Sebut saja Aidijuma pasti ramai yang mengenali wanita hebat di sebalik jenama tudung bawal terkenal ini. Meniti usia 37 tahun, Datin Norjuma Habib Mohamed yang pernah dinobat Juara Pengacara Jemputan Nona 2002 bijak merencana hala tuju syarikat sejak tujuh tahun lalu hingga berjaya memiliki 21 concept store di seluruh Malaysia dan sebuah concept store di The Mall, Brunei Darussalam.
Kurang seminggu saja lagi untuk menyambut Syawal dan seperti individu lain, Datin Norjuma turut teruja pulang ke kampung halamannya di Bayan Baru, Pulau Pinang. Selesa beraya di Kuala Lumpur terlebih dahulu, ibu kepada tiga cahaya mata lelaki ini sememangnya tidak sabar meraikan kemeriahan Hari Raya bersama keluarga tersayang.
“Mengenai juadah raya, kami sekeluarga masih mengekalkan hidangan sama tiap-tiap tahun iaitu Nasi Tomato Ayam Merah. Sambut raya semestinya di Kuala Lumpur dulu kemudian baru balik ke Pulau Pinang. Pada sebelah pagi selepas sembahyang raya, semua ahli keluarga akan ambil peluang untuk bersalam dan bermaaf-maafan.
Kalau tak silap sejak enam tahun sudah, kami mengadakan majlis jamuan makan untuk anak-anak yatim. Ada bermacam-macam jenis makanan kami hidangkan selain bagi duit raya dan barang permainan. Boleh dikatakan perkarangan rumah kami setiap tahun meriah macam fun fair dengan kunjungan anak-anak kurang bernasib baik ini.
Tiba saja raya semuanya harus nampak glamor. Raya harus diserikan dengan acara dan pakaian istimewa. Bahkan sudah menjadi lumrah bagi saya dan adik-beradik untuk wajib memakai mekap. Hari biasa tak pakai mekap tak apa. Kelainan seperti inilah yang menaikkan mood Hari Raya. Persalinan saya untuk Hari Raya pula tetap dengan baju kurung cotton, tudung bawal dan solekan cantik dan kemas.
Ibaratnya Hari Raya kami sudah jadi seperti pesta baju. Pagi raya baju lain, pergi sembahyang pakai baju lain dan bila keluar beraya pun kami tukar pakai baju baru. Dengan anak-anak pun saya memang menggalakkan mereka supaya anggap raya sebagai satu perayaan besar.
Saya percaya kanak-kanak yang sihat adalah mereka yang sambut pelbagai jenis keraian. Satu lagi keistimewaan raya bersama keluarga adalah bila semua orang pakai baju sedondon. Baru rasa kebersamaan antara satu sama lain,” kata Datin Norjuma sambil tertawa mengimbas kenangan memborong segulung kain baju raya untuk seluruh kaum keluarganya.
Terang Datin Norjuma, untuk menyerikan lagi sambutan Aidilfitri, keluarganya pasti tidak ketinggalan membakar kek dan membuat biskut raya yang dipanggil Biskut Denmark. “Antara senarai wajib lain yang kami buat sepanjang raya ialah memakai inai pada malam raya, bermain mercun dan bunga api. Tak kiralah yang masih kecil atau dewasa semua turun padang. Memang meriah. Aktiviti pakai inai malam raya ini mulanya ketika saya kanak-kanak lagi dan rumah datuk waktu itu ada tanam inai. Dari situ kami terus amalkan memakai inai sampai sekarang terutamanya bila dapat berkumpul beramai-ramai sambil berborak.”
Dalam perkembangan terkini, beliau juga bakal berkongsi pemilikan portal online terkenal di Indonesia sebelum memuktamadkan perjanjian perniagaan dengan portal online dari Turki dan United Kingdom. Patutlah anak kelahiran Pulau Mutiara ini sering menjadi inspirasi dan ikon Muslimah di kalangan wanita di luar sana!
Klik video eksklusif di bawah ini untuk kisah-kisah di belakang tabir penggambaran cover Nona Julai 2017. Memang meriah!