Bahagia.

Kredit Foto: Instagram Ustazah Fatimah Syarha

Share
Published by
Amy Mohd