Ayuh sejenak kita menjelajah jauh melewati mimpi-mimpi yang terbuai dalam lena, meneroka lebih dalam melewati tengkorak kepala dan tiba pada suatu susunan sel yang luar biasa, otak manusia.
Sebagai pusat regulasi seluruh fungsi tubuh, ia menjawab pelbagai persoalan mengenai fenomena sedar dan di bawah sedar kita, seperti tidur, yang dikenali sebagai ritma circadian.
Ritma circadian didefinisikan sebagai jam tubuh yang terbentuk secara endogen (oleh tubuh badan kita sendiri) dalam tempoh 24 jam. Ia tidak hanya mengacu pada ritma fizikal semata-mata, tetapi juga ritma mental dan tingkah laku yang dalam kondisi normal, berubah-ubah secara teratur dan konsisten.
Berbagai-bagai faktor semula jadi tubuh akan membentuk ritma ini bagaikan data penyimpanan komputer dalam otak manusia.
Kebiasaan waktu bangun dan waktu tidur kita diatur oleh ritma circadian. Umumnya jika satu keluarga memiliki kondisi lingkungan yang cukup homogen, pola tidur setiap anggota akan kelihatan mirip.
Sebenarnya perubahan pola tidur boleh diatur untuk menjaga kesihatan khasnya di kalangan pekerja yang selalu berganti-ganti syif kerja.
Berbeza dengan jam biologi tubuh, biasanya respon ritma circadian ditangkap oleh mata, terutamanya respon cahaya. Ia penting dalam menentukan pola tidur manusia dan sering dikaitkan dengan fenomena jetlag
yang dialami oleh ramai pengembara di seluruh dunia.Bayangkan ketika anda terbang melewati negara dengan zon waktu yang berbeza, jam biologi tubuh akan berbeza dari jam di pergelangan tangan. Mungkin lebih cepat atau lambat. Abnormaliti pada ritma circadian ini akan mengganggu waktu tidur biasa sehingga kembali normal dalam beberapa hari.
Selain itu, ia juga boleh menyebabkan pelbagai gangguan tidur seperti insomnia serta gangguan mental seperti depresi, kecelaruan bipolar atau sebagainya.
Ritma circadian yang abnormal juga boleh menyebabkan pelbagai penyakit antaranya infraksi miokardial (kerosakan otot jantung) dan serebrovaskular (pembuluh darah otak) pada pagi hari.
Kewujudan gejala asma juga dikaitkan dengan waktu senja manakala kejadian sudden infant death syndrome (SIDS) di kalangan bayi selalu terjadi pada awal pagi.
Begitulah indahnya aturan kehidupan setiap makhluk. Tidak perlu kita fikirkan pun untuk tidur dan berehat, tubuh kita telah dijadikan dan di program mempunyai jadual untuk tidur dan berehat. Juga untuk bangun dan bekerja waktu siang, telah terjadual dalam ‘agenda’ tubuh secara automatik.
‘…Dialah yang menjadikan malam bagimu untuk beristirahat padanya dan (menjadikan) siang terang-benderang (supaya kamu mencari kurnia Allah). Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mendengar’ (Yunus:67)
This website uses cookies.