Resah dengan kitaran haid yang sering berubah-ubah menjadikan wanita sering murung dan kurang keyakinan diri.
Lebih cemas apabila sedang menghitung hari untuk mendirikan rumah tangga. Bimbang wujud masalah kesuburan akibat kitaran haid normal. Adakah kitaran yang sering berubah-ubah atau tidak menentu ini merupakan tanda penyakit?
Menstruasi atau haid adalah satu proses semula jadi dan normal yang menunjukkan seorang wanita itu sihat dan subur serta boleh hamil.
Semasa kitaran haid, berlaku beberapa perubahan hormon dalam badan yang menyebabkan dinding rahim tebal sebagai persediaan untuk kehamilan. Maka apabila tiada kehamilan berlaku dinding rahim akan luruh menjadi darah haid.
Ada wanita yang menggelar darah menstruasi atau haid ini sebagai ‘darah kotor’ mungkin kerana situasi ini berasal daripada lapisan dinding rahim, salur darah, darah dan ketika melalui faraj (vagina) membawa bersamanya kuman yang terdapat di dalam saluran faraj.
Bagaimanakah pula yang dikatakan menstruasi tidak normal?
Menstruasi dikatakan tidak normal apabila kitaran menjadi tidak teratur. Contohnya apabila menstruasi menjadi terlalu kerap atau pendek iaitu kurang dari 21 hari atau terlalu panjang iaitu melebihi 35 hari.
Menstruasi juga dikatakan tidak normal apabila berlaku perubahan kepada kuantiti darah sama ada terlalu sedikit, berpanjangan, terlalu banyak atau senggugut yang teruk.
Kitaran haid yang normal berlaku apabila fungsi dan hubungan di antara otak, kelenjar pituitari, ovari dan rahim bekerja mengikut peranan masing-masing.
Hubungan dan fungsi ini membabitkan beberapa hormon penting yang dirembes secara periodik contohnya FSH, LH, estrogen dan progesteron yang membawa perubahan kepada struktur dan ketebalan dinding rahim dan seterusnya menyebabkan kedatangan haid.
Dinding rahim memberi respons terhadap hormon tersebut dengan membuat beberapa perubahan atau penyesuaian seperti menjadi lebih tebal, meningkatkan pengaliran darah kepada dinding rahim dan meningkatkan pembentukan kelenjar pada dinding rahim.
Perubahan ini sangat penting sebagai persediaan untuk kehamilan tetapi sekiranya kehamilan tidak berlaku maka dinding rahim yang telah menebal itu akan luruh sebagai menstruasi.
Tahukah anda?
Haid yang normal biasanya mengambil masa 3 hingga 7 hari. Kitaran haid dikira dari hari pertama haid ke hari pertama sebelumnya. Adalah lebih baik kiraan ini dibuat untuk haid 6 bulan yang lepas. Ini kerana setiap bulan mempunyai bilangan hari yang berbeza contohnya ada bulan yang mempunyai 28 hari, 29 hari, 30 hari atau 31 hari. Oleh kerana itu jarang berlaku haid kita akan jatuh pada hari bulan yang sama setiap bulan.
Kitaran haid yang normal untuk wanita dewasa berlaku setiap 21 hingga 35 hari. Manakala untuk awal remaja antara 21 hingga 45 hari. Purata kitaran haid yang normal adalah 28 hari.
Mengapa wanita mengalami masalah haid tidak normal?
Kitaran menstruasi dikawal oleh otak, kelenjar pituitari, ovari dan rahim maka apa-apa masalah atau keadaan yang mengganggu fungsi mana-mana organ tersebut boleh mengganggu menstruasi sama ada menyebabkan kitaran jadi tidak teratur, berhenti berpanjangan atau senggugut.
Gangguan kitaran haid ini biasanya terjadi kerana perubahan fisiologi dan ketidakstabilan hormon semasa awal remaja iaitu satu hingga dua tahun selepas haid pertama atau apabila menghampiri menopaus (boleh berlaku dalam masa 10 tahun sebelum menopaus).
Sindrom Polisistic Ovarian
Sindrom yang berlaku kepada ovari adalah keadaan yang paling kerap menyebabkan gangguan hormon dan haid kepada wanita berumur antara 20 hingga 30-an. Sindrom ini juga berkait dengan obesiti, hormon lelaki yang tinggi menyebabkan tumbuh bulu roma yang berlebihan di bahagian muka, badan, kaki dan berjerawat.
Antara masalah pada rahim dan pangkal rahim adalah fibroid, polip atau kanser. Keadaan ini biasanya dihidapi oleh wanita yang berumur melebihi 30-an.
Masalah Lain
This website uses cookies.