Mempunyai bilik karaoke, gimnasium dan mini pawagam di dalam rumah sudah menjadi kebiasaan bagi sesebuah kediaman mewah. Namun, bila ada ruang boling bawah tanah… tempat istirahat ini pastinya menggambarkan pemilik kediaman berkenaan seorang yang kaya, berjiwa muda dan bercita-cita tinggi.
Itulah antara personaliti bintang tenis ternama dunia, Maria Sharapova yang membina rumah agam miliknya di Los Angeles dengan cukup teliti dan berunsurkan suasana mewah tapi minimalis.
Menyifatkan rumah agam tiga tingkat yang dibina di cerun bukit ini sebagai refleksi semangat dan kejayaannya selaku pemain tenis bertaraf antarabangsa, atlet kelahiran
Rusia ini sangat menitikberatkan soal hiasan dan seni bina setiap ceruk kediaman. Pendek kata, segala apa yang terdapat di dalam rumah berkenaan adalah ilham darinya sendiri.
Menurut pereka hiasan dalaman yang terlibat dengan susun atur rumah Maria Sharapova, model dan usahawan cantik ini seorang yang teliti dan tegas dalam mengurus ruang privasi. Bahkan dia juga akan berunding dengan mereka yang terlibat dalam menghias setiap inci rumah.
Ads
“Saya sangat terinspirasi dengan seni bina dan nilai estetika Jepun yang serba minimalis. Tambahan pula, saya dibesarkan dengan persekitaran yang tidak terlalu banyak hiasan. Bagi saya, minimalis adalah sesuatu yang sihat. Apa gunanya memiliki banyak barang di dalam rumah sedangkan tidak menggunakannya.”
Nama Maria Sharapova mula bersinar sebagai selebriti sukan antarabangsa ketika dia masih kecil. Meniti usia 33 tahun, Maria pernah memegang ranking nombor satu pemain
tenis wanita dunia sewaktu dia baru mencecah umur 18 tahun.
Ads
Selain aktif mengembangkan bakat dalam sukan tenis, Maria juga terlibat dalam kempen promosi jenama sukan dan kosmetik dunia termasuk Nike. Di samping itu, Maria turut
meluaskan empayar dalam bidang perniagaan dengan membuka syarikat coklat dan manisan premium Sugarpova.
Mengintai ruang mewah kediaman Maria Sharapova seperti yang dikongsikan menerusi channel Architectural Digest, Open Door… pemandangan dari kamar tidur Maria cukup mengagumkan kerana menghadap terus ke Pantai Malibu.
Ads
https://www.instagram.com/p/BzROKWNnukM/
Uniknya, kediaman ini menggabungkan rona kelabu, coklat dan warna-warna natural yang menonjolkan sisi mewah konkrit dan kaca. Malah, ada di kalangan penonton yang melabelkan rumah Maria tidak ubah seperti sebuah galeri.
Dilengkapi dengan kolam renang yang luas, Maria turut membawa masuk perhiasan antik dari pelusuk dunia seperti Asia, Afrika dan Eropah untuk menghidupkan suasana klasik
di ruang kediaman. Pada waktu senggang pula, atlet tinggi lampai ini akan menjemput rakan-rakan datang ke rumahnya dan menikmati masa terluang sambil bermain boling di
tingkat bawah rumah.
Sumber: Architectural Digest
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bukan ibu bapa saja sibuk memulakan rutin hidup norma baharu, golongan kanak-kanak juga tidak terkecuali bakal back-to-school tak lama lagi.
Meskipun kita tawakal dengan SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), tapi bimbang juga dengan risiko penyebaran virus COVID-19 di kalangan anak kecil.
Hal ini turut disuarakan oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Perubatan UniSZA, Dr Safiya Amaran. Sebagai ibu, Nona berkongsi kupasan beliau tentang isu kecil yang boleh menjadi gelombang besar jika tidak dikawal itu.
Dr Safiya Amaran
Jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak agak unik.
Masa awal pandemik dulu, ramai ingat kanak-kanak tidak kena jangkitan Coronavirus macam orang dewasa dan warga emas.
