Miliki Rambut Sihat Macam MIRANDA KERR, Model Victoria’s Secret Ini Amal Cuka Epal!

Di sebalik penggunaannya yang meluas dalam bidang kulinari, cuka epal juga bertindak sebagai ‘ejen’ kecantikan buat para wanita terutama di luar negara.

Pendek kata, dari hujung rambut ke hujung kaki, semua masalah boleh dirawat dengan mudah dan cepat. Tak percaya? Boleh mula mencuba kuasa magis cuka epal hari ini.

Salah seorang selebriti Hollywood yang menjadi igauan lelaki dan dicemburui para wanita, Megan Fox sendiri mengakui dia mengamalkan cuka epal atau Apple Cider Vinegar (ACV) sebagai salah satu daripada rutin kesihatan dan kecantikan hariannya.

Malah, dia percaya ACV sangat membantu mengurangkan lebihan air dan gula dalam badan sekaligus mengekalkan berat badan ideal.

Selain Megan Fox, Miranda Kerr juga tidak ketinggalan merebut manfaat ACV untuk kesihatan rambut. Walaupun dilihat agak ketinggalan zaman dan mengeluarkan bau kurang enak saat mencuci rambut, namun model Victoria’s Secret ini tetap menggunakan ACV.

Begitu juga Scarlett Johansson yang kerap menggunakan ACV sebagai penyegar wajah yang menjadikan wajahnya sering tampak awet muda.

Khasiat Cuka Epal

Tidak dinafikan sebotol cuka epal mengandungi pelbagai keperluan tubuh badan. Sesudu cuka epal sehari berupaya menyingkirkan asid refluks iaitu asid perut yang terjadi disebabkan masalah penghadaman.

Bukan itu saja, cuka epal juga baik untuk meredakan jerawat, membersihkan berus mekap termasuk kesihatan kaki.

(a) Spa kaki
Ada segelintir wanita yang mudah mengalami masalah kaki berbau dan agak sukar untuk menyingkirkan bau kurang menyenangkan itu terutama apabila berada bersama rakan-rakan.

Untuk meneutralkan kembali bau tersebut, rendam kaki di dalam bekas berisi air suam yang telah dilarutkan dengan ¼ cawan cuka epal. Ia juga baik untuk menghalang jangkitan kulat pada kaki seperti ketuat, kutil dan sebagainya.

(b) Mengawal pembentukan jerawat
Wanita yang baru meningkat usia dan ditambah pula dengan beban tugas yang kian banyak memang terdedah dengan jerawat. Halang pembentukan jerawat daripada hinggap ke kulit wajah dengan bantuan cuka epal.

Campurkan suku air bersama sesudu cuka epal dan kacau sebelum dioles ke wajah dengan menggunakan kapas pembersih muka. Biarkan selama 10 minit sebelum mencuci wajah.

(c) Menguatkan kesihatan rambut
Kandungan asid asetik yang ada dalam cuka epal memberi keseimbangan kepada pH rambut selain membersihkan kulit kepala.

Miliki rambut sihat dan lebat secara semula jadi dengan melarutkan 1/3 cawan cuka epal bersama empat cawan air kemudian diurut lembut ke rambut selepas selesai mencuci seperti biasa.

Biarkan selama 10 minit dengan menutupnya menggunakan shower cap dan bilas menggunakan air dingin agar rambut lebih bersinar.

(d) Memutihkan gigi
Selain menanggalkan kesan kopi di fabrik, cuka epal juga digunakan untuk mengurangkan kesan berkenaan yang terlekat di gigi anda. Namun, usah mengharapkan kesan yang sama seperti membuat rawatan pemutihan di klinik pergigian.

Apa yang penting, kebersihan gigi terpelihara dan bebas kotoran. Caranya, campurkan sedikit soda penaik bersama cuka epal kemudian berus dan cuci bersih.

(e) Membersihkan berus mekap
Di luar negara, cuka epal juga digunakan untuk membersih peralatan kosmetik termasuk berus mekap. Tompokan bedak, lipstik dan pembayang mata yang sukar ditanggalkan pada berus mekap boleh dibersihkan dengan selamat dan mudah dengan menggunakan cuka epal.

Ambil satu sudu makan cuka epal dan larutkan di dalam air suam sebelum diperah bersama separuh biji lemon. Masukkan berus mekap ke dalam bekas tadi dan kacau hingga bersih.

Share
Published by
Suzi