
Pelari solo negara yang juga bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mej (K) Dr Suwaibah Muhammad Nasir, 49, berhasrat membina sebuah akademi latihan sebagai usaha mempromosikan sukan ‘stairs scaling’ kepada golongan belia di negara ini.
Menurut Dr Suwaibah, akademi latihan itu berperanan mencari dan melatih anak-anak muda yang berpotensi dalam sukan itu agar dapat bertanding di peringkat antarabangsa seperti Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik.
“Sukan stairs scaling ini sememangnya sudah terkenal di luar negara seperti di Eropah. Sebagai pelopor, saya melihat sukan ini mempunyai perkembangan yang sangat positif untuk diketengahkan kepada semua.

“Dengan tertubuhnya akademi latihan ini, ia dapat menyediakan pelapis yang lebih muda dan remaja untuk menggalas tanggungjawab agar suatu hari nanti muncul ‘Dr Suwaibah Muhammad Nasir’ yang lain pula (pengganti),” katanya selepas Majlis Pelancaran Misi Menawan 10 Menara Malaysia dan 30 Menara Tertinggi Dunia (MM1030) baru-baru ini.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Penaung Diraja MM1030.


Dr Suwaibah berharap dan mengalu-alukan kerajaan, badan bukan kerajaan dan syarikat korporat tampil ke hadapan bagi mempromosikan sukan lasak tersebut.
Mengenai MM1030, Suwaibah akan memulakan misi dengan mendaki 10 menara Malaysia antaranya Menara Rebung TM, Menara Alor Setar, Menara Komtar dan Menara Kuantan 188, mulai Julai depan dan dijangka tamat pada akhir tahun ini.

“Selain mempromosikan sukan stairs scaling di negara ini, larian itu juga adalah satu latihan pemanas badan sebelum diteruskan ke peringkat antarabangsa pada tahun hadapan.”
Pemenang wanita pertama KL Towerthon 1998 yang sentiasa prihatin dengan terhadap isu-isu kemanusiaan itu pernah melakar pelbagai kejayaan dalam acara marathon dan mencatat 10 rekod dalam ‘Malaysia Book of Records’ termasuk sebagai wanita pertama Malaysia berlari solo sejauh 1,111 kilometer merentasi gurun Sahara di Mesir.
Sumber: Bernama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sah POSITIF COVID-19, DATIN YANI Cemas Fikir 5 Anak Terutama Bongsu Ada Jantung Berlubang

Sememangnya hubungan dengan penerima anugerah Nona Best Technology Business Awards di Nona Superwoman Award 2018 ini tidak pernah putus dan kami sentiasa berhubung. Apabila mendapat perkhabaran bahawa Datin Nur Ezdiani Baharoddin atau lebih mesra disapa Datin Yani ini disahkan positif COVID-19 terus terbayangkan anak-anaknya yang masih kecil.

“So far, saya ok je ni..alhamdulillah,” itu jawapan pertama Datin Yani saat dihubungi. Walaupun sedang berada dalam situasi getir tetapi wanita yang pernah dianugerahkan Tokoh Srikandi Negara dengan gelaran Tun Puteh oleh Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (Srikandi Malaysia) ini tetap positif.
Bercerita lanjut, “Pada mulanya perasaan saya sama seperti kebanyakan orang lain, resah dan risau. Saya sangat risau kerana bimbang menjangkiti suami, anak-anak dan kedua-dua pembantu rumah. Tapi, selepas dimaklumkan, saya nekad untuk berfikir positif and set my mind positive.

Perkara pertama yang bermain dalam fikiran saya adalah mengenai kondisi suami, anak-anak dan pembantu rumah. Saya cemas kerana mempunyai anak-anak kecil terutama anak kelima mempunyai jantung berlubang dan ini yang paling menakutkan saya,” tutur ibu kepada lima orang anak ini.
SIMPTOM
Tanpa melengahkan masa, saat mengetahui dirinya positif COVID-19, Datin Yani menggesa suami, anak-anak dan pembantu untuk melakukan ujian calitan atau swab test. “Saya sangat bersyukur kerana keputusan mereka semua adalah negatif,” jelas Datin Yani yang tidak mengalami gejala seperti demam, batuk dan selsema tapi mengalami migraine yang sangat teruk serta sakit-sakit sendi.

Sementara menunggu panggilan dari Kementerian Kesihatan Malaysia, Datin Yani bertindak melakukan kuarantin di rumah. “Saya melakukan kuarantin di dalam bilik sendiri, apabila memegang tombol pintu, saya akan memakai hand gloves untuk mengelakkan virus bertebar. Saya sentiasa memakai mask untuk keluar pintu, apabila pembantu rumah menghantar makanan di hadapan pintu bilik. Kebanyakan masa, saya hanya di bilik dan tidak keluar langsung ke mana-mana kawasan dalam rumah.

