Seriously, kagum dengan sikap para penyokong negara Matahari Terbit ini yang datang menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2018 di antara Jepun dan Belgium awal pagi tadi. Meskipun tewas 3-2 pada saat-saat akhir namun mentaliti dan sivik yang ditonjolkan penyokong di stadium selepas tamat perlawanan menjadi bualan ramai.
Seperti yang kita sedia maklum, masyarakat Jepun sememangnya terkenal dengan adab dan penekanan tentang kebersihan yang tinggi. Bagi yang pernah melancong dan tinggal di sana pasti teruja tengok cara mereka bekerja dan memelihara persekitaran. Memang bersih.. hendak jumpa sampah pun susah.
Disebabkan sudah terbiasa dengan situasi sedemikian, penyokong Jepun yang bertandang ke Rusia baru-baru ini turut membawa budaya tersebut ketika menyaksikan perlawanan. Dan, seperti yang dijangkakan tindakan masyarakat berbudi ini mendapat perhatian meluas.
Lebih mencuri tumpuan, dalam keadaan sedih kerana pasukan negara kecundang di tangan Belgium.. mereka tetap mengaut sisa buangan di sekeliling sambil menangis meratapi kekalahan berkenaan. Satu pemandangan yang sukar dilihat di kebanyakan negara terutamanya di negara kita.
Biarpun kalah, rata-rata khalayak yang melihat situasi ini menganggap masyarakat Jepun adalah ‘juara’ di mata dunia kerana kerana secara tidak langsung tindakan mereka berjaya mendidik orang ramai untuk membuat perkara sama.
This website uses cookies.