Sejak membintangi drama Imam Instant Ustazah Scammer yang cukup fenomena pada tahun ini, si cantik manis Qasrina Karim semakin mendapat tempat di hati para peminatnya dan juga wargamaya dek kerana wajahya yang manis dan ayu. Ramai yang mengidolakan gadis ini kerana keterampilannya yang mudah didekati sopan dan cantik.
Sudah tentu Nonarians teringin untuk mengetahui apakah rahsia kecantikan Qarina, meski pun sedang sibuk membuatkan rakaman drama terbaru.
Kecantikan Satu Investment Besar!
Ditemu bual bersama NONA, Qasrina Abdul Karim menjelaskan dia harus lakukan rutin kecantikannya walaupun sibuk. Katanya, itu merupakan satu investment yang di buat untuk kekalkan kecantikan dirinya.
“Kecantikan ini satu investment jadi saya amat pentingkan penjagaan kulit wajah,
“Walau sibuk macam mana pun, skincare is a must kerana itu satu kepentingan dalam menjaga kecantikan diri.” ujarnya.
Apabila disoal mengenai tip atau bahan alami yang digunakan, Qasrina akui dia mengambil suplemen vit C sahaja untuk kekal bertenaga. Malah, dia juga gemar mengambil buah-buahan sebagai bahan semula jadi untuk tubuh badannya.
“Suplemen yang saya ambil adalah Vit C, tak perlu tambahan yang lain kerana ia cukup berikan kecergasan buat badan sebab sering rasa penat bile shooting,
“Saya juga suka makan buah-buahan seperti blueberry, strawberi dan juga salad. Ia menjadikan diet seimbang untuk tubuh badan dan kulit wajah!” katanya lagi.
Untuk rekod, team NONA menemui Qasrina pada majlis Alhumaira dalam memperkenalkan koleksi ekslusif ‘Sally & Remy’. Pelbagai koleksi tudung yang banyak di inspirasikan dari hasil karya seni Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma.
Sumber: Instagram Qasrina Karim
Bukan Susah Nak Miliki Rambut Yang Cantik Terurus, Boleh Cuba Ikut Trik Ini Untuk Stail EFFORTLESS
Gaya rambut ikal kini kembali memikat penggemarnya. Tidak sekadar memberi impak glamorama, rambut yang dikemaskan dengan potongan menarik mampu menyalakan gelora cinta di hati jejaka.
Namun begitu, jika berkenan untuk menukar gaya selaras peredaran masa, pastikan ia dipotong kemas sempurna, agar rambut tetap mudah diurus meskipun ketika di luar kawalan anda!
Uji Sendiri Jenis Rambut
Tidak semua wanita dikurniakan rambut normal semula jadi. Perbezaan cuaca, gaya hidup, pemakanan dan peningkatan usia mampu menukar takdir rambut yang sihat kepada pudar tanpa tarikan.
Selain itu, penggunaan produk rambut yang bertentangan dengan jenis rambut anda juga mendorong pelbagai masalah seperti kelemumur, rambut gugur dan bercabang. Untuk mengetahui apakah jenis rambut yang anda miliki, cuba lakukan ujian mudah ini.
# Langkah 1
Sehari sebelum membuat ujian ini, syampu rambut anda seperti biasa.
# Langkah 2
- Menggunakan sehelai kertas tisu, pedapkan ke akar/pangkal rambut di bahagian tengah kepala serta di belakang cuping telinga selama seminit.
- Jika kertas tisu nampak berminyak, ini menunjukkan kondisi rambut yang terlebih lembapan, dan begitu juga sebaliknya.
Jenis-Jenis Rambut
(a) Normal
Rambut dari jenis normal begitu mudah diurus, bersinar dan tidak berminyak.
(b) Berminyak
Lazimnya rambut hanya cantik bermaya sehari dua selepas bersyampu. Tetapi bila masuk sahaja hari ketiga, ia mulai ‘berat’ dan berminyak-minyak. Biasanya rambut dari jenis ini sering berdepan masalah kelemumur.
(c) Kering
Rambut dari jenis ini sungguh sukar dikawal. Apalagi selepas bersyampu, ia tampak kusam dan terbelah di hujung. Kadangkala kepala terasa gatal, berkuping-kuping, begitu rapuh dan mudah putus.
(d) Kombinasi
Lahir dari kombinasi berminyak dan kering, rambut kombinasi mudah dikenalpasti kerana rona hujung rambut berwarna lebih cerah berbanding pangkalnya. Ini juga menunjukkan akar rambut anda berminyak tetapi bila sampai ke hujung, ia kering seperti akar kayu.
Jika jenis rambut anda ikal kerinting semula jadi, usah terlampau kerap meluruskannya dengan cara ironing. Ia menyeksa rambut, mengeringkan lembapan sambil menggalakkan kutikel menjadi kasar dan kusam. Dapatkan potongan sesuai bentuk wajah, melabur pada produk ‘anti-frizzy’ dan buatlah perawatan melembap sebulan sekali.
