“Mereka Busana Datuk Latif Romly & Datin Nabila, Penghormatan Terbesar Buat Kami” SETH&LUNA

Kehebatan sentuhan pereka duo, Seth&Luna tidak perlu dipertikaikan lagi. Gabungan idea kreatif dua pereka muda iaitu Irie dan Jimiey menghasilkan karya yang cukup mengkagumkan.

Sering menjadi pilihan golongan kerabat, VVP dan selebriti ternama Seth&Luna kini berada dalam kelasnya yang tersendiri biarpun masih ‘hijau’ dalam industri fesyen tanahair.

Antara nama-nama besar yang pernah mendapat sentuhan rekaan ‘emas’ Seth&Luna ialah DYTM Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, Ziana Zain, Marsha Milan, Scha Al-Yahya, Nad Zainal, Sharifah Rose, MUA Bellaz, Aina Abdul dan Shila Amzah.

Terbaharu, Seth&Luna sekali lagi diberi kepercayaan untuk menghasilkan busana perkahwinan bercirikan ‘haute couture’ buat atlet paralimpik negara, Datuk Abdul Latif Romly dan

pasangannya, Datin Nurul Nabila Farhana Musaidi.

Cantik, terletak kemas! Memang terlihat ‘sempurna’ balutan adibusana pada pasangan mempelai bak pinang dibelah dua ini. Terserlah keayuan Datin Nabila tatkala menyarungkan persalinan nikah serba putih serta songket.

Seth&Luna menitipkan ucapan buat Datuk Latif Romly dan isteri di Instagram dan menganggap ia satu penghargaan terbesar buat mereka.

“Selamat pengantin baru Hero Malaysia Datuk @latifromly & Datin @nabersss dari SETH&LUNA.

“Mereka busana buat jaguh emas negara dan pasangannya merupakan penghormatan terbesar buat kami di @sethandluna_malaya

“Untuk majlis pernikahan, Datin Nabila menggayakan adibusana yang diinspirasi daripada busana abaya yang kemudiannya diolah dengan sifir SETH&LUNA. “Volume” abaya dilebihkan sehingga ia kelihatan seperti ballgown dengan perincian jahitan tangan yang cukup teliti dalam disiplin Haute Couture. Gayanya dilengkapkan dengan layah bersulam bunga bersaiz mega sesuai dengan gelarannya sebagai Raja sehari.

Buat Datuk @latifromly , sepasang baju melayu cekak musang berpotongan suit. Lengkap bersamping songket dengan benang berwarna merah jambu mengambil warna perincian pada busana si pengantin perempuan, sedondon tetapi tidak sama.”

PERSALINAN SONGKET UNTUK RESEPSI
Untuk majlis resepsi, Seth&Luna memilih songket untuk persalinan raja sehari. Atas permintaan mempelai, Seth&Luna mencurahkan segala idea terbaik sehingga terhasilnya dress dengan korset berstruktur dalam balutan songket berwarna dan baju melayu cekak musang lengkap bertanjak dan bersamping juga dalam balutan songket sedondon.

Songket Pancawarna Haute Couture SETH&LUNA buat persandingan raja sehari Datuk @latifromly & Datin @nabersss .

“Untuk majlis resepsi, kedua mempelai mahukan songket sebagai busana merai hari bahagia mereka.

“Buat Datin Nabila, Dress dengan korset berstruktur dalam balutan songket berwarna cukup meriah. Setiap butiran manik dijahit tangan satu per satu, tiada istilah “ready-made materials” kerana kedua pengarah kreatif

@coccainegodfather & @rendra.pramuditha hanya mahukan teknik Haute Couture saja untuk adibusana mereka berdua.

“Buat Datuk Latif, baju Melayu cekak musang lengkap bertanjak dan bersamping juga dalam balutan songket sedondon. Tiada aksesori berlebihan dibadan kerana songketnya sudah cukup menarik perhatian.”

Semoga mahligai yang dibina Datuk Latif Romly dan Datin Nabila berkekalan sampai syurga. Buat Seth & Luna, semoga terus sukses dan sentiasa tampil dengan karya-larya yang lebih hebat serta kreatif. Seterusnya, mampu membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.

Kredit Foto: Instagram Seth&Luna

IKLAN
Share