Malah, ada yang jangkakan kanak-kanak ada daya tahan dan imunisasi tersendiri terhadap jangkitan ini. Bukan apa, memang jarang sekali kanak-kanak dibawa ke klinik sebab nak test COVID-19.
Mereka tidak alami apa-apa gejala dan kalau ada kes positif pun, hanya tahu lepas buat contact tracing.
Menurut Profesor Dr Andrew Pollard, iaitu profesor dalam bidang jangkitan dan imuniti pediatrik, Universiti Oxford (Sinha et al., 2020), gejala yang dialami kanak-kanak adalah jauh lebih ringan berbanding orang dewasa dan warga emas.
Tahukah kita, kebanyakan kanak-kanak ini (yang bergejala COVID-19) cuma alami demam, batuk, hidung tersumbat, selsema dan sakit tekak.
Sama macam jangkitan lain?
Ya, sama sahaja! Tak nampak beza yang ketara.
Kenapa kanak-kanak kurang mengalami komplikasi COVID-19?
Sebenarnya memang ada kanak-kanak yang alami komplikasi akibat COVID-19 tetapi tidak ramai, sikit sangat. Menurut kajian oleh Sinha et al. (2020), ada beberapa penjelasan yang boleh diberikan berkenaan keadaan ini.
PERTAMA, SARS-CoV-2 perlukan protein di permukaan luar sel saluran pernafasan untuk ia masuk ke dalam sel badan kita. Protein ini namanya Angiotensin Converting Enzyme II (ACE-2) receptor.
Bagi kanak-kanak, bilangan protein ini ada sikit sahaja di bahagian paru-paru, sebaliknya lebih banyak di bahagian rongga pernafasan atas, iaitu mulut dan hidung.
Ini mungkin sebab kenapa gejala COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak adalah lebih kepada demam, batuk, selesema dan sakit tekak manakala dalam kalangan dewasa dan warga emas lebih kepada jangkitan kuman paru-paru dan sindrom akut kegagalan pernafasan.
KEDUA, kanak-kanak di taska, tadika atau sekolah sudah biasa terdedah kepada jangkitan kuman di saluran pernafasan.
Mereka mungkin sudah terdedah kepada jangkitan empat jenis Coronavirus yang lain seperti 229E (alpha coronavirus), NL63 (alpha coronavirus), OC43 (beta coronavirus) dan HKU1 (beta coronavirus).
Empat jenis Coronavirus ni tidak bahaya, malah memang biasa menjangkiti manusia dan tidak menyebabkan jangkitan yang teruk.
Pendedahan dengan keluarga Coronavirus yang lain mungkin menyebabkan daya imunisasi kanak-kanak terhadap jangkitan SARS-CoV-2 adalah lebih tinggi berbanding dengan golongan dewasa dan warga emas.
KETIGA,cytokine storm.
Cytokine storm ni adalah satu tindak balas dari sistem imunisasi badan kita untuk melawan SARS-CoV-2. Tapi dalam usaha nak serang SARS-CoV-2, cytokine storm ini juga boleh pergi serang badan sendiri dan mengakibatkan kerosakan organ badan yang terlibat!
Kalau bandingkan dengan orang dewasa, kanak-kanak ni sistem imunisasi badan mereka tak berapa matang dan sebab tu mungkin belum mampu untuk hasilkan cytokine storm untuk lawan SARS-CoV-2.
Jadi inilah tiga sebab kenapa gejala untuk kanak-kanak jauh lebih ringan berbanding orang dewasa.
Majalah Pa&Ma
Bolehkah kanak-kanak menjangkiti orang lain?
Ini soalan paling kritikal. Ramai nak tahu ni.
Kajian menunjukkan walaupun kanak-kanak tidak mengalami apa-apa gejala atau cuma mempunyai gejala ringan, mereka mampu menjangkiti orang lain di sekitar mereka, sama seperti orang yang mempunyai gejala yang teruk.
KANAK-KANAK PENYEBAR SENYAP
Apabila mereka tak ada gejala, ini yang buat penyakit ini boleh tersebar dengan cepat tanpa disedari (Sinha et al., 2020). Malahan kanak-kanak berpotensi menjadi penyebar senyap yang merbahaya dalam komuniti kerana orang tidak menyangka mereka sebenarnya pembawa virus SARS-CoV-2.
