“Menjadi Ibu Mengajar Erti Sabar” – YM Tunku Kaiyisah

Terserlah sifat keibuan dalam diri Tunku Kaiyisah saat berbicara tentang dua orang putera kesayangannya. “Menjadi seorang ibu banyak mengajar saya erti perkataan sabar. Mungkin dulu kita cepat melatah ketika muda, tetapi sebaik sahaja menimang cahaya mata kesabaran benar-benar diuji. Bayangkan sudah biasa tidur lena tiba-tiba jururawat datang bawa masuk bayi kita untuk menyusu.

Itu adalah antara cabaran saya apabila masuk ke usia 30an dan dianugerahkan menjadi seorang ibu. Sudah tentu nikmat bergelar seorang ibu hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Bila anda bukan bergelar seorang ibu sukar hendak mengekspresikan perasaan ini.

Kadang-kadang timbul rasa bersalah apabila sering keluar bekerja dan terpaksa meninggalkan mereka di rumah tetapi teknologi telekomunikasi membuat kehidupan lebih mudah dan kita sebagai ibu boleh berkomunikasi dengan anak-anak bila-bila masa sahaja. Anak-anak merupakan sumber inspirasi saya dalam hidup ini.

Apabila ada hari tertentu saya rasa down, all I have to do is sit with them. Apabila bermain bersama anak-anak dan bergelak-ketawa bersama, hilang semua masalah,” bicara Tunku Kaiyisah, merupakan anakanda sulung YAM Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Hajah Tengku Aishah Binti Sultan Ahmad Shah.

Tunku Kaiyisah bersama sepupu, Natasha Ozeir, menubuhkan PrettySuci merupakan laman membeli-belah atas talian yang menjadi hab produk kecantikan dan penjagaan diri halal pertama di dunia. Sebagai seorang wanita yang mempunyai beberapa perniagaan sendiri dan dalam masa yang sama menyandang gelaran sebagai isteri dan juga ibu terdetik untuk bertanya tentang pengurusan masanya.

“Sebagai seorang isteri dan ibu serta mempunyai kerjaya kena pandai membahagikan masa untuk menyeimbangkan tugasan tersebut. Saya bersyukur kerana mempunyai suami yang sangat bertolak-ansur dan memahami.  Suami mengizinkan saya melakukan apa sahaja yang saya mahu tetapi kena bijak mengagihkan masa.

Kadang-kadang ada satu hari saya mempunyai tugasan di luar dan malam baru balik  ke rumah suami tidak pernah menghalang dan bertindak menjaga anak-anak di rumah. Namun saya juga memberi kebebasan kepada suami jika ada program yang mahu diikutinya, saya pula akan bergilir menjaga anak-anak.

Kemudahan teknologi sekali lagi memudahkan kerja saya. Walaupun berada di rumah, tapi saya masih boleh mengakses, membuat laporan mahupun pembentangan kertas kerja. Ada juga masanya saya akan memberitahu rakan perniagaan untuk bekerja dari rumah untuk meluangkan lebih masa bersama anak-anak dan juga suami,” tutur Tunku Kaiyisah yang merupakan isteri kepada Wan Putera Shahril dan ibu kepada YM Tun Putera Shakeel Abdullah Shah, 4 tahun, serta YM Tun Putera Khyrie Ahmad Shah, 2 tahun.

Walaupun sibuk menguruskan perniagaan sendiri namun Tunku Kaiyisah secara diam-diam menyimpan hasrat untuk menjadi Pereka Hiasan Dalaman. “Kalau ada rezeki dan masa memang saya mempunyai impian untuk menjadi pereka hiasan dalaman.  Ini kerana saya suka perabot, kemasan dinding, fabrik dan apa sahaja yang melibatkan hiasan dalaman. Saya merealisasikan impian tersebut dengan mereka hiasan dalaman kediaman sendiri. Saya suka, walaupun mengambil masa yang lama bagaimana nak susun perabot, garapan warna hiasan dan segala-galanya tetapi saya puas melihat hasil tangan diri sendiri,” ujar Tunku Kaiyisah yang menggemari kediaman berkonsepkan moden kontemporari juga penerima anugerah Nona Royal Award di malam gilang-gemilang Nona Superwoman Awards baru-baru ini.

 

 

 

 

 

 

Share
Published by
Hamizatul Maizan