Trik Dandanan
- Cuba ikat ponytail, berdiri tegak di depan cermin dan analisis bentuk wajah anda. Jika berwajah besar dan luas, elakkan menggaya fesyen rambut lepas kerana ia mencipta ilusi gempal. Gaya chignon (bun moden) dengan ‘fringe’ di atas kening merupakan pilihan paling tepat. Bagi anda yang berwajah kecil, gaya rambut ikal berombak di paras bahu mampu menyerlahkan penampilan anda.
- Potongan ‘fringe’ menutupi dahi mencipta imej muda dengan segera. Hanya gunakan pengering rambut dan oleskan sedikit produk rambut yang ringan untuk gaya ringkas dan mudah.
- Buat seketika, lupakan penyepit rambut untuk mencipta gaya sanggul segera. Terkini di lantai peragaan, gaya bun moden menyuntik kelainan kepada wanita yang mendamba kecantikan segera. Aksesori ‘hair sticks’, ‘headband’ dan pin berbatu kini sedang trend di pasaran.
- Adakah rambut anda sering kusut dan mengurai degil? Cara paling mudah untuk mengawal rambut sukar diurus ialah ketika bersyampu. Selepas membilas sisa buih, lumurkan perapi dan pastikan anda menunggu mengikut masa yang ditetapkan. Rumusan perapi cukup berkesan untuk menjadikan gaya rambut anda sentiasa kemas dalam kawalan. Rosmah Idayu Abu Samah
Kenali Perubahan Tubuh Seiring Bertambahnya Usia
Seiring bertambahnya usia, ulang tahun bukan lagi saat untuk bergembira seperti ketika kita masih di zaman kanak-kanak mahupun remaja. Kita seharusnya mula beradaptasi dengan setiap perubahan yang berlaku terhadap tubuh seiring bertambahnya usia. Ketahuilah bahawa dengan mengenali perubahan-perubahan yang terjadi pada tubuh dapat membantu kita untuk bersiap sedia seterusnya lebih menyayangi tubuh kita sendiri.
30-AN
Secara semulajadi, proses berkurangnya hormon adalah bermula pada usia 30-an. Kadar metabolisma akan menurun sekurang-kurangnya empat ke lima peratus pada setiap tahun. Manakala berat badan pula akan semakin bertambah meskipun seseorang itu rajin bersenam mahupun sentiasa menjaga pola pemakanannya agar tidak berubah sejak usia 20-an.
Peratusan lemak tubuh pula mencapai 25 peratus yang biasanya terkumpul di bahagian punggung, paha dan perut. Lemak ini sangat penting semasa kehamilan namun setelah melahirkan lemak-lemak ini akan lebih cenderung untuk terkumpul di sekitar perut bahagian bawah. Selain itu, terjadinya juga pengurangan massa otot.
Pembentukan sel kulit baru turut berkurangan saat melebihi usia 35 tahun. Ketika ini munculnya kedutan-kedutan terutama jika seseorang itu gemar merokok serta sering terdedah atau kerap bekerja di bawah sinaran matahari tanpa memakai krim tabir suria secara teratur sejak usia 20-an.
Pada awal hingga pertengahan 30-an, kaum wanita akan mudah mencapai puncak seksualitinya atau orgasme. Ini adalah kerana terdapatnya rasa percaya diri, percaya pada pasangan serta akumulasi pengalaman.
40-AN
Usia ini merupakan fasa di mana kaum wanita yang memiliki anak sibuk dengan aktiviti mendidik serta merawat. Metabolisma akan terus menurun. Tanpa senaman yang teratur tubuh akan kehilangan sekurang-kurangnya 250 gram massa otot setahun, sementara lemak pula akan bertambah tiga kali ganda.
Disebabkan oleh kadar estrogen yang terus menurun, kolagen atau protein berisi serat halus dan elastin iaitu protein yang membentuk bahagian utama jaringan serat elastik pada kulit berkurangan sehingga kulit mulai mengering, tidak anjal seterusnya semakin banyak kedutan yang muncul. Berkurangnya elastisiti turut terjadi pada kanta mata yang menyebabkan menurunnya daya penglihatan.
50-AN
Usia ini merupakan bermulanya fasa menopaus bagi kaum wanita. Ketika ini terdapat segelintir kaum wanita yang mengalami gangguan-gangguan seperi insomnia, mood swing, hot flush dan mudah lupa. Menurunnya kadar estrogen akan menstimulasi pengumpulan lemak pada bahagian perut, paha, punggung, cuping telinga, pipi dan bagian bawah mata. Namun, pada beberapa bahagian contohnya hypodermis atau lapisan bawah kulit, lemak terhakis sehingga kulit mengendur serta menipis.