Oleh itu, ibu bapa janganlah bawa anak-anak ke tempat awam dan KENA ELAKKAN percampuran sesama kanak-kanak dan juga dengan orang tua.
Kesimpulannya golongan kanak-kanak pun berisiko untuk dapat penyakit COVID-19 sepertimana golongan dewasa.
Walaupun golongan kanak-kanak ni kurang berisiko untuk dapat komplikasi yang teruk tetapi mereka juga perlu dilindungi, terutama sekali kanak-kanak yang tidak mempunyai tahap kesihatan yang optima.
Bukan banyak, tapi hanya dua harapan saya…
Lindungi kanak-kanak.
Lindungi orang tua.
Kedua-duanya perlu kita lindungi sama-sama! Kredit: Facebook (Dr Safiya Amaran)
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Fasha Sandha dedah rahsia kekal relevan. Disiplin merupakan rahsia Nur Fasha Sandha Hassan atau nama glamornya Fasha Sandha kekal relevan dan masih diberi kepercayaan memegang watak utama dalam drama hebat, walaupun usianya sudah menginjak 40 tahun. Bukan itu saja malah wanita yang bergelar isteri kepada tiga orang anak itu juga terus mendapat kepercayaan sebagai duta kepada beberapa jenama terkenal.
Dibesarkan oleh ibu tunggal, Hatijah Teh Man, Fasha mengimbas kehidupannya sewaktu zaman kanak-kanak yang agak susah. Ibunya bekerja keras untuk membesarkan anak-anak dan ini memberikan kekuatan kepada Fasha untuk terus berusaha dan berdisiplin dalam hidup.
“Mama ibu tunggal. Masa kecil mama bekerja keras siang hingga ke petang setiap hari mencari nafkah tanpa dibantu papa. Ketabahan mama menjadi faktor saya berjiwa kental, kuat dan berdikari. Masa kecil kami terpaksa catu makanan, bukan seperti kanak-kanak lain. Kami adik-beradik kena berjimat sebab hidup serba kekurangan. Masa sekolah rendah, ingat momen pada waktu itu mama beli coklat dan kami akan kongsi adik beradik. Mama juga ajar agar kami bersyukur dengan rezeki yang datang,” luah Fasha yang sangat mengagumi ketabahan ibunya.
Fasha Sandha Dedah Rahsia Kekal Relevan
Penampilan Fasha yang kini makin langsing menambahkan keanggunannya. Ditanya tentang rahsia awet muda, sambil tersenyum Fasha menjelaskan dirinya mahu kurus untuk kekal sihat.
“Sebagai pelakon memang susah untuk saya cukup tidur, sebenarnya untuk nampak sihat kena tidur mencukupi sekurang-kurangnya enam jam. Minum air masak yang banyak dan amalkan suplemen yang betul. Pastikan pemakanan terjaga, jangan makan berlebihan dan berhenti makan sebelum kenyang. Saya jenis yang mudah naik badan, malah untuk dapatkan berat badan ideal seperti hari ini mengambil masa selama tiga tahun.
Saya tergerak hati nak amalkan diet sebab pernah kena body shaming. Ada seorang penerbit sindir kalau saya nak teruskan menjadi watak utama untuk musim seterusnya saya kena turunkan berat badan. Tapi saya ambil kata-kata itu sebagai cabaran dan sejak itu saya amalkan diet ketat. Lepas tujuh bulan nampak hasilnya,” kongsi Fasha yang berasa sangat bersyukur kerana Aidil memberi sokongan padu dan menerima dirinya seadanya, tidak kira bentuk tubuhnya.
Sokongan suami memberi keyakinan tambahan untuknya kekal sihat, bukan hanya demi kecantikan tetapi juga untuk kebahagiaan dalam beribadat. Fasha menegaskan, kesihatan adalah lebih utama daripada sekadar penampilan luar. Ditebak soalan tentang adakah dia seorang yang suka bergaya setiap masa, Fasha secara jujur menerangkan dirinya bukanlah seorang yang suka melaram. Dirinya suka bersederhana namun akan mengenakan fesyen bersesuaian apabila menghadiri majlis.
