Gaya Hidup

Mewahnya Mahligai LUNA MAYA, Diami Rumah Agam Moden RM7.5 Juta!

Tidak kira peminat di Indonesia mahupun di negara ini, pastinya ramai yang ternanti-nanti untuk melihat ruang kediaman selebriti cantik, Luna Maya. Dianggap seorang selebriti yang cukup menjaga privasi, pada pertengahan Jun lalu bekas juri Maharaja Lawak Mega ini akhirnya akur memenuhi permintaan ramai dan berkongsi ruang rumah agamnya buat tatapan umum. Pendedahan tersebut dibuat menerusi saluran YouTube aktor popular Indonesia, Boy William.

Tak sampai sebulan dimuat naik, video tersebut kini sudah mencecah lebih sejuta tontonan! Malah rata-rata mereka yang sudah menontonnya melahirkan rasa kagum dan teruja dengan dekorasi rumah Luna Maya serta personaliti dirinya yang sangat bersahaja. Walau mampu menghuni kediaman yang lebih besar dan extravaganza namun aktres ini memilih untuk hidup bersederhana. Yang penting kata Luna, selesa!

Menerusi paparan video yang dikongsikan jelas menggambarkan sisi sebenar Luna Maya. Dari hiasan yang dipamer, terserlah jiwa seni jelitawan ini. Setiap sudut kediaman banglo setingkat ini diserikan dengan hiasan bingkai gambar lukisan eksklusif di dinding rumah. Bahkan, Luna juga membuat satu sudut khas untuk menempatkan gambar, anugerah dan pingat yang diterima.

Dalam wawancara bersama Boy William, Luna berkata dia gemar menghabiskan masa di ruang tamu rumah. Bersandarkan konsep kediaman open space, ia sekaligus membolehkan penghuninya melihat setiap ceruk rumah dengan lebih terbuka. Lebih menarik, bersebelahan dengan ruang tamu tersebut ialah pemandangan kolam renang yang sering menjadi tempat riadah Luna ketika waktu lapang.

Bahagian ruang tamu kediaman Luna
Kolam renang di halaman rumah
Ruang makan yang menghadap terus ke ruang tamu
Sudut pintu masuk rumah
Salah satu sudut di rumah agam Luna
Ruang pejabat @ ruang kerja
Open space ruang tamu Luna

Ujar pemilik nama Luna Maya Sugeng ini lagi, rumah berkenaan dibeli dengan harga sekitar RM2.6 juta dan selepas selesai proses ubah suai mengikut kehendak dan cita rasanya serta harga pasaran semasa… nilai kediaman ini dipercayai mencecah sehingga RM7.5 juta.

Melewati bahagian kamar tidur pula, Luna selesa dengan dekorasi ringkas dan turut meletakkan sebuah televisyen bersama set permainan video. Tanpa berselindung, pelakon filem Suzzanna Bernapas Dalam Kubur ini mengakui dia sememangnya seorang ‘kaki video game

‘. Selain katil bersaiz queen, sofa dan televisyen, di ruang ini juga terdapat walking closet yang menempatkan pelbagai koleksi peribadi mewah milik Luna. Antaranya beg tangan, baju, kasut dan aksesori pelengkap gaya. Kebanyakan koleksi yang ada dalam simpanan Luna ialah dari jenama Hermes!

Mengamati simpanan dan koleksi mewah yang tersusun kemas, Boy William teruja untuk mengetahui nilai beg-beg tangan milik wanita berusia 37 tahun ini. Namun Luna bijak menjawab persoalan tersebut dengan tidak mendedahkan harga sebenar beg tangan yang dimiliki. Mungkin kerana dia bimbang jawapan jujurnya akan disalah erti segelintir pihak. Tatkala ditanya mengenai kehidupan Luna sewaktu kecil, selebriti ini lantas membuka bicara.

“Saya memang mahu rumah impian yang homey dan cosy. Waktu kecil dulu saya hidup sederhana. Tak pernah kekurangan tapi bukan lahir dari keluarga yang lavish atau silver spoon. Maksudnya kami sekeluarga juga mampu untuk keluar bercuti ke luar negara.

Memang duit itu penting tapi ia bukanlah nombor satu. Bila berlakunya pandemik (Covid-19) seperti hari ini, saya terfikir jika koleksi-koleksi mewah saya itu boleh jadi cash, memang saya mahu tukar. It’s nice to have beg mahal-mahal tapi saya dah ada a lot! Apabila sudah berusia seperti ini, beg yang kulitnya buaya… sudah tak penting lagi. Mahu ubah pemikiran bahawa less is more

dan mahu hidup seadanya. Tak beli baju baru atau sepatu baru.

Pada fasa hidup sekarang, saya mahu ‘kaya’ teman, ‘kaya’ knowledge, ‘kaya’ pengalaman dan berkat. Apa guna berhabisan untuk nampak sesuatu yang kelihatan grand dan kaya serta barang super mahal tapi kalau jiwa dan hati kita kosong?” tegasnya.

Dari apa yang diperkatakan Luna, pasti ramai memahami bahawa selebriti ini semakin rasa lebih tenang dengan kehidupan yang tidak terlalu menonjol dan mewah. Bagi Luna, dia lebih bahagia apabila dikelilingi insan tersayang, harta yang diberkati dan pengetahuan berguna. Jika dihitung kekayaan milik Luna, sudah tentu dia mampu memiliki lebih daripada apa yang dinikmati sekarang namun wanita cantik ini memilih untuk bersederhana kerana sudah puas dengan segala yang dimiliki sebelum ini.

 

Kredit foto: Instagram Luna Maya

 

Share
Published by
Suzi