Anak bongsu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Norashman dilaporkan telah bertunang hari ini dengan gadis pilihan, Nikola Mulyadi.
Perkhabaran gembira itu dikongsikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi di Facebooknya pada Sabtu.
Beliau dalam perkongsiannya turut berharap Ashman tetap tabah meskipun majlis yang dilangsungkan di Pavilion itu tidak dapat dihadiri oleh bapanya.
“Memang tidak lengkap pertunangan anak bongsu Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor hari ini berlangsung tanpa kehadiran Bossku (Najib). Tetapi tetap meriah dan tenang.
“…Semoga Allah memelihara Bossku. Dia akan kembali dalam perjuangan rakyat. Insya-Allah,” katanya.
Turut hadir memeriahkan majlis itu termasuk Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan, hukuman dan denda terhadap tujuh pertuduhan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.
Sumber: Sinar Harian | Foto: FB DrPuad Zarkashi
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
“Menghijabkan Hati Lebih Sukar Sebenarnya,” WARDINA SAFIYYAH
Apakah lagi yang mahu dibicarakan mengenai hijab? Sehelai kain di atas kepala, dililit, disarung, dibungkuskan… aduh, sekarang memang sudah macam-macam! Macam-macam gaya, warna dan rupa. Tudung, hijab, skarf atau apa sahaja yang anda mahu panggil adalah ‘identiti diri’ buat wanita Islam. Malah di dalam surah Al-Ahzab ayat 59, Allah berfirman agar wanita beriman (Muslim semestinya) untuk melabuhkan hijab supaya apa?
Supaya ‘dikenali’ kerana ia lebih baik bagimu. Jadi pertamanya memakai hijab adalah ‘untuk dikenali’ sebagai wanita beriman dan keduanya kerana ia lebih baik bagi kita. Ya, LEBIH BAIK! Siapa kata? Allah Rabb kita!
Mari kita hafal dan ingat bahawa antara ayat yang menyuruh wanita berhijab adalah di dalam surah Al-Ahzab ayat 59 yang membawa maksud, “Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya (tudung/hijab) ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali sehingga mereka tidak diganggu.”
Saya sering memberi penekanan bahawa sebelum nak bercakap tentang tudung atau hijab… satu perkara yang perlu difahami oleh semua wanita berhijab adalah untuk mengetahui dengan sepenuh hati, menghafal dan memahami, untuk tidak lupa membaca dengan sendiri ayat-ayat Al-Quran yang menyuruh kita berhijab. Amat memalukan sekiranya ada yang bertanya, “Ayat mana yang menyuruh kita berhijab?” Dan tiba-tiba seorang wanita yang berhijab tidak tahu menjawabnya. Berhentilah kita dari terus-menerus ‘tidak tahu’, marilah mencari ilmu. Satu lagi ayat adalah dalam surah An-Nur ayat 30 dan 31.
Sering juga dinasihatkan oleh guru saya, mengingatkan saya dan semua wanita di luar sana agar memahami satu hakikat ini. Kita tidak berhijab untuk lelaki atau suami atau ayah kita. Tidak. Kita berhijab kerana Allah semata-mata. Kita juga tidak berhijab untuk menjaga iman para lelaki. Iman orang lelaki, maaf tapi mereka perlu urus dan jaga sendiri.
Saya juga amat yakin mereka mampu menjaganya. Get that straightened out first! Kita berhijab semata kerana Allah sahaja. Dan ya, ia sepatutnya satu simbol ketakwaan. Jika seorang rahib dibenarkan untuk menzahirkan cinta mereka kepada tuhan dengan berhijab, maka seharusnya wanita Islam juga begitu. Tidak, hijab ini bukan simbol kita di diskriminasi tapi satu simbol liberalisasi!
LAMBANG
Saya bangga dengan sehelai kain ini, kain di atas kepala ini lambang saya cintakan agama saya. Saya tidak malu berjalan dan dikenali sebagai wanita Islam. Namun saya mengingatkan diri bahawa kain ini mempunyai makna yang lebih dari hanya sekadar imej. Kain ini, sepatutnya menzahirkan satu kecantikan yang lain dari hanya kecantikan fizikal iaitu kecantikan dalaman, kecantikan intelek dan adab. Sekiranya dengan memakai hijab kita masih tidak beradab dan berilmu, maka ada sesuatu yang perlu diperbetulkan dulu.