“Saya tak gemar bersolek jika di rumah sebab saya seorang yang sangat ringkas. Tapi bila masa bekerja saya akan mendandan diri mengikut majlis dan karakter. Kebiasaan saya suka berpenampilan ringkas dan sederhana, hanya dengan selipar dan jeans apabila keluar rumah,” luah Fasha.
Baginya, kerjaya seni adalah tanggungjawab yang tidak berkait dengan populariti. Inspirasi fesyen dan kecantikan datang daripada rakan artis seperti Dato’ Seri Siti Nurhaliza, Erra Fazira dan Scha Alyahya.
Hargai Setiap Perjalanan Hidup
Berkongsi rahsia kekal relevan, Fasha yang diberi jolokan aktres berdisiplin itu menyifatkan setiap pelakon, penyanyi atau sesiapa sahaja harus menjaga disiplin dan komitmen. Nasihat ibu juga menjadi azimat terpenting dalam hidupnya ketika mula melangkah menjadi anak seni.
“Jika kita jaga kerja, komitmen dan disiplin, InsyaAllah ia akan membantu membawa kita terbang tinggi tidak kira apa pun yang berlaku. Ibu juga pesan supaya jaga diri. Walau pernah berlaku kontroversi namun saya yakin dengan disiplin, komitmen, ketetapan masa terhadap kerja yang saya jaga selama ini membuatkan saya masih di sini.
Saya bahagia dan menghargai setiap perjalanan hidup, walaupun ada suka dan duka. Semua yang berlaku dalam hidup saya adalah warna-warni yang menambah makna serta membentuk diri saya kini lebih matang dan yakin. Saya akan jaga kerja sebabnya ini adalah periuk nasi sendiri. I love my job,” kongsi Fasha mulai bicara.
Harungi Pelbagai Ujian & Kontroversi
Keberaniannya menghadapi liku-liku kehidupan, termasuk mengharungi pelbagai ujian dan kontroversi, menjadikan Fasha sebagai contoh wanita cekal yang tidak mudah mengalah. Keperibadiannya yang mesra dan rendah hati, serta keupayaannya untuk bangkit dari sebarang kesulitan, adalah contoh nyata seorang wanita yang berdikari dan penuh inspirasi.
“Sebagai seorang wanita kita harus berdikari dan memiliki duit simpanan sendiri. Binalah kerjaya agar kita tidak mudah ditindas oleh sesiapa saja. Jika jatuh kita perlu bangkit dan jangan lemah. Semua wanita termasuk suri rumah perlu ada pendapatan peribadi. Dunia sekarang ni banyak yang dah berubah jika duduk di rumah sambil jaga anak pun boleh jana pendapatan. Percayalah kita akan gembira dan hidup bahagia jika ada simpanan. Masalah yang datang kadangkala pahit tapi sebagai wanita kita kena lalui dan pengalaman itulah yang akan membawa kehidupan menjadi manis,“ ujarnya.
Bagi Fasha, perkahwinan dan kebahagiaan adalah pinjaman. Walaupun perjalanannya berliku, dia tetap bersyukur dan tidak pernah menyesal dengan apa yang telah berlaku.
Fasha tidak melihat status ibu tunggal selepas perkahwinan pertamanya sebagai satu kekurangan, sebaliknya sebagai peluang untuk menjadi lebih kuat dan berdikari. Selepas tiga tahun, dia bertemu jodoh semula dan berkahwin dengan Aidil Aziz. Walaupun pernah skeptikal tentang perkahwinan dengan rakan artis, Fasha mengakui jodohnya kali ini membawa sinar baru dalam hidupnya. Dia bersyukur kerana disayangi oleh keluarga dan sahabat, serta dikelilingi oleh orang yang positif.
Fasha juga menjaga hubungan baik dengan bekas suaminya demi kesejahteraan anak-anak mereka. Baginya, perpisahan tidak menghalang kasih sayang untuk anak-anak, dan ini menjadi contoh harmoni bagi mereka. Keberanian dan kemampuannya sebagai ibu tunggal dahulu menjadikannya seorang wanita yang berdikari dan kuat, serta tidak mudah bergantung kepada orang lain.
