Menyampuk Tak Kena Tempat, ‘Percubaan’ IVANKA TRUMP Kurang Disenangi Pemimpin Dunia!

Akibat terlalu mencuba untuk bergaul dengan para pemimpin hebat dunia, anak perempuan kepada Presiden Amerika Syarikat ini terpaksa ‘hadap’ situasi kekok.

Tidak kira apa pun pangkat dan status diri, paling penting kena tahu menghormati mereka yang lebih berpengalaman dan bijak menyesuaikan diri dengan persekitaran. Bak kata orang dulu-dulu, masuk kandang kambing mengembek… masuk kandang kerbau menguak.

Percubaan Ivanka Trump untuk mencelah perbincangan pemimpin terkenal antaranya Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Perdana Menteri Britain, Theresa May; Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde nyata mengundang persepsi sinis terhadap isteri Jared Kushner.

 

Insiden tersebut dikatakan berlaku ketika tokoh besar Eropah berkenaan menghadiri Sidang G20 Sabtu lepas. Menerusi video yang dimuat naik di Instagram kediaman rasmi Presiden Perancis, Palais de l’Elysee itu, kelihatan kelibat Ivanka di samping mereka sekaligus menjadi topik hangat di Twitter termasuk penggiat politik Amerika Syarikat (AS).

Seorang ahli politik dan aktivis ternama AS, Alexandria Ocasio-Cortez berkata penyertaan Ivanka mengancam reputasi AS dalam dunia diplomasi. Beberapa pengguna Twitter yang mengikuti perkembangan tersebut turut menyifatkan tindakan Ivanka untuk menonjolkan diri di situ tidak kena pada tempat dan situasi.

Tidak sekadar menjadi bualan netizen dan ahli politik, media Barat juga tidak ketinggalan menyiarkan klip video yang tular tersebut dalam siaran langsung. Rata-ratanya melahirkan rasa kurang senang dengan ‘percubaan’ Ivanka tatkala pemimpin dunia terlibat membincangkan isu global.

Sewaktu Sidang G20 yang berlangsung di Osaka, Jepun pada 28 hingga 29 Jun lalu… Ivanka sempat menyampaikan ucapan di Majlis Rasmi Pemerkasaan Wanita yang menyeru pemimpin dunia mengutamakan hak wanita dan turut memuji pentadbiran AS di bawah pimpinan bapanya atas usaha mewujudkan inisiatif Pembangunan dan Kemakmuran Global Wanita.

Sidang G20 tahun ini merupakan persidangan di antara 19 negara dan Kesatuan Eropah yang mewakili majoriti besar ekonomi dunia.

 

 

Sumber: Astro Awani

Foto: Instagram Ivanka Trump

Share
Published by
Suzi