Setelah memakai hijab saya mula memberi fokus kepada kecantikan dalaman saya, bukan hanya tertumpu pada kecantikan luaran semata-mata. Saya menutup badan saya, namun saya terpaksa mengeluarkan satu lagi kecantikan – itulah dia kecantikan dalaman. Itulah yang seharusnya. Saya tidak lagi memfokuskan kepada kecantikan fizikal semata-mata. Seperti yang sering saya sebutkan, menghijabkan hati lebih sukar sebenarnya.
Kenapa saya kata hijab itu simbol liberalisasi? Kerana saya berjaya membebaskan diri dari menjadi mangsa fesyen! Dunia fesyen yang dikuasai industri fesyen yang hanya tertumpu pada kecantikan fizikal! Saya sudah bosan dihormati hanya kerana saya cantik! Takkanlah itu saja yang ada pada saya? Takkanlah saya hanya disukai kerana fizikal saya saja! Maka bermulalah satu perjalanan menyelami kecantikan intelek dan rohani serta adab yang saya sebutkan tadi.
MasyaAllah saya tahu perjalanan saya masih jauh dan berliku. Saya pasti akan berbuat salah, namun akan saya bangkit kembali sehingga saya temui satu kebebasan yang baru. Satu kecantikan yang InsyaAllah akan kekal. My self worth… harga diri saya tidak bergantung pada barangan material, namun siapa saya tanpa barangan material itu.
Saya tidak perlu ‘buka’ dan tayangkan kecantikan zahir saya untuk membuatkan orang suka, sayang, bercakap dan hormat kepada saya. Al-Quran menyebut dalam surah Al-A’raf 7:26 bahawa kecantikan atau pakaian yang terbaik adalah takwa. Tapi malangnya takwa tidak diiklankan dan dijual merata-rata. Hanya orang tertentu yang bertuah akan menjumpainya! Dan InsyaAllah berhijab adalah permulaan untuk kita menyelami keindahan takwa ini.
Selamat menyelami dan mencari apa dia sebenarnya makna sehelai kain di atas kepala anda. Saya masih mencari… dan perjalanan ini amat indah sekali!
Sumber foto: Instagram Wardina Safiyyah Official
Kolaborasi DPMM & RichWorks Bantu Pemerkasaan Usahawan. Cabaran Dunia Perniagaan Semakin Sukar Perlu Perhatian!
Polikrisis yang berlaku ketika ini telah dan sedang menekan ramai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hingga menyebabkan jualan merudum malah hingga ada yang terpaksa menutup perniagaan.
Menurut Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, polikrisis yang dibangkitkan mentor usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman adalah tepat pada masanya untuk usahawan sedar bahawa cabaran dihadapi mereka lebih besar kerana banyak faktor termasuk disrupsi teknologi, pengliberalisasian perdagangan dan juga peningkatan kos-kos input perusahaan termasuk kos buruh serta pekerja.
Katanya, di Malaysia kira-kira 60 peratus PKS gagal dalam tempoh lima tahun penubuhan, menurut artikel Jurnal Keusahawanan ASEAN yang dikeluarkan 7 Ogos lalu.
“Enam daripada 10 PKS pula menghadapi cabaran yang berkaitan dengan pertumbuhan mereka.Usahawan berdepan banyak cabaran ketika ini dengan kenaikan harga barangan, kekurangan bekalan bahan mentah ditambah kadar pinjaman di bank menyebabkan kos operasi sesebuah perniagaan makin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Usahasama antara DPMM dan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) diwakili Norsyahrin bersama Dr. Azizan merangkap Pengerusi RichWorks.
Turut hadir, Setiausaha Agung, Ahmad Yazid Othman, Pengarah Eksekutif RichWorks, Hasnita Ahmad dan Ketua Pegawai Perniagaan, Radz Mohd.
Tambah Norsyahrin, tekanan semasa kepada usahawan itu memerlukan perubahan dan langkah yang tepat dalam memastikan tiada usahawan tercicir dan kecundang.
“Saya percaya kolaborasi dengan RichWorks yang berpengalaman dalam membimbing usahawan PKS akan membantu ahli-ahli Dewan Melayu untuk lebih dinamis dan mampu berkembang (scale-up) dalam bidang yang mereka ceburi.
“Kami percaya kesemua kolaborasi dengan pakar-pakar seperti RichWorks dan agensi kerajaan akan membantu mencapai hasrat untuk membina masyarakat ekonomi bumiputera (BCIC) yang lebih berpotensi.
Sementara itu, Dr. Azizan memberitahu, usahawan saat ini tiada pilihan lain untuk tingkatkan ilmu, kemahiran dan strategi bagi berdepan polikrisis yang dijangka akan berpanjangan.
Katanya, polikrisis ini benar dan bukannya dibangkitkan untuk menakut-nakutkan orang ramai terutama usahawan.
