Bergelar Miss Universe Indonesia 2013, kecantikan semula jadi Whulandary Herman tidak perlu disangkal lagi. Walau hampir 10 tahun memegang gelaran tersebut namun pesona dan penampilan Whulan tetap menyerlah. Seperti ketika dia masih perawan dan belum berkahwin. Pandai isteri Nik Ibrahim ini jaga badan!
Timang cahaya mata pertama pada tahun 2019, Whulan juga kini ibu kepada sepasang cahaya mata iaitu Nik Zayn dan Siti Amilie.
Pernah menjadi wajah penghias Nona tidak lama dulu, Whulan yang meniti usia 30an seorang yang ramah dan senang didekati.
Kaya dengan sifat rendah diri dan kelakar, dia juga merupakan juara Puteri Indonesia 2013 sebelum mewakili Indonesia dalam pertandingan ratu cantik Miss Universe pada tahun yang sama.
Bersandarkan wajah cantik, susuk tubuh lampai dan rambut panjang mengurai, tidak hairanlah dia mampu meraih perhatian juri di pentas ratu cantik.
“Pertandingan Miss Universe nyata mengubah hidup saya 100 peratus. Sebelum ini saya juga terlibat dalam bidang modelling dan berlakon filem. Bagi saya, tanggungjawab jadi lebih besar bila dah bergelar public figure.
Untuk itu saya akan pastikan setiap apa yang saya kongsi kepada masyarakat tidak kira dalam media sosial atau sebaliknya adalah perkongsian yang berguna kepada orang ramai.”
Saat ditanya rutin kecantikan, Whulan tanpa berselindung akui mengamalkan petua tradisi tinggalan nenek moyang.
“Dari kecil mama sudah pakaikan minyak kemiri di rambut saya setiap kali sebelum tidur. Ia adalah petua dari nenek yang masih kami amalkan. Begitu juga lidah buaya yang saya tanam di rumah dan pakai untuk muka dan elak selulit.
Malah sejak dulu mama ajar, sejauh mana kita ‘terbang’ sekalipun jangan lupa asal usul kita. Termasuklah dari cara merawat diri, interaksi dan sebagainya.
Bahkan lepas bersalin saya turut berpantang 44 hari seperti yang disaran suami dan keluarga. Masa pantang, saya memang pakai bengkung, param dan sapu perut dengan
kapur.
Memang saya ni jenis ikut tradisi. Iyalah, kalau tak jaga nanti tinggal kenangan saja body Miss Universe ni,” selorohnya.
“Mungkin ada di antara ibu-ibu yang ada anak ramai jadi lupa macam mana nak merawat diri sebab terlalu sibuk. Kalau saya, waktu ‘me time’ selalunya Subuh.
Contohnya sambil siapkan sarapan sambil tu kita rawat rambut atau kulit wajah. Penting bagi isteri menjaga kecantikan lepas bersalin. Jangan sampai suami pulang ke rumah dan nampak keadaan isteri tak terurus.
Mama nasihat, macam mana rupa kita pergi ke mall macam tu jugalah kita kena cantikkan diri depan suami. Bukanlah maksud kena mekap tebal.
Sekurang-kurangnya berdandan dan suami tengok pun tenang. Kalau suami pandang perempuan lain kita cemburu tapi bagaimana pula rupa kita depan suami? Adakah baik atau sebaliknya? Itulah yang mama selalu ajar dan ingatkan saya.”
Artikel berkaitan https://www.nona.my/pernah-terima-indonesia-beautiful-woman-award-walau-bergelar-nenek-krisdayanti-jelita-usia-47/
This website uses cookies.