Gaya Hidup

Miss V Gatal? Tak Semestinya Penyakit Kelamin, Ia Mungkin Hanya Jangkitan VAGINA CANDIDIASIS

Aduh, tiba-tiba saja Miss V gatal. Tambah parah kalau digaru, sampai luka-luka kulit. Itu belum lagi waktu dibersihkan, pedihnya bekas garu tu… Kenapa boleh jadi macam ni?

Sebenarnya rasa gatal itu adalah jangkitan kulat. Jangkitan kulat vagina adalah disebabkan oleh sejenis fungus atau yis yang dikenali sebagai Candida albicans. Dalam keadaan semula jadi, memang terdapat percampuran di antara yis dan bakteria. Yis dan bakteria semula jadi (Lactobacthi) ini berada di dalam vagina dalam bilangan yang rendah.

Lactobacili atau bakteria baik yang hadir di dalam vagina wanita yang telah baligh menghasilkan asid laktik untuk mewujudkan persekitaran berasid seterusnya mencegah pertumbuhan yis yang berlebihan atau bakteria bahaya yang boleh menyebabkan jangkitan. Candida albicans

berwarna putih krim dalam bentuk kultur. Di bawah mikroskop ia berbentuk bulat dan berpucuk (budding).

Vagina Candidiasis

Jangkitan kulat vagina atau vagina candidiasis bukan penyakit kelamin. Namun, pasangan kepada wanita yang menghidap jangkitan kulat vagina mungkin mengalami rasa gatal atau ruam di kemaluan selepas mengadakan hubungan intim.

Punca jangkitan kulat vagina boleh terjadi apabila:

  1. Perubahan keseimbangan dan pengurangan jumlah bakteria L.bacili menyebabkan pH vagina menjadi kurang berasid lalu membolehkan yis ini membiak atau tumbuh berlebihan. Keadaan ini terjadi disebabkan oleh pengambilan antibiotik secara rawak atau pada tempoh yang panjang sebelum jangkitan itu dipastikan berpunca daripada bakteria atau tidak. Perubahan pH vagina juga boleh disebabkan penggunaan pencuci vagina jenis sabun beralkali, mencuci dengan antiseptik, penggunaan pewangi pada vagina, jika seseorang telah menopaus dan kehamilan.
  1. Penyakit kencing manis yang tidak terkawal.
  1. Sistem imuniti yang lemah seperti penghidap HIV, menjalani rawatan kemoterapi atau rawatan steroid, jangkitan daripada hubungan seks. Walau bagaimanapun seseorang yang tidak pernah melakukan hubungan seks masih boleh mendapat jangkitan yis.
  1. Tidak menitikberatkan kesihatan diri.
  1. Kajian menunjukkan wanita yang mengambil pil perancang mengandungi estrogen berisiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan ini.
  1. Penggunaan alat perancang keluarga seperti IUCD, diafram atau vaginaring.

Gejala & Simptom 

Antara simptom yang kerap adalah:

  • Radang dan gatal di sekitar bibir vagina.
  • Sakit atau pedih semasa kencing.
  • Sakit atau pendarahan semasa hubungan seks.
  • Kemerah-merahan dan bengkak di sekitar vagina.
  • Keputihan yang pekat dan kadangkala berbau atau berketul-ketul seperti dadih serta berbau.

Kesan jangkitan yis dari segi fizikal dan psikologi:

  • Pesakit akan alami ketidakselesaan dan hilang keyakinan diri.
  • Rasa tidak berminat dan malu untuk melakukan hubungan seks dengan pasangan kerana rasa rendah diri.
  • Bau yang tidak menyenangkan mungkin disedari oleh pasangan. Hamizatul Maizan Mohamed
Share
Published by
Norzalina