Ini bukan angan-angan Mat Jenin tetapi angan-angan yang menjadi realiti milik Nadiah Abas dan suami tercinta, Mohd Arne Haffnee Abas. Sewaktu baru mencecah usia 23 tahun, usahawan wanita ini sudah pun membina empayar sendiri. Dan lebih manis, kejayaan itu turut dikongsi bersama insan tersayang, Mohd Arne.
Memilih World Travel Ambassador (WTA) Sdn. Bhd. sebagai nama rasmi bagi agensi pelancongan mereka berdua, pasangan suami isteri ini seterusnya melangkah setapak lagi ke hadapan apabila melibatkan diri dalam perusahaan motorhomes atau lebih dikenali sebagai karavan.
“Sebelum berjinak-jinak dengan bisnes karavan, kami suami isteri sudah pun mempunyai agensi pelancongan sendiri iaitu WTA Sdn. Bhd. hampir 11 tahun lalu. Melalui agensi pelancongan tersebut, kami bukan hanya menawarkan pakej percutian saja malah menyediakan khidmat sewaan karavan di New Zealand dan Australia yang dikenali sebagai Ahmad Caravan.
Ada bermacam-macam jenis karavan yang ditawarkan dengan pelbagai jenama dan model. Daripada yang mampu memuatkan dua orang penumpang saja sehinggalah enam orang dalam satu-satu masa, semuanya ada disediakan.
Sambutan yang diterima daripada pelanggan di sana memang menggalakkan dan bertitik tolak dari situ kami menubuhkan sebuah lagi syarikat, WTA Ventures Sdn Bhd pada November 2016. Tujuannya adalah untuk memberi alternatif baru dalam dunia pelancongan domestik.
Ramai rakyat Malaysia yang sukakan aktiviti mencabar dan menginap di hotel berkonsep atau boutique hotel. Jadi, kami merealisasikan impian itu dengan meneroka perusahaan motorhomes.
Bukan itu saja. WTA Ventures Sdn. Bhd. juga menjadi sole distributor bagi Benimar Motorhomes di Malaysia yang menjalankan perniagaan menjual dan menyelenggara motorhomes. Bagi merancakkan lagi bidang ini kami akan turut membantu agensi kerajaan mahupun swasta dalam pembangunan industri motorhomes di negara ini.”
Percaturan Nadiah untuk memiliki perniagaan sendiri membuahkan hasil dan memberi pulangan menguntungkan. Lebih-lebih lagi apabila dia dan suami mendapat kepercayaan daripada pihak pengurusan Benimar Motorhomes yang berpangkalan di United Kingdom untuk menjadi pengedar sulung di Malaysia.
“Berdasarkan peningkatan industri ini, saya juga menerima banyak permintaan dari resort dan perbadanan taman rekreasi yang berminat untuk membina caravan parks di kawasan mereka.
Melihat situasi ini saya yakin industri karavan dapat berkembang maju dan mampu menarik minat individu atau syarikat untuk memiliki motorhomes atau sekurang-kurangnya menyewa perkhidmatan ini.
Trend melancong rakyat Malaysia juga kini sudah berubah kerana sudah ramai yang gemar mencuba aktiviti lasak dan lebih ekstrem. Sesuai dengan percutian motorhome yang unik dan menjanjikan pengembaraan tanpa batasan,” cerita Pengarah Urusan WTA Ventures Sdn. Bhd. itu yang melabelkan perniagaan karavannya sebagai Luxe Motorhomes & Caravans.
Bukan sekadar hebat mengemudi pelayaran perniagaan bahkan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kepujian Pengurusan Pelancongan ini juga wajar dijadikan inspirasi kepada seluruh wanita berkerjaya lain kerana bijak membahagikan masa di antara keluarga dan tugas pejabat.
Enggan terlepas melihat perkembangan tiga orang anaknya, Nadiah tidak mahu menjadikan kesibukan sebagai alasan untuk mengehadkan waktu berkualiti bersama keluarga tersayang.
“Tugas saya sebagai usahawan sebenarnya agak mencabar terutamanya untuk membahagikan masa di antara kerjaya dan keluarga. Setiap kali pulang ke rumah, pasti akan terkenang kerja yang belum selesai dan dalam masa sama kena jaga anak, memasak dan sebagainya.
Biasanya, kerja-kerja di pejabat saya akan selesaikan selepas anak-anak tidur. Rutin wajib yang perlu dilakukan sebelum anak-anak tidur ialah meluangkan masa bersama mereka di bilik tidur kerana pada waktu inilah anak-anak selalu bercerita tentang hari yang mereka lalui di sekolah dan impian mereka.
Selain anak-anak, mempunyai pasangan yang memahami kerjaya isteri juga sangat penting dalam sesebuah perkahwinan.”
Ada benar juga apa yang diperkatakan Nadiah. Kalau isteri sahaja yang kena bertolak-ansur demi kebahagiaan rumah tangga tak guna juga, bukan? Suami pun perlu main peranan penting agar kemanisan hidup berkeluarga ini dapat dinikmati bersama pada waktu susah mahupun senang. Suziana Abu Daud
This website uses cookies.