Setelah bertahun-tahun mencuba nasib, akhirnya impian kami untuk menemu bual bekas Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail tercapai.
Mengetengahkan topik ‘COVID-19: Dugaan Kekuatan & Kesabaran Wanita’, siapa sangka begitu banyak pengalaman peribadi dan sisi ketabahan wanita berusia 69 tahun itu yang berjaya didedahkan.
Meskipun tidak mampu bertentang mata, sekadar merenung kamera dan berbalas senyuman secara online, namun kehangatan suara wanita hebat ini jelas meninggalkan kenangan terindah di hati kami.
Menerusi sesi Nona On Air yang dipancarkan secara langsung melalui saluran media sosial Facebook dan YouTube rasmi, saya dan Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak, buat julung kalinya berpeluang menemu bual beliau.
Cukup up-close dan personal, ikuti video penuh Nona On Air bersama Dato’ Seri Dr Wan Azizah ini…
KETABAHAN
Dato’ Seri Dr Wan Azizah mendapat pendidikan awal di Alor Setar sebelum meneruskan pengajian di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban. Beliau kemudiannya diterbangkan ke Dublin, Ireland dan seterusnya menggenggam ijazah dalam bidang Obstetrik & Ginekologi.
Sekembalinya ke Malaysia, Dr Wan Azizah dilantik sebagai pakar oftalmologi di Hospital Kuala Lumpur dan di Hospital Universiti. Tahun 1993, wanita hebat ini meletak jawatan apabila suaminya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Pada pilihan raya 2018, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tetapi hanya bertahan selama dua tahun apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (ketika itu) meletak jawatan pada Februari 2020.
Banyak pengalaman Superwoman ini yang dikongsikan dengan penonton termasuk episod semasa muda membesarkan enam cahaya mata. Kekuatan seorang ibu bertambah apabila melihatkan anak-anak – Nurul Izzah, Nurul Hana, Nurul Nuha, Mohd Ihsan, Nurul Iman dan Nurul Ilham tidur bergelimpangan setiap kali beliau pulang dari kerja.
MASA DEPAN WANITA
Tidak ketinggalan, wanita yang pernah menggalas jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini juga turut memandang serius isu usahawan SME yang terkesan teruk akibat pandemik.
Ikuti perkongsian dan cadangan bernas Dato’ Seri Dr Wan Azizah dalam video ini…
Mengakhiri sesi selama hampir 1 jam ini, Dato’ Seri Dr Wan Azizah selaku Ahli Parlimen Pandan turut sporting memenuhi permintaan penonton yang ingin melihat beliau bertutur Bahasa Inggeris dalam aksen Irish.
Setinggi-tinggi penghargaan buat Dato’ Seri Dr Wan Azizah dan semoga perjuangan beliau untuk rakyat mendapat keberkatan-Nya!
This website uses cookies.