Tiada yang lebih menggembirakan hati seorang ibu hamil tatkala doktor mengesahkan bayi yang dikandung adalah kembar. Sudah tentu kehadiran bayi kembar itu sangat dinanti-nantikan oleh seluruh ahli keluarga.
Begitulah perasaan dialami oleh Datin Belina Abdul Hamid yang berketurunan Melayu-Pakistan, bersyukur apabila dikurniakan sepasang anak kembar seiras iaitu Shahirah Safiyya Datuk Samsudin dan Shahirah Silfiyya Datuk Samsudin yang sangat comel serta bijak. Kedua-duanya kini berusia 6 tahun.
“Safiyya dan dan Silfiyya dilahirkan secara pembedahan caesarean pada 1 Februari 2014 di Hospital Prince Court Kuala Lumpur. Alhamdulillah menjaga Safiyya dan Silfiyya tidak sesukar mana. Kedua-duanya tak kuat meragam.
Detik mencabar itu saya hanya alami ketika dalam berpantang. Saya tak nafikan menjaga anak kembar ni perlu banyak sabar dan mental yang kuat. Hanya mereka yang alami saja tahu bagaimana rasanya.
Itu yang kadangkala membuatkan saya rasa amat tertekan. Perlu buat dua perkara dalam satu masa. Detik ini memang sangat mencabar bagi saya yang pertama kali melahirkan serta menjaga anak kembar.
Sesungguhnya kenangan menjaga anak kembar adalah detik istimewa dalam hidup saya,” kongsi wanita berusia 34 tahun ini. Selain Safiyya dan Silfiyya, Datin Belina juga memiliki seorang anak lelaki iaitu Shahputra Nasri berusia 10 tahun.
DIDIK ANAK HIDUP BERSEDERHANA
“Saya dan suami menerapkan cara hidup Islam dalam mendidik anak-anak. Kami banyak membaca dan merujuk buku-buku berkaitan cara-cara didikan Islam termasuk amalan Rasulullah SAW.
Satu lagi didikan kami ialah mengajar anak-anak agar tidak bermewah-mewahan. Kami ajar anak-anak bagaimana susahnya untuk mendapatkan sesuatu. Kena usaha sendiri dan hidup bersederhana.
Untuk masa depan anak-anak, beliau dan suami mendoakan agar mereka berjaya dalam apa jua bidang yang diminati seterusnya menjadi insan berguna di dunia mahupun akhirat.”
MAKIN CANTIK & LANGSING
Walaupun memiliki tiga anak, Datin Belina kekal anggun dan langsing persis anak dara. Dahulu, berat Datin Belina pernah mencecah 90kg. Namun kini Datin Belina berjaya mencapai berat ideal iaitu 55kg.
Semasa hamil anak pertama saya ambil masa 6-7 bulan untuk kembali langsing. Anak kedua iaitu ketika hamilkan Safiyya dan Silfiyya, saya ambil masa setahun untuk dapat badan seperti sekarang.
Saya banyakkan minum air kosong dan elak makanan manis, masin dan berminyak. Lagi satu, kalau nak diet rajinkan diri untuk masak sendiri di rumah. Tak boleh malas dan jangan mudah putus asa.
Cabaran ketika diet, setiap hari saya perlu masak sedap-sedap untuk suami dan anak-anak tapi dalam masa sama saya sendiri perlu kawal pemakanan,” ungkap Datin Belina yang mengagumi Ziana Zain kerana masih kekal cantik dan bertenaga walau dalam usia 50an.
“Nasihat saya buat seluruh wanita kalau nak kekal sihat dan cantik kena rajin. Jangan jadikan alasan komitmen sebagai isteri dan ibu untuk ‘malas’ menjaga penampilan. Saya sendiri kurus bukan sebab penat jaga anak. Saya disiplinkan diri dengan diet seimbang dan bersenam secara teratur,” akhiri Datin Belina.
Pernah terlibat dalam perusahaan restoran, Datin Belina kini memilih untuk bergelar suri rumahtangga sepenuh masa. Namun begitu, Datin Belina tetap menjadikan golongan wanita berkerjaya sebagai inspirasi. Apa yang membuatkan Datin Belina kagum ialah kebolehan mereka dalam menguruskan hal kerjaya, keluarga dan peribadi.
Kredit: Instagram belina_hmd
This website uses cookies.