Kejayaan demi kejayaan diraih Tan Sri Michelle Yoeh menerusi pembabitanya dalam filem Everything Averywhere All At Once menyaksikan nama beliau meledak dalam industri Hollywood dan kini Michelle Yeoh berjaya menawan industri Hollywood selepas memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik di anugerah Oscar sebentar tadi.
Namun di sebalik kejayaan dan pencapaian beliau, sudah pasti ada insan yang berkorban jiwa raga menyokong jatuh bangun kerjaya seninya, siapa lagi tidak lain dan tidak bukan, ibu kepada Michelle, Datin Janet Yeoh.
Awal minggu ini, bintang berusia 60 tahun itu menyingkap momen indah serta memperincikan hubungan istimewa dengan ibunya sewaktu temubual di rancangan The Late Show With Stephen Colbert dan Live With Kelly And Ryan.
Dalam temu bualnya dengan Today’s Sunday Sitdown NBC tersebut, Michelle Yeoh berkongsi antara momen indah beliau dan ibunya “Saya dan ibu mempunyai hubungan yang sangat menarik dan indah. Dia baru sahaja menelefon saya beberapa hari lepas dan menasihatkan saya jangan pakai seluar ketika menghadiri Oscar nanti,” jelas Michelle sambil ketawa.
Michelle Yeoh juga terbuka berkongsi betapa beliau menyayangi dan menyanjungi ibunya. Michelle turut berkata ibunya masih lagi “melayan dirinya seolah-olah dirinya masih budak enam tahun”.
View this post on Instagram
Apatah lagi ibunya jugalah yang menasihati dan mempersiapkan Michelle Yoeh untuk bertanding dalam pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World seterusnya membuka jalan buat Michelle mengorak menjadi ikon sinema popular dunia yang disanjungi kini.
“Sekiranya kami pulang ke rumah, ibu akan menyediakan beberapa pakaian untuk saya. Begitulah cara dia menunjukkan kasih sayangnya pada saya” kata bintang kelahiran Ipoh itu.
“Semua ibu-ibu di luar sana adalah superhero sebenar. Mereka memikul beban yang sangat berat di bahu mereka setiap hari, namun tetap gigih, namun tiada siapa yang memberi mereka jubah adiwira,” akhiri Michelle dan pada masa yang sama cukup menyanjungi dan menghargai setiap insan bergelar ibu di luar sana.
Sumber: The Sun