“Saya sentiasa mendoakan agar perkahwinan saya akan kekal sampai bila-bila. Saya tak pernah menyesal apa yang berlaku, daripada kegagalan perkahwinan pertama kemudian saya menjadi ibu tunggal selama tiga tahun dan berkahwin sekali lagi dengan Aidil.
Berkahwin dengan Toh Muda Rizal Ashram Ramli, saya dikurniakan dua orang anak, Putra Rayfal dan Putri Raysha Jemyma. Hubungan dengan bekas suami juga sangat baik. Kami selalu berkongsi dan bertukar pendapat tentang pelbagai isu termasuklah isu keibubapaan. Walaupun kami sudah berpisah namun anak-anak nampak hidup kami penuh harmoni.
Perjalanan sebagai ibu tunggal menjadikan saya seorang wanita yang sangat kuat. Saya tak pernah sedih jadi ibu tunggal. Bahagia dengan keluarga dan anak-anak ramai sahabat baik di sekeliling. Malah saya juga tak sangka akan berkahwin sekali lagi dengan artis pula tu. Saya dan Aidil berkahwin selepas setahun kami berkenalan.
Ketika itu saya sudah selesa menjadi ibu tunggal. Orang cakap kalau jadi ibu tunggal ramai yang akan pandang serong tapi perkara itu tak berlaku pada saya. Mungkin sebab saya dikelilingi orang yang baik-baik,” kongsi Fasha yang sangat bersyukur ditakdirkan berjodohan dengan Aidil suami yang penyayang dan memahami.
Sebelum mengakhiri perbualan Fasha sempat mengungkap perasaannya yang sangat bahagia apabila terpilih sebagai penerima Nona Fashion & Beauty Award dalam Nona Superwoman Award 2024.
“Alhamdulillah saya tak pernah menyangka akan diiktiraf sebegini. Saya sebenarnya seorang yang sangat ringkas dalam berfesyen. Namun apabila terpilih ini adalah rezeki yang patut saya banggakan. Terima kasih Nona dan anugerah ini juga memberi saya semangat untuk lebih berfesyen,” akhirinya.
Sama cantik sama padan! Jumaat lepas telah berlangsungnya majlis perkahwinan gilang-gemilang keluarga diraja Brunei Darussalam. Seperti upacara perkahwinan sebelum ini, pernikahan Yang Amat Mulia (YAM) Pengiran Anak Haji Abdul Ghaffar Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris dan Yang Mulia (YM) Dayang Syafiqah Niqmatullah Amraan turut menarik perhatian rakyat di Malaysia.
Memetik laporan Borneo Bulletin, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat ke Majlis Bersanding bagi Majlis Perkahwinan YAM Pengiran Anak Haji Abdul Ghaffar dan isteri.
Difahamkan, YAM Pengiran Anak Haji Abdul Ghaffar merupakan sepupu kepada Sultan Brunei. Istimewanya, makeup artist ternama negara iaitu Syed Faizal Syed Noh berpeluang mendandan pengantin perempuan dari majlis berbedak, upacara pernikahan, sanding, majlis ambil-ambilan dan resepsi. Memang cantik solekan Syed Faizal!
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri di Baitun Na’aim dijunjung oleh bonda dan ayahanda pengantin lelaki, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam binti Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar.
Berangkat sama, paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Pasangan pengantin YAM Pengiran Anak Haji Abdul Ghaffar dengan YM Dayang Syafiqah Niqmatullah selamat diijab kabul pada Jumaat lalu tanggal 24 Jun 2022.
Upacara persandingan diadakan dalam suasana penuh adat dan mewah dengan pasangan mempelai mengenakan persalinan tradisional rona sedondon. Moga kasih sayang dan rumah tangga kedua-duanya berkekalan hingga ke syurga!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tumpang gembira tengok kehidupan Faisal Halim sekeluarga sekarang. Selepas melalui episod hitam yang memberi kesan mendalam dari segi mental dan fizikal pada Mei 2024, kini tonggak utama Selangor FC tersebut bangkit menjalani kehidupan di samping isteri ...