Sebelum mengetahui keputusan swab test, suami dan anak-anak menjalankan kuarantin di bilik yang berbeza. Anak-anak kecil juga diserahkan kepada pembantu rumah berbeza-beza bilik. Kini, semua keputusan mereka adalah negatif dan mereka menjalankan aktiviti seperti biasa. Cuma mengikut SOP yang berkenaan kerana saya masih POSITIF. Kesemua mereka perlu menjalankan kuarantin untuk tempoh 10 hari,” ujar Datin Yani.
KONTAK RAPAT
“Saya mendapat jangkitan daripada salah seorang pembantu peribadi saya. Pada ketika itu, dia datang ke rumah seperti biasa dan tidak mempunyai sebarang simptom. Pagi raya kedua, saya telah diberitahu bahawa keputusan swab test isterinya adalah positif.

95 peratus keluarganya yang berada di rumah juga positif. Ibunya dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana kesukaran bernafas. Selepas mengetahui berita ini, saya terus mengambil keputusan untuk mengambil swab test dan terus kuarantin diri sehingga mendapat keputusan swab test.
Nasihat saya kepada orang ramai sila ikut arahan kerajaan agar tidak melakukan aktiviti ziarah dan tidak perlu ke tempat yang sesak. Jaga SOP yang telah disarankan seperti tidak bersalaman atau mempunyai body contact dengan sesiapa sahaja. Pastikan tiada tetamu datang ke rumah kerana kita tidak tahu sejarah perjalanan yang dilalui tetamu tersebut,” katanya.

JAGA SOP
“Virus Covid-19 adalah benar dan nyata. Banyakkan membaca untuk sentiasa bersedia denga apa jua kebarangkalian. Ikut dan patuh SOP yang ditetapkan, sentiasa basuh tangan, pakai mask dan elakkan ada sentuhan dengan orang luar atau pelawat dari luar.
Jadilah masyarakat yang sentiasa peka dan bertanggungjawab dalam menangani virus ini. Makan dan amalkan hidup secara sihat untuk memerangi virus ini.

Bagi yang positif, jangan ‘overthinking’. Fikir positif dan ikut SOP yang telah diberikan oleh KKM di dalam tempoh kuarantin. Makan makanan yang sihat untuk menguatkan imun badan. Sama- sama kita semua perangi virus ini,” ucap Datin Yani mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Olah Resipi SUGU PAVITHRA, Kari Ayam Pencen Versi Jutawan BAWAL EXCLUSIVE Ini Sangat Mengiurkan!

Selain sukses dalam dunia perniagaan, jutawan terkenal yang juga pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri juga pandai memasak. Haliza sering berkongsi resipi di akaun Instagram miliknya dengan meletakkan tanda pagar #airtanganhalizamaysuri


Walaupun sekadar menatap gambarnya sahaja tetap membuka selera. Siapa yang tak kecur bila tengok menu Sambal Tempoyak Udang dan Petai, Sotong Masak Hitam Ala Mamak, Bawal Emas Kukus, Perut Muda Goreng Rangup, Daging Rebus Dengan Serai, dan banyak lagi. Semuanya hasil daripada air tangan Haliza Maysuri.


Menariknya, setiap resipi yang dikongsikan itu cukup mudah dan kena dengan selera rakyat Malaysia. Menurut Haliza, minat memasak sememangnya sudah tertanam sejak dahulu. Apatah lagi, pernah mengharungi fasa sukar sebelum berjaya dan ternama seperti sekarang antara faktor Haliza pandai mengolah bahan masakan menjadi satu menu yang enak.

Dengan minatnya yang rajin ke dapur maka tercetuslah idea-idea menu baharu yang dicipta sendiri oleh Haliza. Walaupun ringkas namun tetap menyelerakan! Apa yang penting air tangannya itu sentiasa menjadi kegemaran keluarganya.
INSPIRASI RESIPI SUGU PAVITHRA
Siapa yang tak kenal dengan YouTuber, Sugu Pavithra yang kini sedang meningkat naik namanya melalui perkongsian masakan di saluran YouTube. Sugu Pavithra menjadi inspirasi ramai khususnya rakyat Malaysia kerana kefasihannya berbahasa Melayu serta video masakan bersifat santai dan realistik.
Setiap resipi masakan yang dikongsi sentiasa menjadi perhatian ramai termasuk Haliza sendiri. Salah satunya ialah resipi Kari Ayam Pencen yang telah mendapat lebih daripada 2 juta tontonan di saluran YouTube Sugu Pavithra.
Justeru ia turut mencetuskan inspirasi buat Haliza untuk mencuba resipi Kari Ayam Pencen Sugu Pavithra ini. Haliza mengolahnya mengikut citarasa tersendiri dan berkongsi video memasak Kari Ayam Pencen di Insta Story.
“Kari ayam pencen, resipi dan cara-cara memasaknya rujuk di YouTube Sugu Pavithra. Rempah kari je saya guna rempah @kariaween.”
Menurut Haliza, beliau lebih menggemari rasa ayam pencen berbanding ayam biasa. Haliza turut berkongsi tip buat para pengikutnya bagaimana untuk melembutkan ayam pencen. Caranya, ayam pencen direbus bersama rempah ratus dan air terlebih dahulu. Masak selama sejam atau sehingga isi ayam empuk kemudian barulah dimasukkan santan.

