Hidup ini bagai putaran roda. Tidak selamanya kita di atas atau di bawah. Begitulah bait-bait nasihat Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa kepada anak perempuannya tentang kewajipan mentaati suami.
Dalam keadaan ekonomi negara yang terjejas, kita tidak mempunyai banyak pilihan dari segi peluang menambah pendapatan. Namun demi mencari sesuap rezeki yang halal, ramai yang sanggup menjadi rider penghantar makanan, meskipun terpaksa berhujan dan berpanas.
Ini termasuklah menantunya sendiri. Dalam satu perkongsian pendakwah kesayangan ramai itu, beliau menyatakan rasa hormat dan sentiasa berdoa ke atas keselamatan rider Grab jika ternampak mereka di jalan raya.
TERKENANG MENANTU
Baru-baru ini, foto suami Ustazah Norhafizah iaitu Ustaz Dr Azahar Yaakub berpakaian seragam Grab mengundang tanda tanya. Adakah Ustaz pun jadi rider Grab sekarang?
Pertanyaan itu terjawab dengan penjelasan isterinya. “Uniform tu menantu kami yang punya. Dulu menantu kami bawa Grab ke sana ke mari bila ada saja peluang. MashaaAllah, beliau berdikari sungguh.
Sedang menuntut di IPTA dalam bidang undang-undang, namun ada saja kesempatan akan usaha cari rezeki. Menantu kami pernah accident motor yang teruk, walaupun trauma juga tapi sebab nak cari rezeki yang halal, kuatkan semangat dan doa banyak-banyak, teruskan khidmat penghantaran Grab.
Bila kami berada di atas jalan raya, kami lihat pembawa-pembawa Grab dengan rasa penuh hormat dan mendoakan segala yang baik-baik seperti kami melihat menantu sendiri.
Dengan anak kami titipkan pesanan, mesti hormat dan taat pada suami, walaupun hari ni dia bekerja bawa Grab, bawa pulang duit mungkin tak sebanyak orang lain, tetapi ingat… jika kita pandai muliakan dia masa dia susah, insya Allah nanti dia muliakan kita masa dia senang.
Jangan pandang pekerjaan dia berprestij ke tidak tapi junjung sifat tanggungajwab dia, syukuri rezeki halal yang dia beri kepada kita dengan ikhlas. insyaAllah hidup ini putaran roda.
Umi Abi sentiasa doakan satu hari nanti yang bawa Grab ini akan jadi Hakim Mahkamah yang disegani… aamiin.
Follow the flow… Allah merencanakan tempat tinggi untuk kita raih dengan jiwa yang tawadhuk,” kongsi Ustazah Norhafizah penuh makna.
Sekitar tahun lepas, wanita yang mempunyai 7 cahaya mata ini baru saja menerima menantu iaitu Aqil Akmal ke dalam keluarga mereka.
“Mudah-mudahan kami dapat jadi mertua yang baik, mendidik dengan hati, mencintai tanpa syarat hanya untuk kalian menjadi hamba Allah yang dicintai-Nya. Selamat datang Aqil Akmal dan seluruh ahli keluarganya menambah seri dalam keluarga kami.
Dengan izin Allah, alhamdulilah kini Aqil Akmal adalah anak kami… Jagalah mereka Ya Allah sepertimana Engkau menjaga hamba-hamba-Mu yang soleh,” tulisnya sempena akad nikah anakanda tersayang.
Seperti masih terngiang-ngiang suara lembut beliau menyampaikan ceramah di corong radio mahupun di kaca televisyen. Nampak bersahaja namun sampai ke lubuk hati setiap pendengar.
Ustazah Norhafizah mendapat pendidikan peringkat Sarjana Muda di Universiti of Yarmouk, Jordan dalam bidang Sastera Bahasa Arab dan Pengajian Islam sebelum menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan.
Bergelar pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur, beliau juga merupakan penulis buku, kolumnis majalah, panel di radio Ikim FM, panel Tanyalah Ustazah, Al-Hidayah, Forum Perdana dan banyak lagi.
Sumber: IG @ustazahnorhafizahmusa
This website uses cookies.