MIRA FILZAH Kini Bergelar Ibu, Lahirkan Bayi Lelaki & Kongsi Tarikh 9 Syawal Dengan Anak

9 Syawal menjadi tarikh paling bermakna buat pelakon popular, Mira Filzah apabila selamat bergelar seorang ibu. Mira selamat melahirkan zuriat sulungnya itu tepat jam 3.40 pagi. Lebih mengujakan ialah bayi mereka itu berkongsi tarikh sama dengan Mira iaitu 9 Syawal (mengikut kalender Islam).

Berita gembira ini telah dikongsi oleh suami Mira iaitu Wan Emir Astar melalui satu hantaran yang dimuat naik di akaun Instagramnya sebentar tadi. Wan Emir memaklumkan isterinya itu selamat melahirkan cahaya mata sulung mereka tepat jam 3.40 pagi.

Wan Emir turut menyatakan isteri dan bayi lelaki mereka itu kini berada dalam keadaan sangat baik.

Pastinya Syawal tahun ini lebih meriah dengan kehadiran cucu dalam keluarga sebelah Mira dan juga Wan Emir.

“Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT Pencipta sekalian alam, serta selawat ke atas junjungan mulia Baginda Nabi Muhammad SAW. Isteri syurgaku Nur Amirah Filzah binti Badioezaman telah selamat melahirkan putera sulung kami pada tarikh sama seperti ibunya iaitu pada tarikh 9 Syawal, bersamaan 10 haribulan 5 tahun 2022 pada jam 3.40pagi.

Putera kami yang bergema nyaring tangisannya berada dalam keadaan sihat, di samping ibunya yang juga dalam keadaan sihat wal’afiat.”

Wan Emir tidak lupa untuk menitipkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah mengirimkan doa serta harapan terhadap perkahwinan mereka.

“Kami mengucapkan jazakallahu khairan dan jutaan terima kasih kepada semua atas doa dan harapan yang telah dicurahkan ke atas perjalanan kami sekeluarga ini, moga segala kebaikan buat kalian semua juga.

May Allah SWT bless & guide each and every one of us in our own personal journeys through this temporary life, aamin YRA.”

Meninjau di ruangan komen, rakan-rakan selebriti dan warganet menitipkan ucapan tahniah buat pasangan ini.

Semoga cahaya mata sulung mereka itu menjadi anak yang soleh buat ibu ayah.

Untuk rekod, Mira Filzah dan Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar bertunang pada 17 Julai 2020 dan sah bergelar suami isteri pada 3 September 2020. Majlis pernikahan mereka diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara Kuala Lumpur. Manakala majlis resepsi berlangsung di Le Meridian, Putrajaya serta A-Park, Pulau Meranti Puchong.

Wan Emir adalah anak sulung kepada Datin Mastura Mohd Yazid yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas)

Wan Emir bersama ibu tercinta, Datin Mastura Mohd Yazid.

Kredit Foto: Instagram Wan Emir Astar

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad