Sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya jin dan syaitan itu berlari-lari (bergerak bebas) dalam saluran darah anak-anak Adam…”
Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, antara kemampuan yang dimiliki oleh makhluk jin ialah memasuki dan bergerak dalam tubuh manusia melalui salur darah. Terus, bagaimana ia terkait dengan Coronavirus? Baca penjelasan Dr. Anitawaty Mukhtar yang merupakan salah seorang Nona Superwoman ini.
Bukankah kita anak-anak Adam itu? Sayangnya zaman sekarang, ramai umat Islam yang angkuh, susah nak beriman dengan perkara-perkara ghaib. Majoriti enggan percaya bahawa adanya jin dan syaitan yang menjadi asas penyakit.
Penularan wabak COVID-19 sebenarnya bala ujian untuk kita. Saya suka memetik kata-kata Tuan Guru Dr Haji Jahid Sidek tentang krisis penyakit ini, tentang bagaimana virus tersebut diturunkan dan kaitannya dengan kita sebagai mukmin.
Kata beliau, memang COVID-19 ini adalah ujian Allah. Tapi ujian-Nya itu sangat kecil, sangat sedikit kalau berbanding rahmat kebaikan-Nya. Malah jika dilalui dengan kesabaran, akan membawa rahmat kebaikan di dunia dan akhirat.
Dalam menghadapi bencana COVID-19, kita wajib yakin wujudnya tiga hubungan iaitu sebab, musabbab dan musabbibal-asbab. Seorang yang ditimpa COVID-19, maka COVID-19 itu sebab. Penyakit yang dideritai oleh orang tersebut pula adalah musabbab. Manakala kudrat dan iradat Allah SWT yang berlakunya hubungan antara sebab dengan musabbab adalah musabbibal-asbab.
Amar Makruf Nahi Mungkar
Dalam surah At-Tawbah ayat 51 bermaksud, “Ya Muhammad, engkau ajarkan kepada umatmu bahawa tidak akan ditimpa musibah ke atas seseorang kecuali apa yang telah ditentukan oleh Allah.”
Orang beriman wajib memandang ujian ini sebagai tanda keagungan Allah dan memandang kesempurnaan rahmat-Nya. Kita takut pada keagungan-Nya, berusaha mencegah jangkitan COVID-19 dengan melakukan apa juga cara dan kaedah yang ada, disamping hati terus tenang dan optimis memandang rahmat Allah yang sempurna.
وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٌ۬ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ
“Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran, merekalah orang-orang yang beruntung.” (Ali Imran:3:104)
Allah SWT telah menetapkan bahawa tugas menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran adalah fardu kifayah yang wajib kepada umat Islam. Apabila hukum ini dicuaikan maka akan berdosalah seluruh umat itu.
Tugas berdakwah, menyeru manusia ke jalan Allah dan menjauhi jalan-jalan syaitan adalah tugas semua. Namun yang diberatkan untuk tugas ini ialah golongan ulama atau orang-orang yang berilmu. Sementara bagi masyarakat umum pula menjadi kewajipan bagi mereka untuk belajar dan berusaha menambah pengetahuan Islam.
Jika amar makruf nahi mungkar ini tidak dilaksanakan, Allah akan menurunkan bala bagi umat yang mencuaikannya. Dalam sejarah telah tercatat, pernah seorang sahabat, Ibnu Abbas r.a bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Adakah binasa sesebuah kampung itu walaupun di dalamnya terdapat orang-orang soleh?
Rasulullah SAW mengatakan bahawa, disebabkan mereka memandang mudah dan berdiam diri tanpa melarang perbuatan menderhakai Allah, maka Allah perintahkan malaikat supaya menterbalikkan kota itu ke atas penduduknya. Begitu sekali kepentingan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar ini atas orang-orang Islam.
Justeru, amar makruf nahi mungkar tidak boleh dipandang remeh dan dicuaikan. Namun dalam pelaksanaannya terdapat adab-adab yang perlu dipatuhi. Ia mesti dengan penuh hikmah dan bijaksana. Juga tidak boleh sengaja mencari kesalahan orang lain, kerana mengintai-intai salah orang juga adalah dosa!
Amar makruf nahi mungkar mesti dijalankan dalam semua peringkat masyarakat. Bermula dari diri, keluarga, masyarakat, negara hinggalah ke alam sejagat. Namun yang terpenting ialah kita mulakan dari diri dan keluarga kerana kaedah itu yang dikehendaki Allah dan telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Jadi perkara-perkara yang dibentangkan di atas ini, hendaklah kita titikberatkan kerana wabak ini bermaksud bala yakni tanda KEMURKAAN Allah. Jadi kalau kita sama-sama ber-amar makruf nahi mungkar, semoga diredhai Allah dan wabak ini dapat dibanteras segera. InsyaAllah.
Bekerja
Menyentuh tentang aktiviti Dr. Anitawaty, 45 tahun, sepanjang PKP ini, doktor gigi tersebut tidak menafikan bahawa beliau masih perlu ke kliniknya (Klinik Gigi Anitawaty) untuk kes-kes kecemasan sambil menguruskan syarikat Manarah Cure Sdn Bhd.
“Selesai menguruskan rumah tangga, biasanya saya suka ikut kuliah online Tuan Guru Dr Haji Jahid Sidek utk mengisi jiwa disamping mengikuti webinar pergigian. Saya juga cuma dapatkan info tentang COVID-19 dari sumber-sumber yang sahih seperti MKN (Telegram Majlis Keselamatan Negara).
Bagi saya PKP juga adalah satu bentuk rawatan kerohanian agar kita jadi lebih tenang, sabar dan mensyukuri apa yang kita ada di sekeliling, yakni semuanya kurniaan Ilahi.
Dalam tempoh ini, banyak juga saya cuba masakan yang sebelum ni tak sempat dibuat bila pulang bekerja. Sebab waktu PKP ni saya hanya rawat pesakit kecemasan dan tidaklah terlalu sibuk seperti hari-hari biasa. Jadi fikiran lebih santai dan relaks. Alhamdulillah.”
This website uses cookies.