Biarpun terletak di ruang yang terselindung namun bahagian dapur juga perlu diberi perhatian rapi agar sentiasa bersih, kemas dan cantik. Fungsi tingkap bagi memudahkan pencahayaan dan aliran udara ketika aktiviti memasak.
Kebanyakan tingkap dapur akan ditutupi dengan langsir yang sesuai sekaligus menyuntik elemen anggun dalam ruang dapur. Semak 6 cara ini untuk memilih langsir yang sesuai.
- Mengikut saiz tingkap. Langsir yang labuh bukan sahaja mudah kotor tetapi juga mudah menyerap lembapan yang boleh menjadi sarang pembiakan kuman.
2. Jangan guna langsir tebal kerana ia akan memerangkap lembapan dan mudah berbau hapak. Sebaiknya, pilihlah langsir yang nipis dan ringan kerana lebih praktikal.
3. Langsir yang sering dipilih untuk ruang dapur ialah jenis kafe yang terdiri daripada dua helai langsir iaitu bahagian atas dan bawah. Ia dipisahkan di bahagian tengah untuk membenarkan cahaya dan udara masuk ke dapur.
4. Jenis lain yang boleh menjadi pilihan ialah langsir kecil yang hanya menutupi bahagian atas tingkap. Langsir jenis ini sesuai untuk tingkap yang berhampiran dengan sinki.
5. Langsir jenis klasik mampu memberikan privasi kepada ruang dapur yang terdiri daripada dua helai kain dan mampu menutupi bahagian dapur.
6. Pilih langsir seperti renda, nylon, rayon, sutera dan kapas. Fabrik langsir yang bagus seharusnya mudah dicuci dan dijaga. Fabrik kapas merupakan material terbaik untuk dijadikan langsir di ruang dapur dan ruang makan.
Anak Fasa GOLDEN AGE Tak Perlukan Semua Ini! Sharing Siti Aminah Sulaiman Tentang Akidah Buat Ibu Bapa Terkejut
Meniti usia awal si manja, tahun-tahun pertama dari saat kelahiran hingga mereka berusia 6 tahun, banyak ibu bapa muda yang masih tercari-cari kaedah didikan yang paling tepat agar zuriat membesar mengikut acuan Islam.
Sayangnya kita fikir tiada peraturan khusus tentang asas pendidikan yang sepatutnya. Lalu kita pun menerapkan pelbagai kaedah lain termasuk teknik didikan Barat dan moden sebagai persediaan awal IQ mereka.
Nona tertarik membaca satu perkongsian di Facebook oleh Penceramah Motivasi, Puan Siti Aminah Sulaiman daripada Anakku Al Hafiz dan sangat bermanfaat kepada kita semua. Mungkin sebaiknya dijadikan iktibar dalam proses kita belajar menjadi seorang ibu bapa terbaik buat amanah yang Allah kurniakan. Jom baca!
=============================
0-6 tahun Golden Age?
Merujuk pada apa Golden Age ni?
- Bukan Flash Cards
- Bukan Hafazan Al Quran
- Bukan Solat
- Bukan Buku Kanak-kanak
- Bukan Educational Toys
- Bukan Set Pembelajaran yang harga 4 angka
- Bukan Nursery Rhymes
Rupanya silap banyak sangkaan saya. Tersentak saya bila dengar kupasan mengenai nasihat Luqman dalam Al-Quran. Nasihat pertamanya berbunyi:
“Wahai anakku, janganlah engkau menyekutukan Allah. Sesungguhnya menyekutukan (Allah) itu adalah benar-benar kezaliman yang besar”
Rupanya asas pendidikan anak ketika kecil pada masa kritikal yang kita gelarkan sebagai Golden Age ialah pendidikan akidah.
Eh, kenapa tak sebut solat dulu? Solat jatuh ke tangga agak bawah dalam nasihat Luqman. Rupanya anak yang dberi asas pendidikan akidah ketika 0-6 tahun akan mudah untuk bersolat pada usia 7 tahun nanti.
Bagaimana pula dengan didikan kenal Al-Quran dan ajar solat seawal kecil? Bagus! Dan sepatutnya diteruskan. Cuma janganlah terlalu disibukkan dengan Flash Card atau hafazan/solat hingga tertinggal aspek pendidikan akidah.
