Terpesona tengok penampilan Datuk Syafinaz Selamat. Lebih-lebih lagi apabila dia dilantik sebagai juri tetap program realiti popular, Gegar Vaganza. Tidak dinafikan, Datuk Syafinaz mempunyai aura tersendiri dan penampilannya dalam program berkenaan sentiasa ditunggu-tunggu peminat.
Mana tidaknya, pensyarah vokal ini sering tampil anggun dan elegan. Ditambah pula dengan komennya selaku juri yang cukup membina kepada para peserta bertanding. Walau ada ketika, dia kelihatan sangat serius melontarkan pandangan terhadap kualiti nyanyian.
Bersandarkan pengalamannya sebagai penyanyi dan ilmu dalam bidang vokal, Datuk Syafinaz memiliki kelebihan untuk menilai kemampuan dan potensi para peserta.
Apatah lagi pada 9 Januari lalu, Datuk Syafinaz membuat persembahan mewakili negara dalam Malaysia Truly Asia Showcase yang berlangsung di Expo Dubai 2020.
Berusia 49 tahun, penyanyi kelahiran Johor ini dianugerahkan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk. Pingat berkenaan dikurniakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara sempena Hari Wilayah Persekutuan pada tahun 2018.
Pada April tahun lepas, Datuk Syafinaz melancarkan single
berjudul Persis Salju. Kerinduan peminat kepada penyanyi bersuara antarabangsa ini terubat menerusi lagu berkenaan memandangkan hampir 20 tahun menunggu ‘buah tangan’ dari Datuk Syafinaz.Difahamkan wanita berbakat besar ini mula menceburi industri seni seawal umur 7 tahun dan pelbagai pengiktirafan berjaya diraih.
Malah, pengetahuan dan pengalaman Datuk Syafinaz dalam dunia hiburan, seni suara dan persembahan juga menjadikannya antara juri popular yang sering diundang dalam pertandingan nyanyian dan program realiti.
Wanita tinggi lampai yang terkenal dengan suara soprano ini juga merupakan konduktor dan vocal master untuk Koir Permata Seni. Selain itu, Datuk Syafinaz pernah dipilih sebagai juri program nyanyian Malaysian Idol, AF Megastar dan Gegar Vaganza.
Bukan itu sahaja, pelantun lagu Ingin Bersamamu ini juga adalah Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), pensyarah vokal di Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, dan vocal master untuk Koir Kebangsaan Malaysia.
This website uses cookies.