Pelari solo negara yang juga bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mej (K) Dr Suwaibah Muhammad Nasir, 49, berhasrat membina sebuah akademi latihan sebagai usaha mempromosikan sukan ‘stairs scaling’ kepada golongan belia di negara ini.
“Dengan tertubuhnya akademi latihan ini, ia dapat menyediakan pelapis yang lebih muda dan remaja untuk menggalas tanggungjawab agar suatu hari nanti muncul ‘Dr Suwaibah Muhammad Nasir’ yang lain pula (pengganti),” katanya selepas Majlis Pelancaran Misi Menawan 10 Menara Malaysia dan 30 Menara Tertinggi Dunia (MM1030) baru-baru ini.
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Penaung Diraja MM1030.
Dr Suwaibah berharap dan mengalu-alukan kerajaan, badan bukan kerajaan dan syarikat korporat tampil ke hadapan bagi mempromosikan sukan lasak tersebut.
Mengenai MM1030, Suwaibah akan memulakan misi dengan mendaki 10 menara Malaysia antaranya Menara Rebung TM, Menara Alor Setar, Menara Komtar dan Menara Kuantan 188, mulai Julai depan dan dijangka tamat pada akhir tahun ini.
“Selain mempromosikan sukan stairs scaling
di negara ini, larian itu juga adalah satu latihan pemanas badan sebelum diteruskan ke peringkat antarabangsa pada tahun hadapan.”Pemenang wanita pertama KL Towerthon 1998 yang sentiasa prihatin dengan terhadap isu-isu kemanusiaan itu pernah melakar pelbagai kejayaan dalam acara marathon dan mencatat 10 rekod dalam ‘Malaysia Book of Records’ termasuk sebagai wanita pertama Malaysia berlari solo sejauh 1,111 kilometer merentasi gurun Sahara di Mesir.
Sumber: Bernama
This website uses cookies.