Walaupun isinya agak liat tapi ayam pencen mempunyai kebaikan dari sudut kesihatan. Isinya juga lebih manis. Berikut cara lain bagaimana untuk melembutkan isi ayam pencen.
DAUN NANGKA MUDA
Masukkan beberap helai daun nangka muda semasa merebus ayam pencen. Ia akan cepat empuk.
AIR KELAPA
Rebus ayam pencen dengan air kelapa sampai isinya lembut. Setelah empuk toskan airnya kemudian masak seperti biasa.
BIJI SELASIH
Bungkus segenggam biji selasih seperti sup bunjut. Kemudian masukkan ke dalam rebusan ayam pencen. Ayam pencen akan cepat empuk.
LADA HITAM
Tumbuk setengah sudu lada hitam dengan halia. Kemudian masukkannya ke dalam periuk yang berisi air dan ayam pencen. Rebus sehingga isi ayam pencen menjadi empuk.
Kredit: IG @halizamaysuri & YouTube Sugu Pavithra
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Pergaduhan Berlaku Depan Mata” DATO’ FARAH ZARINA Kongsi Detik Cemas Di Masjid Al-Aqsa

“Saya ke Palestin pada tahun 2014 bersama ibu serta rakan-rakannya. Sebenarnya, setahun sebelum ke sana sudah beberapa kali saya mengusulkan kepada ibu yang saya teringin sangat hendak menziarahi bumi Palestin yang merupakan tempat para anbiya. Memang saya berminat untuk mempelajari sejarah-sejarah Islam.
Kebetulan juga ketika itu salah seorang adik saya sedang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Ketika melawatnya di sana, kami dibawa berjalan melawat Mesir oleh pelajar-pelajar Malaysia di sana. Banyak kisah-kisah agama dikongsi oleh mereka sehingga membuatkan saya tertarik untuk mempelajari lebih banyak tentang sejarah Islam.
Kami tiba melalui Jordan. Untuk memasuki sempadan Palestin perlu melalui checkpoint atau tempat pemeriksaan yang dikawal dan diperiksa oleh petugas Israel. Sewaktu pemeriksaan terakhir, saya diminta oleh pegawai bertugas untuk ke ruang soal jawab. Ada juga beberapa orang dari group kami mengalami situasi yang sama dan ada juga yang ditahan untuk di soal siasat kerana membawa Al-Quran dan disuruh untuk menyelak satu persatu helaian muka surat Al-Quran untuk diperiksa. Setelah beberapa jam barulah segala urusan kami selesai. Walau mengalami beberapa situasi yang tidak diduga tetapi segala urusan di pintu sempadan berakhir dengan baik.


Tour leader membawa kami menziarahi tempat-tempat bersejarah termasuk makam para Nabi dan pejuang Islam. Kami juga berpeluang melihat tempat yang dipercayai terikatnya buraq, seterusnya menunaikan solat di masjid Al-Aqsa. Pertemuan dengan Imam Al-Aqsa merupakan pengalaman paling berharga buat saya. Di samping itu, menurut tour leader kami (yang berasal dari sana) kumpulan kami adalah yang pertama dari Malaysia melawat Tel Aviv. Sebelum ini, ada kumpulan yang mahu melawat Tel Aviv tetapi tiada rezeki. Walau tidak terlalu lama di Tel Aviv, jurang perbezaan antara Tel Aviv dan Jerusalem amatlah besar. Bila teringat balik, kasihan dengan saudara Islam kita yang sentiasa hidup dalam kekurangan dan perlu sentiasa berjuang mempertaruhkan nyawa demi keluarga dan agama.
Kami menetap di hotel yang lebih kurang 1 kilometer dari masjid Al-Aqsa. Setiap subuh kami akan berjalan dari hotel ke masjid. Ia dikawal ketat oleh beberapa tentera Israel yang memegang senjata. Segala perjalanan keluar masuk ke masjid agak lancar. Kami juga diberitahu mungkin tentera Israel akan soal siasat lelaki yang lebih muda. Dan jawapan perlu jujur iaitu mahu ke masjid untuk solat.

Kali pertama menjejaki masjid Al-Alqsa di waktu subuh membuatkan saya sebak sehingga mengalirkan air mata usai menunaikan solat. Sangat bersyukur, Allah memilih saya untuk merasai pengalaman bersolat di masjid yang merupakan kiblat pertama umat Islam. Sebenarnya, setiap kali kami pergi ke masjid, sebelum memasuki perkarangan masjid dan melihat tentera-tentera Israel yang memegang senjata sedikit sebanyak ada perasan gusar dan tidak selesa sewaktu melewati mereka. Walau bagaimanapun, bila tiba di dalam masjid dan mendengar bacaan Al-Quran oleh jemaah perasaan tenang datang secara semulajadi.
Bagaimanapun, pada hari Jumaat sebelum kami menunaikan solat Jumaat, tour guide memaklumkan selesai sahaja menunaikan solat sebolehnya cepat-cepat keluar dari kawasan masjid kerana di sana sering berlaku pergaduhan antara umat Islam dan tentera Israel. Malah, kalau dilihat di dalam masjid ada kesan-kesan pergaduhan.

Selesai sahaja solat, kami dengan pantas keluar dari masjid dan pergi ke tempat yang diminta untuk menunggu bersama ahli kumpulan lain. Sedang kami menunggu, tiba-tiba berlaku pergaduhan antara orang-orang Palestin dan tentera Israel. Perkara pertama yang terlintas sudah pasti ibu saya dan rakan-rakannya. Bagaimana mereka mahu berlari atau menyelamatkan diri jika berlaku perkara yang tidak diingini. Ada juga beberapa ahli kumpulan kami tidak tiba ke tempat yang di minta untuk berkumpul.
Tour leader dengan pantas menyuruh kami segera meninggalkan kawasan masjid dan akan mencari beberapa orang yang tidak kelihatan. Alhamdulillah, seluruh ahli kumpulan kami selamat.
Ketika di sana kami sentiasa on-the-go bersama group untuk berziarah dari satu tempat ke satu tempat. Interaksi kami agak terbatas untuk beramah mesra dengan penduduk setempat. Bagaimanapun, jika bertemu jemaah di masjid kami akan memberi salam dan berbual sambil bertanya khabar. Jika mereka bertanya dan tahu kami dari Malaysia, serta merta mereka akan tersenyum dan sangat gembira.

Ini jelas dapat dilihat pada suatu malam, suami kepada teman saya solat berjemaah di saf depan. Selesai solat, suaminya bersama adik-beradik menegur Imam. Selepas mengetahui mereka dari Malaysia, Imam Masjid Al-Aqsa terus mengajak beliau dan kumpulan kami untuk diberi tour di sekitar masjid. Lebih bermakna, Imam berbesar hati mengajak kami ke tempat istirehatnya untuk mengenali kami dengan lebih dekat. Menurut Imam, beliau sangat berterima kasih dan bersyukur dengan sifat pemurah orang Malaysia.
Satu lagi kisah menarik iaitu ada seorang kanak-kanak bernama Ishaq sering muncul. Ishaq cukup disenangi kerana sering menawarkan bantuan kepada kami. Dialah jurugambar termasuk memberi info-info jika kami memerlukan petunjuk untuk berjalan sekitar kawasan hotel dan pasar. Jika ada orang tua yang memerlukan bantuan, Ishaq orang pertama akan membantu. Ketika saya berkongsi gambar Ishaq di Instagram, ada beberapa rakan dari Malaysia yang pernah menjejaki ke bumi Palestin juga mengenali Ishaq.

Saya juga mempunyai teman rapat berasal dari Palestin yang menetap di Malaysia sekarang. Bagi saya orang Palestin sikatnya suka membantu, baik hati dan ikhlas bila melakukan sesuatu. Bila terkenang kebaikan mereka, terasa kasihan pula dengan saudara Islam kita di sana. Disebabkan sikap terlalu baik, mereka ditindas oleh Zionis.
Buat Rakyat Palestin, kalian adalah pejuang umat Islam yang kuat dan terpilih oleh Allah SWT untuk berdepan dengan kekejaman Yahudi. Teruskan berjuang. Sesungguhnya kemenangan akan berpihak kepada umat Islam tidak lama lagi.

Untuk rakyat Malaysia, teruskan membantu saudara Islam kita yang berada di Palestin selagi boleh. Jika tidak dapat membantu dari segi tenaga dan wang ringgit, panjatkan doa untuk kesejahteraan dan keselamatan mereka. Perjuangan mereka sangat besar. Doa adalah senjata terkuat buat saudara Islam kita di sana.
Kredit Foto: Koleksi Peribadi Dato’ Farah Zarina
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


