“Mereka Berperang Dengan Sesuatu Yang Tak Nampak, TIADA SENJATA Boleh Membunuhnya.” NURUL ALIS, Isteri Pegawai Tentera

Hakikatnya bukan mudah bergelar isteri kepada seorang tentera yang bertugas demi negara. Pelbagai cabaran yang harus ‘ditelan’ oleh sang isteri bukan hanya terpaksa berjauhan bahkan perlu sentiasa berdikari dan memahami tugas suami yang bukan calang-calang hebatnya.

Seperti mana yang kita tahu kini pasukan tentera turut ditugaskan sebagai frontliners bersama-sama kakitangan perubatan serta anggota polis bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Di saat kita berada di rumah bersama keluarga sepanjang PKP, mereka inilah yang bertungkus lumus mengorbankan masa dan tenaga, bergadai nyawa tak kira siang dan malam menjalankan amanah yang diberikan demi melindungi rakyat dan negara.

MEMAHAMI TUGAS SUAMI

Siapa tak kenal dengan penyampai berita dan pengacara jelita, Nurul Alis Aidil Akhbar atau Kiki yang bersuamikan seorang tentera iaitu Dr Faizal Baharuddin. Hampir tiga tahun pasangan ini melayari bahtera rumahtangga berpaksikan cinta jarak jauh. Kiki di Kuala Lumpur manakala suaminya bertugas di Lumut.

Selain bergelar Brigedier Jeneral, Dr Faizal juga merupakan Pakar Perubatan Awam serta Pegawai Memerintah 96 Hospital Angkatan Tentera di Pangkalan TLDM Lumut. Menurut Kiki sejak berlakunya COVID-19 suaminya semakin sibuk dengan tugas.

“Sebagai frontliner suami bertanggungjawb menjaga keselamatan dan kesihatan seluruh anggota serta keluarga di Pangkalan TLDM Lumut termasuk kawasan-kawasan lain sekitar Lumut dan Manjung yang diletakkan di bawah pengawasan 96 Hospital Angkatan Tentera (HAT) sepanjang PKP.

Penduduknya sentiasa bersiap sedia dan dapat menampung individu-individu yang disyaki atau dijangkiti virus COVID-19 di sana. Suami juga memastikan segala kelengkapan sentiasa mencukupi dan bersedia membantu dalam apa jua situasi yang bakal negara hadapi.

PASRAH

“Sejak PKP berkuatkuasa, baru tiga kali suami pulang ke Kuala Lumpur bertemu saya dan anak-anak. Itu pun sebentar saja. Balik untuk lepas ‘gian’ makan masakan di rumah. Kadangkala suami akan singgah beli barang-barang keperluan dapur ketika dalam perjalanan balik dari Lumut, which I find it so sweet! Saya akan masak apa yang diminta termasuklah tolong potong rambutnya memandangkan kedai gunting rambut tutup sepanjang PKP.

Ketika mula-mula kena bertugas sebagai frontliner memang terasa sangatlah sebab saya tahu suami akan menjadi sangat sibuk. Sebagai Pegawai Memerintah beliau perlu menjaga keselamatan berpuluh ribu anggota dan keluarga di situ termasuk yang berada di atas kapal di pangkalan.

Kadangkala terasa juga seperti ‘dianaktirikan’ tetapi ini ujian untuk saya bersabar dan muhasabah diri. Saya faham suami memikul tanggungjawab dan amanah besar yang tak boleh diambil mudah. Suami mampu lakukan tugasnya dengan baik. Setiap kali balik ke rumah memang nampak kepenatan dan kebimbangan suami terhadap hospital dan anggotanya di Lumut.

PESANAN TERHADAP SUAMI

Saya selalu berpesan kepada suami supaya jangan terlalu risaukan saya dan anak-anak walaupun saya juga perlu menjalankan tugas di RTM sebagai penyampai berita. Saya kata “Don ‘t worry about me and kids, I got this! U just focus kerja di sana. Bila free nanti call

Suami tahu saya seorang yang berdikari. Cuma kalau suami risau pun mungkin takut dengan keselamatan kami terhadap jangkitan COVID-19. Saya selalu ingatkan suami tentang pemakanan dan diet. Sekali sekala saya akan hantar Whatsapp tanya khabar suami termasuk ingatkannya agar sentiasa berwaspada.

Saya berdoa agar musibah ini berakhir secepat mungkin. Ambil iktibar kerana ketika inilah kita dapat menilai segala kebaikan, kejujuran, keikhlasan, tabiat, perwatakan kita dan insan lain. Siapa yang tamak, bertimbang rasa, sentiasa bersabar dan berusaha memperbaiki situasi.

Tak lupa, syabas buat isteri-isteri anggota 96 Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut yang bersabar dan bekerjasama berlatih membuat PPE jika diperlukan kelak. Kita permudahkan kerja-kerja suami dan bantu apa yang boleh. Semoga Allah SWT mengurniakan keredhaanNya kepada kita semua Insyaallah.

Buat frontliners teruskan semangat dalam menjalankan tugas walau ada ketikanya diri diperkecilkan. Tanggungjawab ini amanah besar dan berat. Yang melaluinya saja faham betapa sedihnya anggota terpaksa meninggalkan anak isteri di kala wabak ini bermaharajalela. Berperang dengan sesuatu yang tak nampak. Ini bukan mudah dan tiada senjata yang boleh membunuhnya. Tawakal dan jalankan tugas sehabis baik.

SAMPAIKAN BERITA SAHIH & TEPAT

Sebagai penyampai berita RTM tugas saya ialah menyampaikan maklumat sahih dan tepat mengenai COVID-19 di stesen televisyen yang menjadi saluran rasmi kerajaan. Kini terlalu banyak berita palsu berkaitan situasi terkini, agama dan sebagainya tersebar di sosial media. Biarlah pemerintah melaksanakan tugas mereka.

Sebagai rakyat kita perlu akur dan patuh. Mereka yang di atas seperti Perdana Menteri lebih arif tentang apa yang sedang berlaku kerana sumber info mereka tepat. Patuhi arahan kerajaan kerana sebagai rakyat itulah perkara paling mudah untuk kita lakukan.

Saya melihat ini sebagai satu hikmah dalam ujian. Kalau dulu ramai yang mengadu sibuk bekerja, tak ada masa untuk keluarga. Nah, sekarang dah diberi banyak masa. Ambil peluang ini untuk eratkan lagi hubungan keluarga. Bersyukurlah,” akhiri Kiki yang kini berusia 45 tahun.

Kredit Foto: Instagram Kiki Joule

Share
Published by
Amy Mohd