Berilah apa sahaja tudung kepada Qasrina Abdul Karim, semuanya pasti terletak cantik dan digayakan sehingga menarik hati pembeli. Itulah kelebihan wanita jelita berusia 27 tahun ini, pakej bentuk wajah dan senyumannya yang manis membuatkan dia sering menjadi pilihan jenama tudung Malaysia.
Pernah dikatakan mirip pelakon Mira Filzah dan penyanyi Dato’ Sri Siti Nurhaliza, kerjaya Qasrina sebagai model Muslimah mula berkembang ke bidang lakonan.
Bagi peminat drama Imam Instant Ustazah Scammer, wajah Qasrina disamping ‘kembarnya’ Mira Filzah pasti meraih tumpuan apatah lagi timbul desas-desus gosip percintaannya dengan aktor Mierul Aiman bertebaran.
Selain itu, siri drama Legenda Puteri Qaseh yang menampilkan Qasrina sebagai pendukung watak utama juga sedang hangat ditayangkan di saluran Astro Ceria sekaligus mengangkat popularitinya sebagai pendatang baru.
Ibarat bunga yang sedang mekar kerana belum dikunjungi kumbang, status single gadis jelita ini pasti menjadi bualan peminat. Mengambil langkah bijak menepis segala dakwaan tentang rakan sekerjanya itu, Qasrina yang juga pernah membintangi filem Kongsi Raya dan Siapa Tutup Lampu? lebih selesa berbicara soal kerja berbanding peribadi.
Berasal dari Subang Jaya, Qasrina sebenarnya mempunyai segulung ijazah dalam jurusan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Malaysia.
Kepintaran dan kematangan dirinya seiring apabila terlihat dia bijak mengambil hati peminat mahupun media yang mendekati. Barangkali inilah sebabnya juga gadis berlesung pipit itu menjadi perhatian banyak jenama yang berminat menjadikan Qasrina sebagai duta mereka.
Menurut Qasrina yang merupakan duta bagi jenama Wardah, antara rahsia yang diamalkan untuk mengekalkan keserian wajahnya ialah membasuh muka sekurang-kurangnya selama satu minit untuk memastikan wajahnya menyerap segala segala fungsi pencuci muka yang digunakan.
“Saya selalunya akan mengambil masa selama satu minit untuk mencuci muka kerana ia merupakan sebuah proses yang penting dan tidak harus diabaikan.” Qasrina
Selain daripada itu, bintang kelahiran Subang Jaya ini juga turut menyatakan bahawa dia selalu mengamalkan pengambilan dua liter air setiap hari. Qasrina juga hanya minum susu jenis oat dan juga kacang badam untuk memastikan wajahnya bebas dari masalah jerawat.
Wajah Qasrina juga seringkali disamakan dengan dua figura hebat tanah air iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Mira Filzah. Memandang isu tersebut dalam sudut yang positif, Qasrina terima sebagai pujian tetapi lebih selesa jika tidak dibanding-bandingkan dengan mana-mana selebriti.
********************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
********************