Membaca Al-Quran dan hafazan hanya merupakan skil yang kita mahu anak kuasai. Tetapi benih keimanan bermula dengan menanam akidah. Soalannya, bagaimana mahu tanamkan akidah dalam diri anak kecil?
Rujuk tip di bawah yang sesuai dipraktikkan untuk anak berusia 2 tahun ke atas.
(1) Perkenalkan Allah dan ciptaan-Nya
“Mak, kenapa Allah buat kita ni ada gigi?” soal anak saya yang berusia 4 tahun sambil tunjuk dalam mulut.
“Mak, dah hujan… Kenapa Allah turunkan air dari atas?”
Saya pasti setiap anak kita selalu tanya soalan pelik-pelik pasal diri mereka atau Allah. Usahakan untuk beri jawapan dan kaitkan dengan sifat-sifat Allah (Asma’ ul husna). Contoh jawapan saya beri:
“Allah bagi adik dan mak gigi supaya kita boleh koyakkan makanan, dan boleh kunyah makanan sampai hancur… sebelum telan. Adik bayangkan kalau kita tak de gigi, tercekik nak telan makanan keras dan besar. Baikkan Allah sebab bagi kita gigi?”
Kadang-kadang giliran kita pula bersoal jawab dengan anak. Contoh:
“Adik agak kenapa Allah bagi jagung ni ada rambut?”
“Kenapa Allah jadikan malam gelap, tak ada cahaya?”
Galakkan anak untuk berfikir tentang kejadian alam dan setiap yang Allah ciptakan tidak sia-sia. Tugas ibu ayah ialah lebihkan bercerita mengenai Allah dan ciptaan-Nya.
(2) Perkenalkan Allah sebagai Ar Rahman Ar Rahim
Bukan Allah yang garang. Bukan Allah yang suka menyeksa. Yang ni aspek paling penting! Ramai yang silap didik anak bab ini. Kenapa kena solat? Kita cakap sebab kalau tak solat Allah marah.
Sebaiknya tukar ayat ke:
Kenapa kena solat?
Sebab Allah sayang orang solat, adik nak masuk syurga dengan mak dan ayah kan?
Ingat ya. Umur 0-6 tak perlu cerita pasal azab Allah atau neraka. Ceritakan tentang sifat Allah Ar Rahman dan Ar Rahim. Ceritakan mengenai syurga dan isi kandungannya. Minta anak bayangkan nikmat syurga yang dia bakal dapat jika buat kebaikan yang Allah suka.
Saya terkejut dengan imaginasi anak saya mengenai syurga. Bagaimana dia bayangkan dia akan mandi dalam sungai di syurga nanti. Mudah untuk mendorong anak buat kebaikan jika hati mereka terpaut pada sifat-sifat Allah Ar Rahman Ar Rahim.
(3) Bila anak sudah mula bertanya mengenai Allah
Bila kita sentiasa berbicara mengenai Allah, anak akan merasakan keberadaan Allah sepanjang masa. Pada peringkat ini, anak akan mula bertanya pelbagai soalan. Ibu ayah jawablah dengan bijak dan berilmu. Jika kurang pasti dengan jawapan jangan segan untuk beritahu pada anak kita tak tahu jawapannya dan kita akan mencari (ini adab ilmu).
Saya masih teringat dialog anak saya ketika dia berusia 3 tahun. Dia takut untuk tidur kerana bilik gelap. Saya belum sempat nak tenangkan tiba-tiba dia sendiri menjawab bahawa, “Allah ada, jangan takut” lalu dia tidur dengan lena.
Puji anak bila mereka selalu kaitkan kehidupan mereka seharian dengan Allah kerana bila kita memuji anak, mereka akan faham bahawa perbuatan mereka adalah desirable attitude (perbuatan yang baik) yang kita mahu kekalkan.
Tanpa pujian, anak akan kurang mengerti mengenai desirable attitude yang kita mahu mereka ada dari kecil.
Apakah desirable attitude yang kita mahu? Anak sentiasa merasa Allah berada di mana-mana, melihat mereka, mendengar mereka. Anak yang faham mengenai keberadaan Allah akan takut untuk buat sesuatu yang Allah tak suka atau haram.
Maka peringkat seterusnya iaitu pendidikan solat akan menjadi lebih mudah pada usia 7 tahun nanti, insyaAllah kerana mereka sendiri akan terdorong untuk bersolat, menutup aurat dan membaca Al-Quran dan hadis.
Semoga penulisan ini membawa manfaat bagi yang sabar membaca dan silakan share untuk ilmu yang berpanjangan.
Sumber: Siti Aminah Sulaiman
“Ramadan Tahun Ini Buat Pertama Kali Saya Tadarus Al-Quran Bersama Famili,” Rozita Che Wan
Bulan Ramadan adalah bulan suci sebagai ganjaran buat umat Nabi Muhammad SAW. Keistimewaan yang tidak dimiliki oleh kaum-kaum lain kerana di dalamnya terdapat Malam Lailatul Qadar merupakan malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Malah setiap perbuatan baik juga dijanjikan pahala berlipat kali ganda. Sebagai umat yang terakhir, kita perlu mengambil kesempatan meraih keberkatan Ramadan ini sebaik-baiknya sebagai bekalan di akhirat kelak.
Selebriti wanita yang tinggi lampai dan cantik ini juga tidak mahu ketinggalan merebut pahala di bulan yang mulia ini. Tahun ini buat pertama kalinya Rozita Che Wan, membuat tadarus di rumah bersama keluarga tercinta.
“Walaupun tugas-tugas saya berjalan seperti biasa sepanjang Ramadan ini, tetapi pada tahun ini saya tekad untuk bertadarus bersama ahli keluarga. Saya berharap sangat pada Ramadan tahun ini dapat khatam al-quran,” tutur Rozita penuh semangat.
Menurut isteri kepada pelakon dan usahawan Zain Saidin ini, bagi usaha untuk merealisasikan impian bertadarus sepanjang Ramadan, wanita yang lebih mesra disapa Che Ta ini telah memanggil seorang ustazah datang ke rumah untuk memantau tajwid dan bacaan Al-Quran mereka.
Dalam meraih keberkatan Ramadan juga, Che Ta telah melancarkan kad prabayar Eksklusif kerana mahu memberikan penghargaan kepada seluruh peminatnya yang tidak pernah jemu menyokong selama ini. Kad ini boleh didapati bermula 11 May nanti.
Sebuah majlis bagi memperkenal dan seterusnya melancarkan kad Prabayar Eksklusif Rozita Che Wan dengan kerjasama My International Mobile Sdn. Bhd. telah dijalankan sedikit masa lalu.
“500 yang terawal mendaftar kad ini, bakal diraikan dalam sebuah majlis Berbuka Puasa Eksklusif yang akan diadakan pada 19 May 2019 di Kuala Lumpur. Bukan itu sahaja, mereka yang hadir pada majlis berbuka puasa Eksklusif tersebut akan berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai hampir RM100,000 termasuk wang tunai dan barangan dari ByRCW dan Zapatos by Zain Saidin,” tutur Che Ta.
Bercerita tentang persiapan Syawal pula, “Sebagai seorang wanita, isteri dan juga ibu sudah semestilah tanggungjawab merancang perbelanjaan terletak di tangan kita. Saya biasanya akan memperuntukkan sebahagian bajet untuk sambutan raya setiap tahun.
Biasanya peruntukan bajet raya saya hanya untuk kuih raya dan duit raya sahaja. Macam baju memang tak boleh ikut bajet kerana biasanya akan beli bila mata dah berkenan. Saya akan menyediakan baju raya untuk diri sendiri, suami dan anak-anak.
Walaupun begitu saya jenis wanita yang suka membuat persiapan lebih awal. Segala persiapan raya saya akan buat sebelum menyambut bulan Ramadan lagi.
Saya tidak suka membuat persiapan last minute dan merancang dengan rapi segala persiapan terutama baju raya untuk kami sekeluarga. Ketika bulan puasa saya hanya akan menempah kek dan kuih raya sahaja.
Saya jarang memperuntukkan bajet untuk perbelanjaan rumah ketika menyambut Syawal. Boleh dikatakan saya jarang menyambut raya di rumah jadi kelengkapan rumah tidak berubah, macam itu sahaja.
Mungkin tahun ini saya akan buat open house tetapi bukan di rumah, mungkin saya akan membuat open house di hotel,” tutur ibu kepada Aaisyah Dhia Rana ini.
Raih Pengalaman Daripada Pengusaha Tudung di Terengganu, Arzu Daud Kini Mendaki Puncak Kerjaya Sebagai Pengasas Hijab Premium di Malaysia!
