Menghadapi pemergian dan kehilangan orang tersayang buat selamanya pastinya memberi tamparan hebat kepada seseorang lagi-lagi pemergiannya tidak dijangkakan dan tanpa pesan.
Pemergian bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Dato’ Seri Zainal Abidin Osman ternyata memberi kesan cukup mendalam kepada Datin Seri Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin, 28, yang tidak menyangka akan kehilangan lelaki yang bergelar suami itu dalam sekelip mata.Tiada lagi tempat bermanja, tiada lagi usikan manja bersama suami tercinta, dan tiada lagi senyuman yang selama ini menenangkan hati gelisah.
Datin Seri Syafiqa yang juga merupakan kakak kepada pelakon Syatilla Melvin, meluahkan rasa rindu terhadap arwah suaminya dengan menyatakan pemergiannya itu terlalu awal untuk diterima.
“Sayang… 6 tahun bersama awak saya rasa macam baru 6 bulan. Awak adalah suami terbaik yang Allah kurniakan untuk saya”, luah Datin Seri Syafiqa di laman instagramnya mengundang sedih ramai pihak.
“Terima kasih atas amanah Zayyan & Hara yang awak beri pada saya. InsyaAllah saya akan mendidik amanah yang awak berikan ini supaya dapat menjadi saham akhirat untuk kita kelak. You gone too soon sayang…Too soon “, tambahnya lagi.
Allahyarham Dato’ Seri Zainal Abidin, 58, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.07 pagi pada 27 Ogos lalu di Hospital Ampang, Kuala Lumpur akibat kanser darah yang dihidapinya sejak Mac 2018.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak serta empat orang anak hasil perkahwinan pertama dengan Allahyarham Datin Shazarina Shamsuddin yang meninggal dunia pada 22 Disember 2010 akibat kanser hati.