Usianya baru mencecah 22 tahun. Namun penyanyi berbakat dari Indonesia bernama Lesti Kejora ini kerap diangkat sebagai sosok inspirasi muda di sana. Malah pengaruh Lesti kian meledak apabila dia pernah diumumkan sebagai wanita kelima tercantik di dunia pada tahun 2020.
Pengiktirafan besar terhadap gadis Muslimah Indonesia itu benar-benar menggemparkan peminat. Sayang sekali, khabar tersebut hanya palsu apabila penganjur The 100 Most Beautiful Woman 2020 iaitu Top Beauty World tiba-tiba menutup akaun rasmi mereka.
Hal itu walau bagaimanapun, tetap membuatkan Lesti Kejora atau nama asalnya Lestiana Andryani kembali trending di Twitter. Reputasi kerjaya dan pencapaian yang diraih oleh gadis Sunda berusia 22 tahun tersebut menjadi bualan ramai, khususnya warga negara jiran. Bayangkan dengan muzik dangdut, mampu mengubah kehidupan seseorang.
Pencapaian Lesti kerap mendapat liputan meluas di Jakarta. Selain kisah cinta Lesti dan Rizky Billar, satu persatu kejayaannya menarik perhatian peminat. Tidak hairanlah followers Instagram @lestykejora kini mencecah 18.3 juta!
Tambahan pula Lesti yang asalnya hanya seorang gadis desa mampu mengumpul pelbagai kenderaan mewah serta mendirikan rumah yang besar lagi selesa buat orang tuanya, berkat kerja keras dalam industri seni. Dia dianggap sebagai seorang penyanyi dangdut yang berjaya, popular dan kaya-raya di Indonesia.
Lesti memulakan kariernya sebagai penyanyi dangdut dan pernah melancarkan single berjudul ‘Kejora’ pada tahun 2014. Single lagu tersebut berjaya melonjakkan nama Lesti hingga disunting oleh syarikat rakaman.
Tahun yang sama juga, Lesti menjuarai program realiti D’Academy terbitan Indosiar dan berjaya menyingkirkan 15 peserta lain. Lagu ‘Kejora’ juga memenangi anugerah Lagu Dangdut Paling Ngetop di SCTV Music Awards dan Lesti diangkat sebagai Pendatang Baru Wanita Terpopuler di Indonesian Dangdut Awards.
Selain menyanyi, Lesti juga pernah membintangi beberapa sinetron popular seperti Anak Tukang Sapu Jadi Dokter (2015), Munajat Cinta Sang Gadis Desa (2015) dan Kekuatan Doa Seorang Biduan (2016).
Susulan kejayaan single ‘Kejora’, gadis ini melancarkan single kedua pula berjudul ‘Zapin Melayu’ dan ‘Lebih Dari Selamanya’ pada tahun 2016. Single tersebut meraih penghargaan di AMI Awards 2019.
Nama Lesti sekali lagi dinobatkan sebagai Penyanyi Dangdut Wanita Paling Ngetop di SCTV Music Awards 2016 dan Penyanyi Dangdut Wanita Paling Inbox di Inbox Awards 2016.
Tidak hanya cemerlang dalam industri, Lesti juga membuktikan ilmu juga sama pentingnya dalam kehidupan. Walaupun sibuk menyanyi dan berlakon, dia merupakan seorang mahasiswi di Universiti Mercu Buana.
SUKA FESYEN
Terkenal dengan imej tudung bawal dan loose shawl, gaya effortless Lesti sentiasa menonjolkan sisi remaja yang suka berfesyen. Biarpun memilih genre dangdut, namun penampilan imej Muslimah Lesti sedikit sebanyak membuatkan peminat muzik ini tidak keterlaluan dalam konteks berhibur.
Beberapa gaya Lesti Kejora mungkin sesuai dijadikan inspirasi oleh wanita Muslimah di negara ini. Keep scrolling girls!
Sumber: Instagram @lestykejora
Bantu Keluarga Dhaif Tinggal Di Bawah Jambatan, Jiwa & Perasaan YM TENGKU ADENA Luluh
Kagum betul dengan wanita hebat ini, YM Tengku Khairul Adena Tengku Abdullah. Biarpun berstatus ibu tunggal namun wanita berusia 51 tahun dan berketurunan kerabat Perak dan Selangor ini seorang yang sangat humble dan berjiwa mulia.
Mesra disapa sebagai Tengku Adena, seorang yang sangat berjiwa prihatin serta memahami permasalahan yang dihadapi oleh insan sekeliling.
