Ratu cantik datang dan pergi, namun berapa ramai saja yang tetap meneruskan misi kemanusiaan mereka demi “world peace” yang dicanang-canang ketika sesi soal jawab di atas pentas, namun tidak bagi Deborah Henry.
Walaupun sudah tidak terlibat dalam bidang ‘pageantry’ sejak 2011, sewaktu beliau mewakili Malaysia pada pertandingan Miss Malaysia World 2007 dan Miss Universe Malaysia 2011, namun siapa menyangka empunya badan masih lagi aktif dengan aktiviti kemanusiaan.
Berkelulusan University of Queensland, Australia; Deborah yang mula berkecimpung dalam dunia peragaan seawal usia 14 tahun lagi, dilahirkan di Dublin dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Kini, Deborah dilihat sibuk mengurus dan mengusahakan Fugee School, sebuah badan atau organisasi sosial tanpa keuntungan yang memberikan perlindungan dan bantuan seperti tempat tinggal dan pendidikan kepada anak anak pelarian atau ‘refugees’.
Namun tidak semuanya mudah buat Deborah apatah lagi dirinya perlu berhadapan dengan stigma masyarakat terhadap pelarian atau pendatang. Jelas Deborah dalam satu temubual media, “ Bagi sesetengah rakyat Malaysia, pelarian dianggap komuniti yang menakutkan. Rakyat Malaysia tidak tahu siapa mereka, dari mana mereka berasal, atau apa yang mereka mahu lakukan apabila mereka berada di sini”.
Sejak memenangi gelaran Miss World pada 2007, Deborah kekal dan masih memperjuangkan nasib pelarian apatah lagi ia dianggap satu tanggungjawab “untuk melakukan sesuatu” selepas melihat sendiri apa yang mereka lalui.
“Saya mula menyedari tentang situasi sukar yang dilalui pelarian di Malaysia apabila menjadi hos dokumentari berhubung pelarian untuk Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pada 2008.
Semasa penggambaran, saya bertemu dengan keluarga pelarian Somalia dengan empat anak berusia 10 hingga 14 tahun. Kanak-kanak itu hidup dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Mereka tidak pergi ke sekolah dan hampir tidak boleh bercakap, membaca atau menulis dalam bahasa Inggeris.
Selepas lebih sedekad memperjuangkan nasib pelarian di Malaysia, Deborah berkata disinilah Fugee School serta Fugeelah berfungsi. Fugeelah berhasrat memperkasakan perniagaan dan jenamanya untuk mewujudkan kesedaran mengenai nasib kanak-kanak dan belia pelarian dalam transit di Malaysia, dan pada masa yang sama memberi inspirasi kepada individu untuk mengambil tindakan dalam apa jua cara yang mereka boleh dan akhirnya melaksanakan perubahan, menerusi perusahaan barang kemas dan hiasan wanita.
“Jadi pada tahun 2014, saya mula menceburi perniagaan yang mampan untuk Fugee School bagi menjamin sumber untuk sekolah ini agar kami dapat menumpukan sepenuh masa dalam menambah baik program pendidikan kami dan membangunkan pendekatan yang lebih inovatif”, jelas Deborah dalam temubual bersama majalah Prestige.
Sumber: Malay Mail dan Prestige | Kredit foto: @deborahhenry
This website uses cookies.