Menopaus juga menyebabkan dinding vagina kering dan kehilangan elastisitinya yang boleh menimbulkan rasa sakit ketika berhubungan intim. Kadangkala, terjadinya melecet akibat tergesel. Bibir vagina mungkin mengecut sehingga menekan klitoris mengakibatkan kadar sensitiviti organ tersebut menurun.
60-AN
Sekiranya pengambilan kalsium mencukupi sebelum ini, tubuh akan lebih lambat mengalami masalah fizik. Wanita yang kekurangan kalsium serta tidak bersenam mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat osteoporosis di mana hilangnya kepadatan tulang.
Hilangnya kadar estrogen turut menyebabkan rambut kian menipis. Namun begitu, rambut di bahagian-bahagian lain menebal serta berwarna lebih gelap. Sel-sel kulit turut kehilangan kemampuan untuk memperbaiki diri sehinggakan sel kulit mati pada wajah tidak lagi sekata. Akibatnya, sinaran matahari akan lebih mudah meninggalkan noda hitam pada wajah.
Sementara berat badan pula mungkin akan berkurangan atau tetap kerana metabolisma tubuh menurun serta nafsu makan juga berkurangan. Minat untuk melakukan hubungan intim juga merosot, dan jika tidak melakukan hubungan intim dalam jangka masa yang lama vagina akan menyusut dan kering.
Nak Dapatkan Rambut Sihat, Bukan Dengan Produk Saja. Suhu Air Untuk Bersyampu Pun Penting
Walaupun mencuci rambut boleh dikatakan rutin harian, tetapi masih ramai yang tidak tahu cara yang betul.
Sebenarnya masalah rambut seperti kelemumur, rambut putus, keguguran, berminyak atau kering bukan datang daripada kesalahan memilih syampu. Tapi masalah tercetus akibat cara mencuci rambut yang tidak tepat.
Mencuci rambut dengan cara yang salah membawa kesan buruk kepada kesihatan rambut. Biasanya anda membersihkan rambut menggunakan air panas atau air sejuk?
Sebenarnya bagi memperoleh kesihatan rambut yang optimum, langkah yang paling tepat adalah dengan mengatur suhu air ketika bersyampu.
Kebaikan Air Panas
Membersihkan rambut secara menyeluruh, air hangat merupakan pilihan yang tepat. Membersihkan rambut dengan air hangat boleh membantu membuka kutikel dan pori-pori pada kulit kepala.
Situasi ini membantu menyingkirkan minyak berlebihan, sel kulit mati, kotoran dan kelemumur yang bertompok dan menyumbat permukaan kulit kepala. Air panas juga boleh menyingkirkan sisa-sisa bekas produk rambut dari kulit kepala.
Selepas membersihkan rambut dengan air panas, kulit kepala akan menjadi lembap dan hangat. Kondisi ini akan membantu syampu dan perapi meresap ke dalam rambut dan kulit kepala dengan lebih berkesan.
Kelemahan Air Panas
Memang benar bersyampu dengan air panas dapat membantu membersihkan rambut dan kulit kepala. Tetapi, jika suhu air terlalu panas atau bersyampu terlalu lama boleh menyebabkan akar rambut cepat rosak.
Pada suhu yang terlalu panas, rambut akan mudah putus, gugur dan kering. Air panas menghilangkan minyak semula jadi rambut yang dikenali sebagai sebum. Sebum sangat penting untuk memastikan rambut terus bersinar dan kuat.
Kebaikan Air Sejuk
Ramai yang memilih membersihkan rambut dengan air sejuk kerana menyegarkan. Air sejuk dapat menutup pori-pori kulit kepala dan mencegah kotoran dan debu masuk serta berkumpul pada kulit kepala.
Selain itu, air sejuk menutup kutikel rambut dan menyerap kelembapan daripada perapi rambut. Malah, suhu kepala yang dingin dapat melancarkan peredaran darah. Darah mengandungi nutrisi yang diperlukan demi menjaga kekuatan akar rambut.
Kelemahan Air Sejuk
Air sejuk tidak sesuai buat mereka yang mempunyai rambut yang nipis. Mencuci rambut dengan air sejuk akan menjadikan rambut lepek dan tidak mengembang.
Jika anda memiliki rambut yang tipis, atau tinggal dan sering beraktiviti di daerah yang panas kering, mencuci rambut dengan air dingin akan membuat rambut tidak bermaya, berminyak dan tidak mengembang.
Solusi
Bagi menikmati hasil terbaik buat rambut anda, gabungkan kedua-dua air panas dan air sejuk ini. Mulakan dengan membasahkan rambut dengan air suam (bukan terlalu panas) untuk membuka pori-pori dan kutikel rambut.
Cuci rambut seperti biasa dan bilas dengan menggunakan air sejuk. Kombinasi ini adalah kesan terbaik untuk membersihkan rambut dari minyak dan kotoran serta menjaga kulit kepala agar tetap sihat. Cubalah! Hamizatul Maizan Mohamed