Kerana tanggungjawab dan amanah terhadap sesama insan, Tengku Adena sering turun padang membantu golongan susah dan dhaif tanpa mempedulikan beza status antara dirinya dan mereka.
Bagi Tengku Adena, amalan sedekah menjadi asbab seseorang itu berjaya dalam kehidupannya malah lebih berkat. Jika diizinkan Allah SWT, ia juga menjadi jalan untuk kita ke syurga.
Tengku Adena merupakan ibu kepada seorang anak perempuan yang kini sudah pun berkahwin. Tengku Adena kini aktif dalam dunia perniagaan dan pertubuhan NGO dalam melakukan aktiviti-aktiviti kebajikan.
“Antara kenangan paling memberi kesan kepada saya ialah misi bantuan ke tempat yang didiami oleh keluarga dhaif. Saya bersyukur dan terharu kerana mendapat support daripada pertubuhan-pertubuhan NGO lain yang sudi membantu.
“Dalam misi tersebut saya tak sangka ada lagi insan yang duduk di bawah jambatan. Ada 3 keluarga di situ, duduk di rumah kayu dan tepi sungai. Saya terkedu dan ia benar-benar mengusik jiwa saya. Pada mulanya mereka menolak untuk dibantu kerana tak mahu meminta-minta.
“Perjumpaan seterusnya saya pujuk lagi akhirnya mereka terima. Ketika itu ramai pihak yang tampil hulur bantuan antaranya individu, syarikat dan NGO.
“Bagi saya kena belajar redha baru hati tenang. Sangka baik, Allah SWT akan bagi yang baik-baik,” kongsi Presiden Pertubuhan Pusat Data Usahawan Ekosistem Malaysia (MEEDC), serta Presiden Srikandi ini.
Tengku Adena merupakan penerima Anugerah Ikon Usahawanita Selangor dari Dewan Ekonomi Usahawan Malaysia.
Satu lagi rahsia ketenangan dan kejayaan Tengku Adena ialah dengan sentiasa bersedekah.
“Jangan berhenti bersedekah. Saya didik diri sendiri, setiap hari sebelum tiba ke pejabat saya akan singgah surau atau masjid berhampiran untuk bersedekah. Bermula dengan nilai yang kecil, kemudian naikkan sedikit demi sedikit. Yang penting ikhlas,” kongsinya.
AKTIF BERSAMA NGO
“Ada 3 perkara dalam kehidupan yang saya buat dan ia satu cabaran dari segi masa. Saya belajar dalam proses menjadi seorang usahawan sambil aktif dalam pertubuhan NGO. Alhamdulillah, ia mengajar saya erti hidup yang sebenar.”
“Alhamdulillah anak dah kahwin jadi beban tugas sebagai ibu tu dah lepas. Saya ada masa untuk diri sendiri. Bila berkecimpung dalam dunia korporat saya ada team, segala urusan dipermudahkan.
“Untuk urusan NGO saya tak perlu keluar sebab boleh online. Jadi di rumah saya juga sibuk berhubung dengan usahawan-usahawan seluruh Malaysia.”
KEPUASAN BUAT KEBAJIKAN
“Bila tengok orang susah baru kita sedar, ada yang tidurnya tanpa tilam tapi mereka tetap bersyukur. Kita jangan asyik merungut atas segala kekurangan. Kita kena muhasabah diri dan menghargai orang sekeliling kita terutama keluarga.
“Kepuasan dalam membuat kebajikan tu membuatkan kita rasa bahagia, gembira dan tenang sebab kita dapat buat orang tersenyum.
“Berniaga adalah untuk progres dan diwarisi. Kita tak mahu mereka berniaga sekadar untuk sara diri. Kita rakyat Malaysia, dan Bumiputera Islam kena jadi usahawan Muslim yang berjaya. I
“tu yang saya tekankan dalam MEEDC sebab nak wujudkan ramai lagi usahawan Muslim yang berjaya. Saya nak lahirkan lebih ramai ‘Ebit Lew’ dalam MEEDC ni agar kita menjadi hartawan dan dermawan.
“Dengan itu kita dapat menderma. Bila semua Bumiputera Islam ni dah maju kita dapat membantu dalam kebajikan.”
Kredit foto: Instagram @tengkuadena_official
Malu-malu sayang… Kata Tun Dr. Siti Hasmah, “Dalam Motokar, Dia Pegang Tangan Saya. Pegangan Tangan Itu Akan Dileraikan Apabila Kami Melintasi Tol & Jari-Jemari Kembali Bertaut Selepas Itu”
Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
MENULIS
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Tutup Buku Lama WARDINA SAFIYYAH Kini Ahli Psikologi & Sukarelawan, Bahagia Bersama Keluarga Di Australia
Suatu ketika dahulu, nama pelakon Wardina Safiyyah cukup dikenali dalam industri seni lakonan tanah air. Paling diingati adalah lakonannya sebagai Misha dalam siri komedi Spanar Jaya. Bekas peserta pertandingan Dewi Remaja 1997/98 ini juga turut aktif dalam bidang modeling dan pengacaraan, malah pernah membintangi beberapa buah filem.
Dan ketika namanya berada di puncak dan kemudiannya berkeluarga, Wardina memutuskan untuk berhijrah ke Australia membawa diri dan menyambung pelajaran pada tahun 2014. Sejak daripada itu nama Wardina dilihat jarang menghiasi dada akhbar mahupun media cetak dan elektronik, walaupun aktif di media sosial.
Kini meniti usia 43 tahun, pemilik nama Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot yang juga ibu kepada 3 orang cahaya mata ini tetap kelihatan anggun dan terserlah kejelitaannya. Wardina juga dikhabarkan aktif menjalani kehidupan sebagai seorang ahli profesional di sana.
“Alhamdulillah saya kini bertugas sebagai seorang ahli psikologi berdaftar di sebuah pusat kesihatan di Brisbane membantu pesakit-pesakit yang mengalami masalah mental termasuklah kanak-kanak autistik. Di samping itu, saya juga aktif dalam aktiviti sukarelawan sebagai seorang petugas sokongan krisis (crisis support worker) bersama LifeLine di mana saya memberikan sokongan kepada mereka yang mengalami krisis emosi seperti kemahuan untuk menamatkan kehidupan dan lain-lain isu secara atas talian. Its my dream job,” ujar Wardina kepada Nona.
Menurut Wardina lagi, kerjaya sebagai seorang ahli profesional cukup memberikan kepuasan buatnya. “Saya banyak menghabiskan masa meningkatkan diri dengan ilmu di samping menyambung pengajian post graduate dalam bidang pengajian autistik memandangkan saya banyak menghabiskan masa bersama-sama dengan kanak-kanak autistik.”
Walaupun pernah bergelar anak seni, Wardina mengakui kerap kali ditanya sama ada dirinya rindu untuk kembali beraksi di hadapan kamera namun jelasnya dia tidak terfikir langsung untuk kembali berlakon.
“Honestly I don’t miss acting at all. Bidang seni adalah satu pengalaman hidup di mana babaknya sudah lama ditutup dan disimpan jauh buat selama-lamanya. Ia merupakan satu fasa hidup yang dah lama berlalu, namun saya hargai setiap satu momen yang mengajar saya untuk menjadi insan yang lebih baik.”
“Saya happy di sini bila tak ada siapa yang kenal kita. I live quite a simple and comfortable life here with my family. Ada yang bertanya bila mahu pulang ke Malaysia. For now, masih belum ada perancangan untuk kembali ke Malaysia. Lagipun suami pun bekerja di sini, he’s an architect. Anak-anak pun dah selesa. Do I miss Malaysia? Of course, Malaysia negara kelahiran saya. Tapi kita tak pernah tahu perancangan Tuhan kan? We’ll see..” ulas Wardina lagi.
Kini bahagia menetap di Brisbane, Wardina juga sempat berkongsikan perkembangan terkini berhubung anak-anaknya. “Amna Nafeesa yang kini berusia 19 tahun berada di tahun kedua Universiti of Queensland. Cita-citanya ingin menjadi seorang doktor haiwan. Azra Sareera pula berusia 16 tahun kini di tahun ke 10 dalam perancangan menamatkan pengajian International Baccalaureate (IB), dan Imran pula berada di tahun lapan di sekolah tinggi (high school).
Memasuki tahun kelapan hidup di Australia, Wardina juga bersyukur anak-anaknya mudah menyesuaikan diri di tempat orang. “Australia negara yang cukup bebas dan terbuka namun syukur anak-anak masih mampu mengawal diri, malah saya dan suami selalu tanamkan perasaan cintakan agama dan Islam. Malah mereka juga sangat berbangga dengan asal usul dan identiti mereka sebagai seorang Muslim serta tidak mengagungkan orang barat. Alhamdulillah, mereka anak-anak yang baik dan mudah dibentuk,” ujar Wardina mengakhiri temubual bersama NONA.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***