“Ketika ini, saya melihat sendiri sesetengah usahawan alami kejatuhan jualan sekitar 30 ke 40 peratus.
“Keadaan polikrisis saat ini berbeza dengan semasa pandemik bermula Mac 2020 di mana tekanan dari kenaikan harga bahan mentah dan kos tenaga kerja antaranya mengugat ‘survival’ bisnes.
“Situasi ini dijangka akan berpanjangan hingga 2025, di mana usahawan tidak mudah untuk bertahan bahkan keupayaan untuk bangkit seperti dikatakan dalam World Economic Forum pada awal tahun lalu,” jelasnya.
Sehubungan itu, Azizan memberitahu, RichWorks ambil inisiatif melancarkan program yang membantu usahawan-usahawan dalam memberikan solusi langsung kepada permasalahan dihadapi mereka dalam 10X Bina Bisnes Berjaya dari 2 & 3 September nanti.
Mengulas mengenai perjanjian persefahaman bersama DPMM, pihaknya menghargai jemputan DPMM untuk berkolaborasi dengan satu matlamat jitu iaitu membangun dan memperkasakan usahawan Melayu dan Bumiputera.
“Alhamdulillah, melalui pengalaman dan kepakaran kami bermula 2008 yang terbukti berjaya melahirkan ribuan jenama tempatan dan usahawan jutawan.
“Kami akan berkongsi kepakaran dan pengalaman yang ada untuk bantu dalam usaha membawa perniagaan-perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi,” jelasnya.
Rindu Lakonan DATO’ M NASIR Terubat. IMAM Karya Sasterawan Negara Dato Abdullah Hussain Jadi Naskhah Pilihan
Tidak dinafikan, sebagai seorang seniman, Dato’ M.Nasir sering mencabar dirinya dalam pelbagai disiplin seni seperti lukisan, pembikinan arca dan lain-lain termasuk juga bidang lakonan.
Beliau terkenal dengan watak-watak ikonik seperti Bujang dalam filem Kembara Seniman Jalanan, Desa dalam filem Balada, dan yang paling diingati ramai, Hang Tuah dalam Puteri Gunung Ledang. Kali ini beliau memegang watak seorang Imam.
Filem ‘Imam’ terbitan Al- Kahfi Pictures Sdn Bhd arahan Mior Hashim Manap adalah sebuah adaptasi karya agung Sasterawan Negara iaitu Dato Abdullah Hussain yang turut dibintangi oleh Vanida Imran dan Faizal Hussein. Jalan cerita filem ‘Imam’ mengikuti kepulangan Imam Haji Mihad (dilakonkan oleh Dato’ M.Nasir) ke kampungnya, Kampung Anggrik Desa, setelah lama menghilangkan diri.
Setelah dilantik oleh penduduk kampung untuk menjadi Imam baharu menggantikan Imam tua, Haji Abdul Rahman, beliau berusaha untuk membawa pambaharuan kepada masjid tersebut namun usahanya ditemui dengan tentangan dari penduduk yang masih jumud.
Selain bergelar pelakon utama filem tersebut, Dato’ M.Nasir mengeluarkan single terbaharu berjudul Munajat. Ia amat dinanti-nantikan setelah sekian lama sejak album terakhir beliau ‘Sang Pencinta’. Single Munajat terbitan Luncai Emas Sdn Bhd, ciptaan sepenuhnya oleh Dato’ M.Nasir adalah juga lagu OST filem ‘Imam’ yang dibintanginya sebagai watak utama .
“Munajat’’ secara umum membawa maksud doa atau rintihan hati, selalunya dalam bentuk zikir yang bertujuan untuk merayu dan meminta keredhaan Tuhan Yang Maha Esa iaitu tujuan sebenar seorang Muslim.
Di dalam filem ‘Imam’, percanggahan pendapat antara Imam Lama dan Imam Baru melahirkan persengketaan yang mengalihkan perhatian orang daripada tujuan sebenar itu, dan lagu ini berusaha untuk mengingatkan kembali perkara tersebut.” Kata M.Nasir apabila ditanggungjawabkan untuk mencipta lagu OST Imam oleh Mior Hashim Manap yang juga merupakan penerbit filem ini.
Luncai Emas berharap single ini dapat mengubati rindu para peminat M.Nasir yang sekian lama menanti buah tangan baru dari beliau. Single ini telah dilancarkan di semua saluran digital dan muzik videonya di saluran YouTube Luncai Emas pada Jumaat 10 Februari 2023. Filem IMAM bakal ditayangkan di semua pawagam pada 2 Mac 2023.