Mewah, eksklusif serta elegan! Itulah ungkapan paling tepat bagi menggambarkan kelebihan Arzuscarf. Bermula daripada fabrik sehingga kepada stail penggayaan, Arzuscarf tidak sekadar fesyen. Ia turut mendidik golongan wanita untuk menghargai kecantikan serta gaya hidup yang dimiliki.
Arzuscarf yang diperkenalkan pada tahun 1995 sering kali menjadi pilihan golongan profesional dan kenamaan. Tidak hairanlah tudung bertaraf antarabangsa ini dijual pada harga setanding dengan kualitinya.
EKSKLUSIF
Arzu Daud, satu nama penting yang berjaya menjadikan Arzuscarf salah satu jenama terkenal di Malaysia. Mesra disapa sebagai Arzu, wanita kelahiran Turki berusia awal 50-an ini menganggap semua pesaingnya dalam industri hijab sebagai pencetus semangat bagi melakukan yang terbaik.
Arzu sentiasa menampilkan kelainan agar Arzuscarf terus relevan dengan permintaan semasa. Berbekalkan pengalamannya menetap di Malaysia sejak 28 tahun lalu sudah cukup membuatkan Arzu mengenali identiti, budaya serta gaya hidup masyarakat di sini.
“Arzuscarf mementingkan nilai eksklusif dalam rekaan yang menggabungkan fabrik asli berkualiti tinggi. Rekaannya on-trend seiring permintaan semasa. Saya menganggap Arzuscarf berjaya menambat hati masyarakat Malaysia dengan identitinya yang tersendiri.
Saya juga menjaga kualiti fabrik dengan cara tidak menggunakan campuran bahan sintetik dan polyester yang keras kerana kedua-duanya tidak sesuai untuk kulit serta boleh merosakkan. Sebab itulah saya katakan Arzuscaf tidak sekadar fesyen, ia turut mendidik wanita agar menjadi lebih peka.
Setiap rekaan tudung Arzuscarf menggunakan fabrik cotton paling mewah, wool dan sutera. Keadaan iklim di Malaysia akan memberi kelainan saat anda menyarungkan tudung Arzuscarf,” kongsi ibu tunggal kepada seorang anak perempuan bernama Akida.
PERMULAAN
Segalanya bermula sebaik Arzu mengenali seorang lelaki bernama Haji Yusuf yang berasal dari Terengganu. Beliaulah yang mengajar Arzu selok-belok perniagaan. Ketika itu Arzu seorang pensyarah berkelulusan kejuruteraan komputer. Dia juga kerap bercuti ke Malaysia dan mempunyai ramai kenalan di sini di samping turut membantu perniagaan tudung Haji Yusuf.
“Tahun 1999 saya membuka kedai menjual tudung pertama di Masjid Jamek dan sambutannya sangat baik. Setiap hari saya perlu berhadapan dengan bermacam karenah pelanggan serta persaingan. Saya latih diri sendiri untuk belajar dan faham budaya masyarakat Malaysia. Saya banyak belajar daripada pelanggan untuk menjadi peniaga yang baik.
Saya gemar mendekati pelanggan dengan cara mendidik mereka tentang kualiti dan nilai eksklusif. Saya percaya jika sesebuah produk itu berkualiti dan punya nilai eksklusif, pelanggan pasti kembali dan berpotensi untuk menjadi pelanggan tetap. Setiap produk kami dihasilkan di Malaysia termasuklah rekaan coraknya,” jelas Arzu yang kagum dengan kecantikan asli wanita Malaysia.
KEKUATAN
“Saya sentiasa utamakan kehendak pelanggan. Interaksi saya bersama mereka amat penting. Selalunya saya juga akan menasihati mereka seperti pentingnya mempunyai tudung berwarna asas di dalam wardrobe. Selain itu, saya juga membantu para pelanggan untuk suai padan dengan menjadikan mereka sebagai sumber inspirasi.
Banyak perkara yang saya belajar daripada pelanggan dan selalu turun padang untuk mendekati peminat setia Arzuscarf. Ada kalanya saya berkongsi masalah bersama mereka yang mampu menjadi pendengar yang baik,” akhiri Arzu. Butik terbaharu Arzuscarf telah pun dibuka di Indonesia diikuti Dubai tidak lama lagi. Bagi anda yang ingin membeli koleksi Arzuscarf, boleh mengunjungi butik Arzu di KLCC, Pavilion dan Mid Valley. AMYMOHD